Arkib Tag: Kia Malaysia

Jenama Kia kembali bertapak di Malaysia

Jenama automotif Korea Selatan, iaitu Kia kembali bertapak di pasaran Malaysia di mana ia kini dikendalikan secara langsung oleh Kia Corporation, dan bukannya melalui pengedar.

Dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini, Kia Sales Malaysia Sdn Bhd turut mengumumkan barisan pimpinan yang akan menerajui operasi jualan di Malaysia, terdiri daripada:

  • Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif: Hyung Ho Kim
  • Pengarah Urusan: Emily Lek
  • Pengarah Produk & Perhubungan Kerajaan: Hafiz Zaim
  • Pengurus Besar Jualan: Victor Chan
  • Pengurus Besar Pemilikan: Rafhan Saiah
  • Pengurus Besar Pemasaran: Vince Yeoh
  • Pengurus Besar Saluran: Phang Chee Wei

 

Di bawah model pimpinan prinsipal langsung yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2026, KSM bakal mengawal sepenuhnya kehadiran jenama, pemasaran, jualan, pengalaman pemilikan dan latihan di seluruh Malaysia.

Kia juga akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia.

Tunggak utama ialah pelaksanaan piawaian operasi global bagi mengukuhkan asas pertumbuhan, selain memberikan tumpuan kepada strategi penjenamaan dan pemasaran bagi menjawab persoalan “Kenapa Pilih Kia?”

Kedua, KSM bercadang untuk membina semula rangkaian pengedar bagi memastikan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

Akhir sekali, KSM akan mengukuhkan semula barisan produk bagi memastikan setiap produk dapat memenuhi keperluan pasaran Malaysia.

Menurut Hyung Ho Kim, “Di peringkat global, Kia ialah pengeluar automotif ke-9 terbesar dunia. Fokus kami ialah bergerak ke hadapan pada kadar yang mapan untuk jangka panjang.

“Matlamat kami bukan sekadar untuk menjadi jenama pantas berkembang, tetapi jenama yang dapat memberi perhatian kepada pelanggan, pengedar dan industri automotif Malaysia,” jelasnya.

Emily Lek berkata, “Ini merupakan masa yang penting bagi kami memulakan langkah kembali ke pasaran Malaysia sebagai entiti tersendiri.

“Jenama ini tidak lagi diwakili oleh pengedar, tetapi diterajui oleh syarikat induk yang mengawal sepenuhnya suara, nilai dan wawasan kami. Dengan sistem kukuh dan rancangan yang jelas, kami bersedia untuk mengembalikan pengalaman jenama Kia yang sebenar.

Untuk info, Malaysia menempatkan ibu pejabat Kia Asia Pasifik yang berperanan sebagai pusat pemikiran strategik bagi rantai Asia.

Kia APAC memantau enam anak syarikat termasuklah Kia Sales Malaysia (KSM) dan unit pengeluarannya Kia Malaysia.

Selain itu, Kia APAC menguruskan operasi di 33 pasaran termasuklah negara-negara ASEAN, Australia dan New Zealand.

Kia menguasai 3.4 peratus pasaran di rantau APAC dengan hasil jualan lebih 165,000 unit dicatatkan pada tahun 2024.

Kia Sales Malaysia ambil alih operasi daripada Bermaz bermula Januari 2026

Setelah empat tahun, Kia Corporation dan Bermaz Auto Berhad akhirnya menamatkan kerjasama strategik sekaligus menandakan era baharu operasi Kia di Malaysia.

Bermula 1 Januari 2026, Kia Sales Malaysia akan mengambil alih segala aspek urusan jualan, selepas jualan, pemasaran, khidmat pelanggan, serta latihan di seluruh Malaysia daripada Bermaz.

Entiti baharu itu akan diterajui oleh Hyung Ho Kim selaku Presiden dan CEO, dan Emily Lek sebagai Pengarah Urusan yang sebelum ini pernah berkhidmat di Omoda | Jaecoo Malaysia.

Dalam satu kenyataan rasmi, Ki Seok Ahn selaku Presiden dan CEO Kia Asia Pasifik berkata, “Kia amat teruja untuk memperkukuhkan semula kehadiran jenama di Malaysia.

“Kami percaya strategi dan inovasi berpusatkan pelanggan akan terus memperkayakan pengalaman pelanggan dalam usaha kami untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri automotif Malaysia.

