Arkib Tag: kilang pemasangan

PMX rasmikan kilang EV Proton di Tanjung Malim, produksi e.MAS 7 CKD kini bermula

Proton secara rasmi melancarkan pembukaan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) yang terletak di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim.

Majlis peluncuran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut disertai oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dengan bermulanya operasi pada bulan ini, kilang EV tersebut akan menjadi lokasi pemasangan pelbagai model daripada platform Global Modular Architecture (GMA).

Model pertama yang akan dipasang di kilang ini ialah SUV elektrik Proton e.MAS 7, dan bakal disusuli oleh Proton e.MAS 5 kelak.

Untuk permulaan, kilang ini boleh menampung kapasiti pengeluaran sehingga 20,000 unit setahun, dan boleh mencapai sehingga 45,000 unit/tahun mengikut permintaan dalam dan luar negara.

Kilang ini juga mampu menjana lebih 200 peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.

Kilang EV Proton dijangka siap akhir 2025, kapasiti pengeluaran 20,000 unit setahun

Hari ini berlangsungnya upacara pecah tanah bagi pembinaan fasa pertama kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) Proton yang terletak di fasiliti berteknologi tinggi Tanjung Malim.

Dengan pelaburan bernilai RM82 juta, fasa pertama kilang pemasangan EV ini dijangka siap pada akhir 2025 dengan kapasiti pengeluaran awal sekitar 20,000 unit setahun.

Ia akan menjadi lokasi pemasangan pelbagai jenis model kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk pasaran tempatan dan eksport berdasarkan platform GMA (Global Modular Architecture) yang dimulakan dengan model Proton e.MAS7.

Pelbagai teknologi pembuatan pintar akan digunakan untuk memastikan kilang ini bersedia untuk pengeluaran kenderaan NEV seperti teknologi robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet of Things (IoT) dan teknologi berkaitan IR 4.0.

Dalam masa yang sama, kilang baharu Proton ini dijangka akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan.

Proton juga sudah mempunyai perancangan untuk fasa kedua kilang pengeluaran sebagai persediaan untuk pemintaan EV yang semakin meningkat di dalam dan luar negara, dengan kapasiti pengeluaran akan dinaikkan kepada 45,000 unit setahun.

Menurut Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “PROTON memulakan peralihannya untuk menjadi OEM yang menawarkan model ICE dan EV apabila kami menubuhkan PRO-NET untuk menjual kenderaan pintar sebelum melancarkan Proton e.MAS 7.

“Dengan pengalaman yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu dalam semua aspek kenderaan ini dan keperluan pelanggan, jadi hari ini kami mengambil langkah seterusnya untuk merealisasikan impian kami menghasilkan dan membangunkan model EV di Malaysia.

“Kenderaan yang dikeluarkan di kilang baru ini akan memenuhi keperluan pelanggan di pasaran tempatan dan eksport, serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan pasaran EV.

“Setelah siap, pengeluaran di kilang baru ini akan tertumpu pada Proton e.MAS 7 serta tawaran NEV masa hadapan apabila PROTON mengembangkan rangkaian modelnya. Akhirnya, kami berharap kejayaan kami akan mewujudkan ekosistem automotif yang moden dan berkemampuan untuk menggalakkan lebih banyak OEM mempertimbangkan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,” ujarnya lagi.

BYD buka kilang pemasangan EV pertama di Thailand

Pengeluar automotif China BYD baharu sahaja melancarkan pembukaan kilang pemasangan kenderaan yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Kilang yang terletak di Rayong, Thailand itu mempunyai kapasiti produksi sekitar 150,000 unit setahun dan bakal menjadi lokasi pemasangan bagi empat model terpentingnya, iaitu Dophin, Atto 3, Song dan Sealion.

Selain itu, salah satu daripada subsidiari BYD juga dilapor akan mendirikan kilang pengeluaran bateri di lokasi yang sama.

 

 

Negara Thailand telah menjadi lokasi hab pemasangan dan eksport kereta serantau yang telah lama dikuasai oleh pengeluar Jepun seperti Toyota, Honda dan Isuzu.

Menjelang 2030, negara itu menyasarkan untuk menukar 30 peratus daripada pengeluaran tahunannya sebanyak 2.5 juta kenderaan terdiri daripada kenderaan elektrik (EV).

Disebabkan itu, BYD merancang untuk menjadikan Thailand sebagai hab pengeluaran untuk eksport ke pasaran ASEAN dan negara-negara lain.

Selain Thailand, syarikat EV itu juga dilapor merancang untuk membuka kilang pemasangan kedua ASEAN yang terletak di Indonesia menjelang tahun 2026.

 

Ford akhiri produksi Focus tahun depan, 3500 pekerja diberikan pampasan lumayan

Seramai 3,500 orang pekerja kilang pemasangan Ford di Saarlouis, Berlin, Jerman akan diberhentikan selepas produksi model Focus tamat tahun depan.

Laman Automotive News Europe melaporkan Ford Focus merupakan satu-satunya model berenjin pembakaran dalaman yang masih lagi dipasang di kilang yang mempunyai kekuatan tenaga kerja seramai 4,500 orang.

Kesatuan pekerja IG Metall dalam satu kenyataan Rabu lepas mendedahkan kira-kira 1,000 pekerjaan akan dikekalkan selepas tahun 2025.

