Arkib Tag: Kodo

Bahasa reka bentuk Kodo CX-5 2026 akan jadi asas model Mazda masa depan

Jika anda suka rekaan Mazda generasi baharu, ini ada berita baik: Mazda CX-5 2026 yang hadir dengan evolusi bahasa reka bentuk Kodo sebenarnya memberikan bayangan tentang rupa model-model Mazda pada masa akan datang.

Sejak kemunculan konsep Shinari pada 2010, setiap model Mazda daripada Miata hinggalah CX-90 telah mengikut falsafah rekaan Kodo “Soul of Motion”.

Kini, CX-5 2026 memperkenalkan pendekatan baharu dengan gaya yang lebih tajam dan berani. Ia tampil dengan gril “Signature Wing” yang lebih lebar dan garisan lebih jelas, bersama lampu utama bertingkat yang unik.

Di belakang, tulisan “MAZDA” menggantikan logo huruf ‘M’ yang biasa digunakan buat pertama kalinya dalam sejarah model produksi jenam itu.

Stefan Meisterfeld, Naib Presiden Perancangan Strategik untuk Mazda Amerika Utara, mengesahkan perubahan ini adalah langkah yang disengajakan.

“Saya boleh katakan CX-5 baharu ini ialah perintis kepada bahasa reka bentuk yang telah berevolusi sedikit,” katanya kepada Motor1.

“Beberapa elemen ini mungkin anda akan lihat juga pada model-model masa depan… Ini arah tuju kami seterusnya.”

Perubahan ini tidak terhad kepada aspek kosmetik. CX-5 baharu dibina dengan jarak roda lebih panjang (hampir tiga inci tambahan), memberikan ruang dalaman yang lebih luas, terutamanya di tempat duduk belakang dan ruang kargo.

Pintu tailgate juga direka semula agar lebih rendah dan lebar untuk memudahkan barang dimuatkan.

Bahagian dalamannya juga tidak kurang menarik. CX-5 merupakan model Mazda pertama yang menampilkan skrin sesentuh 15.6 inci dengan Google terbina, lengkap dengan akses kepada Google Maps, Assistant dan Play Store.

Kabinnya kini tampil dengan rekaan minimalis, dengan kebanyakan fungsi kini perlu dikawal terus melalui skrin. Gaya kabin bebas butang ini mungkin turut digunakan dalam model-model masa depan, sejajar dengan usaha Mazda untuk mencipta pengalaman pemanduan yang lebih intuitif.

Di bawah bonet, CX-5 2026 dikuasakan oleh enjin Skyactiv-G 2.5-liter yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan. Versi hibrid juga dijangka menyusul, seiring dengan strategi elektrifikasi jangka panjang Mazda.

Apa pendapat anda tentang hala tuju rekaan baharu Mazda ini? Adakah ini satu kemajuan atau anda lebih sukakan gaya lama yang lebih konvensional?

Mazda CX-5 2026 – generasi ketiga tampil rekaan lebih mewah, kabin minimalis

Setelah sembilan tahun generasi kedua Mazda CX-5 menguasai jalanan, Mazda kini sedia untuk memperkenalkan generasi ketiga SUV saiz kompak tersebut ke dunia.

Tidak banyak perincian didedahkan, namun yang pasti generasi baharu CX-5 ini menawarkan pakej dimensi yang lebih besar, rekaan Kodo yang diperbaharui serta susun atur ruang kabin serba baharu.

Berikut beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang Mazda CX-5 2026:

 

Dimensi

CX-5 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,690 mm (+140 mm), lebar 1,860 mm (+20 mm), serta tinggi 1,695 mm (+10 mm).

Jarak antara roda pula sekitar 2,775 mm (+75 mm).

Perubahan ukuran ini dilihat memberikan kesan kepada ruang kabin yang nampak lebih lapang dan luas, serta ruang kargo yang lebih besar (+61 liter).

 

Rekaan luar

Tidak dinafikan, rekaan Kodo yang dibawakan pada CX-5 terdahulu (2016-2025) merupakan antara hasil kerja Mazda yang paling cantik.

Untuk generasi ketiga, pendekatan tersebut telah diolah semula untuk penampilan yang lebih bergaya, terutama jeriji Signature Wing, lampu yang lebih bersegi dan bampar yang lebih sporti.

Bahagian belakang pula kini lebih mirip kepada abangnya CX-70/CX-80, namun logo Mazda telah dibuang dan kini digantikan dengan perkataan MAZDA sahaja.

 

Kabin minimalis

Mazda sentiasa terkenal dengan pendekatan rekaan kabin yang minimalis untuk model-model terbaharunya, dan CX-5 2026 tidak terkecuali.

Susun atur papan pemuka kini lebih ringkas, di mana bahagian tengah kini menempatkan skrin sebesar 15.6 inci yang lengkap dengan sistem Google terbina.

Sayang sekali, Mazda terlalu serius dalam usaha untuk meminimumkan kehadiran butang fungsi, sehinggakan segala kawalan kini disumbatkan ke dalam skrin besar itu tadi.

Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital 10.25 inci di sebalik roda stereng yang kini tidak lagi mempunyai logo M.

Untuk varian yang lebih rendah, Mazda menawarkan skrin tengah sebesar 12.9 inci.

 

Pilihan enjin

Mazda CX-5 2026 akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin.

Nadi Skyactiv-G 2.5 liter (187 hp/251 Nm) sedia ada akan terus dikekalkan, sementara di Eropah pula terdapat versi hibrid ringan e-Skyactiv G 2.5 liter (140 hp/238 Nm).

Mazda turut mengesahkan varian hibrid akan dibekalkan dengan enjin Skyactiv-Z serba baharu yang menjanjikan prestasi dan kecekapan yang jauh lebih tinggi.

Generasi baharu CX-5 ini akan mula menerjah pasaran Eropah menjelang akhir tahun ini, diikuti pasaran lain menjelang akhir tahun 2026.