Kia Sales Malaysia juga akan terus membuat penambahbaikan terhadap jaringan pengedar Kia, pelaburan untuk perkhidmatan selepas jualan serta pengenalan model baharu kelak.

Sepanjang tempoh peralihan ini, mana-mana tempahan yang telah dibuat sebelum 30 November akan terus dipenuhi.

Pelanggan boleh membuat tempahan untuk kenderaan baharu bermula Januari 2026 demi memberikan laluan kepada peralihan operasi yang lebih lancar.

 

Kia Sportage 1.6T AWD: SUV santai penuh bergaya – pandu uji

Segmen SUV di Malaysia sememangnya rancak dengan kehadiran pelbagai model dan jenama, baik dari lencana buatan tempatan mahupun jenama luar.

Boleh jadi rambang mata dibuatnya jika anda sendiri tidak tahu kriteria yang perlu dipertimbangkan.

Katakanlah anda mahukan sesuatu yang lebih menonjol daripada kebiasaan tipikal SUV yang ada di jalanan, kami boleh sarankan Kia Sportage 1.6T AWD ini sebagai pilihan yang tepat.

Ia ada segalanya yang anda perlukan untuk sebuah kenderaan kegunaan harian dan paling penting kepuasan pemanduan yang didambakan.

Beli kereta mahal-mahal tapi tak puas memandu, apa gunanya kan?

Berikut merupakan pendapat kami setelah seminggu meminjam Kia Sportage ini daripada Kia Malaysia.

 

Rekaan luar, terlebih menonjol?

 

Untuk makluman, Kia Sportage yang dipasarkan di sini merupakan versi pra-facelift yang telah pun wujud sejak 2021 lagi.

Versi facelift yang lebih garang telah pun dilancarkan di Korea Selatan pada penghujung tahun 2024, namun nak kata rekaan Sportage ini ketinggalan zaman mungkin satu kenyataan yang tidak tepat.

Ini kerana dalam versi pra-facelift sekalipun, Kia Sportage tetap menonjol bila meluncur di atas jalan raya.

Dengan grafik LED boomerang di depan dan belakang, serta garis bumbung yang rendah di belakang sekaligus memberikan imej sporti yang diperlukan pada Sportage.

Setidak-tidaknya, ia merupakan satu rekaan asli yang mampu membuatkan pemilik berpuas hati tatkala memandangnya, dan bukannya meniru mana-mana model.

Tak menoleh ke arah kereta sendiri selepas parkir? Anda mungkin dah beli kereta yang salah.

 

Dimensi

Kia Sportage versi AWD ini berukuran sepanjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.

Sebagai sebuah SUV segmen C, Kia Sportage sedia menawarkan ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga.

Tiada bumbung kaca panorama bukanlah satu masalah besar, kerana ruang kepala yang disediakan dalam kabin ini cukup luas.

Penumpang belakang juga boleh melaraskan sudut sandaran kerusi belakang untuk postur duduk rehat yang lebih selesa, jadi mereka tidaklah perlu duduk dengan tegak sepanjang masa.

Bagaimana dengan ruang kargo?

Kia Sportage menawarkan ruang barangan sebesar 543 liter secara standard, dan kapasiti itu boleh mencecah sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Pelbagai ciri yang menyenangkan

Salah satu perkara yang membuatkan penulis senang dengan Kia Sportage ini ialah susun atur papan pemuka yang mesra pemandu.

Selain skrin berkembar 12.3 inci melengkung, papan pemuka Sportage ini turut menyediakan panel kawalan berasaskan sentuhan yang lengkap dengan tombol fizikal.

Di situ, anda boleh memilih untuk menjalankan operasi larasan suhu kabin, atau mengubah kandungan media yang dimainkan menerusi lapan pembesar suara sistem audio Harman Kardon.

Bagi penulis, ini merupakan satu ciri yang memudahkan dan amat dialu-alukan.

Ini kerana kebanyakan pengeluar kini lebih gemar menyumbat segala macam butang fungsi ke dalam skrin tengah. Perlu diselongkar dan mampu mengakibatkan tumpuan pemandu lebih terganggu.

Konsol tengah juga turut menempatkan beberapa butang fungsi yang penting, mudah untuk dibaca dan dicapai.

Dial PRND shift-by-wire itu ternyata menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang, cuma ada ketikanya penulis rasa janggal sedikit dek penukaran gear yang tidak konvensional itu.

