Arkib Tag: Kriss 110

Modenas kini tampil dengan logo, identiti jenama baharu

Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas), anak syarikat DBR-Hicom Berhad telah melancarkan logo dan identiti jenama baharunya.

Modenas berkata, identiti jenama baharu itu melambangkan tumpuan syarikat kepada pengembangan global, teknologi baharu, dan penyelesaian yang lebih bersih.

Logo baharu Modenas menampilkan simbol ikonik ‘M’ dalam gaya yang lebih moden, dikelilingi bulatan yang menggambarkan ketepatan dan identiti baharu.

Kekal dengan warna biru dan putihnya, logo yang dikemas kini memperkenalkan varian kelabu dan platinum Modenas.

Sementara itu, pengenalan Elemen “Road Star” yang baharu juga mencerminkan arah baharu jenama ini yang menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen untuk pertumbuhan.

Bercakap mengenai usaha penjenamaan semula ini, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata,”Industri mobiliti kini sedang berkembang pesat, didorong oleh keperluan mendesak untuk peralihan tenaga dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelestarian alam sekitar.”

“Dengan ini, visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global,” tambahnya.

Sempena penjenamaan semula dan pencapaiannya, Modenas turut memperkenalkan varian baharu Kriss 110 dengan teknologi suntikan bahan api yang mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 yang ketat.

Harga jualan Kriss 110 baharu itu bermula dari RM4,599 bagi varian brek dram, dan RM4,998 bagi varian brek cakera.

MODENAS Kriss 110 dipertingkat untuk 2023 – harga dari RM3,917

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, baru-baru ini mengumumkan pelancaran Kriss 110 dan Kriss 110 Disc Brake versi 2023.

 

Moped kegemaran sepanjang zaman itu menerima beberapa ciri baharu termasuk lampu depan yang direka bentuk semula serta port pengecasan USB untuk kemudahan penunggang.

Selain itu, kedua-dua varian juga menerima warna dan skema grafik baharu yang dikemas kini dengan harga mampu milik baharu seperti berikut:

Kriss 110 dikuasakan oleh enjin 108 cc satu silinder, 4 lejang, SOHC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 4.9 kW (6.57 hp) pada 8,000 rpm dan tork maksimum 6.7 Nm pada 6,000 rpm. Model ini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Untuk sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar pada bahagian belakang. Sistem brek pula terdiri daripada brek gelendong untuk Kriss 110 dan brek cakera depan untuk Kriss 110 varian Disc Brake.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah  lampu isyarat LED, ruang penyimpanan 6.6 liter, suis lampu kecemasan serta indikator gear dan meter minyak digital.

Kedua-dua model ini didatangkan dalam tiga warna dan akan tiba di semua pengedar sah MODENAS di seluruh negara bermula minggu ini. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.