Malah, tidak akan ada pemberhentian secara paksa sehingga tahun 2032 di mana para pekerja akan ditawarkan dengan pampasan yang lumayan.

 

 

Joerg Koehlinger, pengurus daerah IG Metall menyebut, “Kami tidak dapat mencapai penyelesaian terbaik, jadi kami membuat keputusan untuk menggunakan pilihan kedua terbaik: menjadikan pemberhentian pekerja semahal yang mungkin untuk Ford.”

Kilang Saarlouis sebelum ini dilapor akan ditutup buat selamanya apabila Ford membuat keputusan untuk memasang kenderaan elektrik generasi baharu di Sepanyol.

Oktober lepas, pihak Ford gagal untuk mencapai persetujuan dengan pelabur berpotensi untuk menjual kilang tersebut, di mana salah satu daripada syarikat yang berminat adalah BYD.

Vinfast labur RM9 bilion bina kilang EV di India

Biarpun berdepan dengan kesukaran di Amerika Syarikat, pengeluar EV dari Vietnam Vinfast terus mengorak langkah ke depan dengan mengumumkan perancangan untuk membina kilang baharu di India.

Kilang yang akan dibangunkan di Thoothukudi, Tamil Nadu itu dijangka menelan belanja sekitar $2 bilion (RM9.29 bilion), di mana $500 juta akan dilaburkan untuk fasa pertama projek tersebut.

Pembinaan kilang Vinfast itu akan bermula pada tahun ini dan dijangka beroperasi dengan kekuatan tenaga pekerja sekitar 3,000 hingga 3,500 orang, serta kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 150,000 unit.

 

 

Selain daripada mengumumkan pembinaan kilang ketiga, Vinfast juga akan mewujudkan jaringan pengedar di seluruh India.

Bercakap semasa upacara tandatangan memorandum persefahaman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Vinfast Global Tran Mai Hoa berkata, langkah terbaharu ini menunjukkan komitmen Vinfast terhadap pembangunan yang mampan, serta visi pengangkutan masa depan sifar emisi.

“Kami percaya, dengan melabur di Tamil Nadu bukan sahaja memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada kedua-dua belah pihak, ia juga dapat membantu mempercepatkan peralihan tenaga hijau di India dan di rantau ini.

Setakat ini, Vinfast telah pun menawarkan barisan produk berkuasa elektrik di pasaran tertentu, seperti VF3, VF5, VF6, VF7, VF8 dan VF9.

Purem bekerjasama dengan AAPICO buka kilang ekzos baharu di Malaysia

PUREM by Eberspaecher dan AAPICO Hitech Public Company Limited (AAPICO) telah meraikan pembukaan rasmi kilang pertama mereka di Malaysia.

Kerjasama itu dijangka menghasilkan ekzos bagi pelbagai model kereta dari jenama-jenama terkemuka negara ini.

“Ini merupakan pencapaian penting untuk aktiviti perniagaan kami di pasaran ASEAN”, kata Rakan Kongsi Pengurusan Eberspaecher Group, Martin Peters.

“Ia menunjukkan bahawa produk dan teknologi kami untuk mobiliti bersih amat dinantikan dan kami berbesar hati bakal menyediakannya bersama rakan kongsi kami, AAPICO.”

Purem by Eberspaecher merupakan peneraju global dalam teknologi ekzos. Penyelesaian mampan dimilikinya memenuhi piawaian emisi global untuk mobiliti yang bersih dan senyap.

Bersama-sama dengan rakan kongsi usaha sama AAPICO, syarikat Jerman berkenaan kini memasuki pasaran yang terus berkembang di Malaysia dan Thailand.

“Ini merupakan pelaburan alat ganti kedua kami di Malaysia pada tahun ini. AAPICO mempunyai keyakinan terhadap masa hadapan industri kenderaan di Malaysia.

“Saya berbangga untuk membawakan Purem by Eberspaecher, antara pengeluar ekzos terbesar dan utama di dunia ke Malaysia”, kata Presiden & CEO AAPICO Hitech PLC, Yeap Swee Chuan.

Kilang baharu di Rawang meliputi kawasan seluas 4,000 meter persegi bagi pengeluaran rawatan susulan gas ekzos.

Ini termasuk apa yang dikenali sebagai peralatan hot ends iaitu penukar pemangkin (catalytic converter) dan perongga (manifold) serta peralatan cold ends iaitu peredam bunyi dan paip.

Menampilkan teknologi terkini, kira-kira 100 pekerja akan mengeluarkan dan menyediakan lebih kurang 400,000 komponen setiap tahun untuk empat model kereta berbeza bagi sebuah syarikat pengeluar automotif terkemuka di Malaysia.

Untuk masa depan, perancangan membabitkan pengeluaran selanjutnya dengan pelanggan tempatan baharu di samping perluasan teknikal di kemudahan pengeluaran bagi saduran pemangkin (catalyst).

Menerusi potensi kemudahan yang boleh diperluaskan sehingga 7,000 meter persegi dan beroperasi pada kapasiti penuh, usaha sama ini bakal menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri alat ganti di Malaysia dengan kewujudan peluang pekerjaan baharu, pengenalan teknologi terkemuka dan peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan pada masa yang sama menyediakan sistem ekzos bertaraf dunia yang mampan kepada kalangan pengeluar OEM.