Arkib Tag: Land Cruiser 70 Series

Toyota Land Cruiser 70 Series masih lagi ditawarkan dengan kotak gear manual!

Para peminat Land Cruiser 70 Series di Australia boleh menarik nafas lega apabila model SUV off-road klasik moden itu kini ditawarkan semula dengan kotak gear manual.

Disebabkan undang-undang emisi yang lebih ketat, Toyota menamatkan penjualan LC70 yang dilengkapi dengan nadi V8 4.5 liter, sekaligus menghentikan penawaran model bertransmisi manual.

Namun begitu, Toyota kini menawarkan kembali kotak gear manual untuk Land Cruiser 70 Series yang dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.8 liter berkuasa 201 hp dan 450 Nm.

Biarpun kurang empat silinder, enjin 2.8 liter tersebut menawarkan kuasa kuda dan tork yang hampir sama berkuasa dengan model V8.

Di pasaran Australia, LC70 boleh juga didapati dalam versi auto enam-kelajuan, di mana angka daya kilas meningkat kepada 500 Nm pada putaran enjin yang lebih awal, sekitar 1,600 rpm berbanding 2,400 rpm pada versi manual.

Untuk model manual, ia mempunyai nisbah gear yang unik, di mana nisbah yang lebih pendek untuk gear satu hingga tiga untuk prestasi yang dipertingkatkan, sementara gear lima pula mempunyai nisbah yang lebih panjang untuk kecekapan bahan api dan mengurangkan bunyi bising enjin.

Toyota turut memasang komponen flywheel baharu, namun terpaksa membuang fungsi kawalan menurun cerun.

Land Cruiser 70 Series versi manual dijual pada harga bermula dari AU$77,800 (RM221,033).

Selain daripada pasaran Australia, Land Cruiser 70 Series yang sudah berusia 40 tahun itu turut ditawarkan di pasaran Jepun dan Emiriah Arab Bersatu.

Toyota Land Cruiser 70 Series facelift dilancarkan di Jepun

TOYOTA Land Cruiser 70 Series versi facelift, yang diperkenalkan pada Ogos lalu, kini telah dilancarkan di pasaran Jepun.

Untuk pengetahuan, kali terakhir model ini dijual di negara itu adalah pada 2015 sebelum ia ditarik balik dari pasaran kerana tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Model kelahiran semula ini pastinya tidak akan menghadapi sebarang masalah dalam aspek itu kerana walaupun mengekalkan reka bentuk klasik dan casis ladder frame yang asal, ia telah dikemas kini dengan ciri-ciri moden.

Antara ciri yang dimaksudkan adalah Vehicle Stability Control (VSC), Active Traction Control (A-TRC), Hill Start Assist Control (HAC), Downhill Assist Control (DAC) serta electronic differential lock.

Menurut Toyota, sistem suspensi SUV ini juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih selesa di atas jalan raya.

Dari segi keselamatan, Land Cruiser 70 Series dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi pelbagai ciri termasuk Pre-Crash Safety, Lane Departure Alert, Road Sign Assist, Auto High Beam dan pelbagai lagi.

Versi JDM ini dikuasakan oleh enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8-liter empat silinder dengan 204 PS dan 500 Nm, sama seperti Hilux. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan ‘6 Super ECT’ dan sistem pacuan empat roda.

Di Australia, Land Cruiser 70 Series boleh didapati dengan enjin turbodiesel 4.5-liter V8 yang menghasilkan 205 PS dan 430 Nm. Kuasanya mungkin lebih rendah namun enjin ini dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.

Harga jualan di Jepun bermula dari 4.8 juta yen (RM151,747). Ia dipasang di kilang pemasangan Toyota Auto Body Yoshiwara.