Arkib Tag: KKR

RM749 setiap meter persegi kos pasang garisan jalan ‘glow in the dark’

MEMANG ada keperluan untuk memasang garisan jalan glow in the dark di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik) namun kosnya hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah konvensional.

Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Beliau turut menambah bahawa pihaknya memang sudah melakukan kajian berhubung perkara itu.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

“Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya.

Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga. Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” jelasnya.

Jalan ‘glow in the dark’ 3 kilometer di Kedah, terpanjang di Malaysia

NAMPAKNYA Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mula menggunakan teknologi garisan jalan glow in the dark di seluruh negara.

Selepas Semenyih, teknologi itu kini dilaksanakan pula di Padang Sanai di Padang Terap, Alor Setar. Ia merupakan lokasi yang pertama bagi negeri Kedah.

Menurut Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, garisan jalan itu adalah sepanjang tiga kilometer, menjadikannya garisan jalan glow in the dark terpanjang di Malaysia.

“Alhamdulillah, siap dipasang di jalan Padang Sanai/ Durian Burung. Terima kasih Pegawai Kewangan Negeri yang meluluskan peruntukan ini.

“Terima kasih Jabatan Kerja Raya Padang Terap/Pokok Sena yang berusaha keras untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau memaklumkan, projek garisan jalan yang siap dibina pada Selasa lepas berkenaan memberikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Foto: Facebook Hj Munir Mohamad Yusoff

“Cahaya matahari dikumpulkan dan apabila waktu malam (maka) akan nampak satu garisan yang terang-benderang melalui kelulusan peruntukan sebanyak RM500,000 oleh Pegawai Kewangan,” katanya.

Beliau menambah, Kedah adalah negeri yang mempunyai sumber cahaya matahari tertinggi sekali gus sesuai untuk pelabur mengusahakan ladang solar.

Apa yang menarik, Kedah juga memiliki kelebihan lain iaitu hanya memerlukan lebih empat jam untuk menyimpan tenaga solar berbanding negeri lain yang memerlukan enam jam.

Dalam perkembangan sama, JKR Padang Terap/ Pokok Sena dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook mereka memaklumkan jalan bercahaya kini sedang diuji di Jalan Padan Sanai/Durian Burung (K11), Kedah.

Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dilaporkan akan menyenaraikan dan menilai jalan raya untuk dinaik taraf menggunakan teknologi berkenaan sebelum hujung tahun ini.

Kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menaik taraf garisan jalan menggunakan teknologi pantulan cahaya itu.