Arkib Tag: Koenigsegg Jesko

Koenigsegg Sadair’s Spear merupakan sebuah Jesko yang lebih radikal

Koenigsegg pada bulan lepas memperkenalkan sebuah hypercar Jesko yang lebih radikal berbanding Jesko Attack dan Jesko Absolut, iaitu Sadair’s Spear.

Walaupun tidak menggunakan nama Jesko, iaitu nama bapa Christian von Koenigsegg, Sadair’s Spear itu sendiri merupakan nama kuda lumba yang ditunggang oleh Jesko von Koenigsegg dalam perlumbaan terakhir pada tahun 1976.

Menggunakan asas daripada Jesko Attack, Sadair’s Spear menampilkan beberapa ciri yang unik.

Antaranya ialah pakej aerodinamik yang lebih agresif, lengkap dengan sayap belakang bilah berkembar aktif.

Dimensi bahagian belakang dipanjangkan sedikit untuk memastikan aliran udara yang lebih baik, diikuti liang kemasukan udara yang direka semula untuk sistem penyejukan lebih lebih berkesan.

Berat keseluruhan jentera ini berjaya dikurangkan sebanyak 35 kg kepada 1,320 kg sahaja, terima kasih kepada pemasangan komponen dalaman dan mekanikal yang lebih ringan, serta 2.58 kg penebat bunyi yang telah dibuang.

Selain itu, keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan rim turbin tujuh jejari yang diperbuat daripada gentian karbon, dan dibaluti tayar Michelin Pilot Cup 2 yang lebih lebar.

Untuk ruang kabin pula pembeli boleh memasang sistem abah-abah keselamatan enam poin sebagai ciri opsyen.

Ia tidaklah terlalu kosong seperti yang dijangka, memandangkan Koenigsegg masih lagi menawarkan ciri moden seperti pengecasan peranti pintar tanpa wayar serta slot pengecasan USB pada ruang kokpit.

Dari segi kuasa, Koenigsegg Sadair’s Spear dibekalkan dengan enjin 5.0 liter bentangan V8 turbo berkembar yang dipadankan dengan transmisi Light Speed (LST) sembilan-kelajuan.

Dengan bahan api biasa, enjin tersebut mampu menghamburkan kuasa 1,300 hp dan daya kilas 1,000 Nm yang masuk bermula 2,700 rpm, atau 1,500 Nm pada 5,100 rpm.

Tukar kepada bahan api E85, angka kuasa kuda Sadair’s Spear ini boleh mencecah sehingga 1,625 hp!

Hanya 30 unit sahaja Sadair’s Spear yang akan diproduksikan, dan berita kurang enaknya: semua unit sudah habis terjual.