Arkib Tag: laluan motosikal

PRDM guna dron kesan pesalah tidak guna laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan

Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam (11 Jun) mengadakan Op Motosikal di KM 28.4 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.

Ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal di laluan tersebut.

Operasi tersebut turut menyaksikan penggunaan dron untuk mengesan pesalah menerusi kerjasama dengan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.

Difahamkan, sebanyak 47 saman telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan LN167/59.

Sumber: Bernama

 

Selain itu, sebanyak 16 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dirakam oleh Unit Dron.

Antara kesalahan termasuklah aksesori kenderaan yang tidak sempurna, tiada lesen memandu, tidak memakai topi keledar, mengabaikan isyarat lalu lintas, LKM tamat tempoh, penggunaan alat komunikasi semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, tiada lampu brek/brek ketiga serta halangan lalulintas.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Polis Petaling Jaya memaklumkan pelaksanaan Op Motosikal mendapat respons positif daripada masyarakat setempat dan akan diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata kepada laman Bernama, saman akan tetap dikirimkan kepada pesalah di bawah POL 170A untuk tindakan lanjut walaupun mereka tidak ditahan di lokasi operasi.