Arkib Tag: kilang EV

Kilang EV Proton mula beroperasi September ini, jana 200 peluang pekerjaan

Kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) milik Proton di Tanjung Malim kini hampir siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada bulan September ini.

Dalam tempoh enam bulan selepas upacara pecah tanah pada Februari lepas, pembinaan fasiliti ini telah mencapai 90.4 peratus diikuti pemasangan peralatan pada 83.5 peratus, menjadikan kemajuan keseluruhan projek pada 86.9 peratus.

Kilang ini akan digunakan untuk pemasangan pelbagai model daripada platform Global Modular Architecture (GMA), dimulakan dengan Proton e.MAS 7 dan disusuli dengan e.MAS 5.

Dengan kapasiti pengeluaran permulaan sebanyak 20,000 unit setahun, kilang ini juga boleh menampung penambahan kapasiti sehingga 45,000 unit sejajar dengan pertumbuhan permintaan di dalam dan luar negara.

Untuk itu, setiap barisan pengeluaran boleh ditambah beberapa stesen dengan barisan penguji modular yang mampu menampung variasi platform atau pengeluaran pelbagai model.

Aspek logistik, utiliti, sistem storan dan alat kebolehkesanan digital turut dioptimumkan bagi menyokong peningkatan skala bagi pelbagai model untuk pasaran tempatan dan eksport.

Berbeza dengan kilang sedia ada, fasiliti pengeluaran EV ini mempunyai susun atur baharu khusus untuk pemasangan bateri, langkah keselamatan voltan tinggi serta proses ujian elektrik.

Proton turut melatih 30 pekerja bukan eksekutif dengan latar belakang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma sebelum pengeluaran berskala penuh bermula pada September ini.

Fasiliti kilang EV ini dijangka mampu menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan, terutama dalam bidang industrialisasi EV dan perkhidmatan teknikal.

Proton juga menjalin kerjasama strategik dengan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) untuk memperkukuh bakat tempatan, di mana Proton menyumbang input silibus teknikal dan menyokong inisiatif latihan amali.

Geely selaku rakan kongsi Proton menyediakan panduan teknikal mengenai sistem pengeluaran, membantu pemilihan peralatan dan menempatkan pakar untuk membantu pemasangan dan ujian percubaan.

Selain itu, Geely juga memudahkan latihan luar negara untuk kakitangan Proton dan memastikan fasiliti baharu itu selari dengan piawaian pembuatan EV global.

Menurut Wan Yousry bin Mohamed, Ketua Kejuruteraan Pembuatan di PROTON, “Kilang ini melambangkan transformasi PROTON dan komitmen tidak berbelah bahagi kami terhadap masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.

“Kami juga meletakkan asas bagi kepimpinan Malaysia dalam landskap EV serantau dengan meluaskan penawaran EV kami secara strategik ke pasaran luar negara yang baharu. Ini adalah langkah monumental untuk syarikat dan negara, dan kami teruja untuk melihat EV buatan Malaysia yang pertama meluncur keluar dari barisan pengeluaran dan ke jalan raya kita,” ujarnya lagi.

Tesla tidak pernah buat komitmen bina kilang EV di Malaysia – Menteri

Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.

“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.

“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor portal berita itu.

Pada 20 Julai, 2023, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.

Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

BYD mungkin buka kilang baharu di Eropah tahun depan

BYD mempunyai satu misi yang besar untuk menjadi pengeluar kenderaan elektrik yang terbesar di pasaran Eropah menjelang 2030.

Untuk itu, syarikat automotif dari China itu merancang untuk mendirikan bukan satu, tapi dua buah kilang pengeluaran kenderaan di benua tersebut.

Beberapa bulan lepas, BYD mendedahkan kilang pemasangan kenderaan pertama yang akan dibuka di bandar Szeged, Hungary dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 200,000 unit setahun.

 

 

Namun, untuk menjadi pendahulu di dalam segmen EV, BYD ternyata memerlukan kilang kedua yang mungkin akan dibina bermula tahun depan.

Buat masa ini, tiada sebarang petunjuk dimanakah kilang BYD yang kedua akan dibina.

Pengarah Urusan BYD Eropah, Michael Shu dalam satu sidang Financial Times Future of the Car di London baru-baru ini turut mendedahkan perancangan untuk melancarkan model EV yang paling mampu milik di pasaran Eropah.

BYD sudah pun mempunyai model EV yang paling kecil dan mampu milik di pasaran China, iaitu BYD Seagull.

 

 

Dengan harga jualan di bawah julat $10,000 (RM47,473), BYD Seagull dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 74 hp dan 135 Nm, serta pek bateri berkapasiti 38.88 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 405 km untuk sekali cas penuh.

Michael Shu tidak mendedahkan perincian spesifikasi Seagull versi pasaran Eropah, namun mengesahkan ia bakal dijual pada harga kurang dari €20,000 (RM102,302).