Paparan skrin kluster digital Sportage ini masih lagi setia menawarkan grafik meter analog dengan beberapa tema yang boleh dipilih mengikut mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Smart).

Usah risau, skrin infohibur turut menyediakan sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Tak perlu nak tunggu kemas kini over-the-air (OTA) pun.

Jika anda perasan, bahagian belakang tempat sandar kepala penumpang hadapan mempunyai cangkuk yang agak besar yang sangat sesuai digunakan untuk menyangkut beg atau tudung.

Tidak ketinggalan, terdapat beberapa cangkuk teh tarik yang turut disediakan – menjadikan Kia Sportage ini lebih mesra rakyat Malaysia berbanding SUV jenama Malaysia itu sendiri yang ada di pasaran.

 

Bagaimana dengan pemanduan?

Unit yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1.6 liter turbo Gamma II T-GDI menghasilkan 177 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda (AWD) menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Seperti yang dialami oleh penulis sewaktu sesi pandu uji media tempoh hari, Kia Sportage 1.6T AWD ini ternyata menawarkan respons yang kurang bertenaga untuk julat rpm yang rendah.

Ini mendatangkan sedikit kesukaran untuk pengendalian di kawasan berkelajuan rendah seperti tempat parkir, di mana kuasa itu teragak-agak untuk dihamburkan oleh Sportage ini.

Namun bila SUV ini sudah mencapai kelajuan meluncur yang normal, ruang kabin dirasakan lebih senyap, di mana kadar gegaran dan kekasaran juga berada pada tahap yang minima.

Ini kerana tetapan sistem suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang Sportage ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran yang wujud di atas jalan raya.

Ia juga mampu membuatkan SUV ini rasa melekat di kawasan berselekoh dengan olengan badan yang tidak terlalu ketara, menjadikan pemanduan Sportage ini lebih menyeronokkan.

Namun, jika ia dipandu dengan lebih agresif, segala kelebihan itu tadi akan lenyap. Jadi, anda harus tahu had dan batasan yang wujud pada Kia Sportage ini.

Penulis tidak mempunyai sebarang komen terhadap aspek pengendalian SUV ini, kerana ia menepati apa yang dijangkakan daripada sebuah kenderaan jenama Kia.

Talaan stereng yang cukup tepat dan hidup itu membuatkan penulis langsung lebih fokus melayan jalan raya yang berliku di hadapan, ia patuh pada setiap sudut yang diarahkan oleh tangan pemandu.

Ada ketikanya, sistem pembetulan stereng bekerja untuk memastikan SUV ini berada di landasan yang tepat, namun cara operasinya itu tidaklah membuatkan penulis rasa penat dan jengkel sepanjang masa.

Membezakan antara Kia Sportage 1.6T AWD dengan varian 2WD ialah kehadiran ciri kekunci pembeza dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menawarkan kadar cengkaman yang lebih baik untuk pemanduan off-road ringan.

Jadi, ditambah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 181 mm, tiada sebarang masalah untuk anda pandu Kia Sportage ini meredah laluan yang tidak berturap tar untuk tujuan merehatkan minda di hujung minggu.

 

Sportage untuk ‘healing’ hujung minggu

Seperkara lagi yang membuatkan penulis suka pada Kia Sportage ini ialah tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat rata.

Tidak perlu untuk perhabis duit untuk beli dan pasang khemah, anda boleh jadikan bahagian belakang Kia Sportage ini sebagai ‘khemah sementara’ untuk aktiviti santai di hujung minggu.

Pada bahagian ruang kargo, ada soket kuasa 12V yang boleh digunakan untuk pengecasan peranti pintar atau dijadikan sumber kuasa untuk perkakasan ringan.

Terdapat juga ciri bunyi-bunyian ‘Sound of Nature’ yang ada di dalam skrin infohibur Sportage ini sebagai peneman aktiviti.

Gembira, gembira juga. Kewajipan sebagai seorang muslim usah dilupakan.

Jadi jika anda mahu tunaikan kewajipan solat di tempat berkhemah, Kia Sportage turut mempunyai fungsi kompas arah kiblat yang boleh digunakan sebagai petunjuk.

 

Ciri keselamatan

Kia Sportage menawarkan pelbagai ciri keselamatan yang menyeluruh termasuklah enam beg udara, ABS, ESC, serta tidak ketinggalan ciri keselamatan termaju yang cukup panjang senarainya.

Apa yang penulis mahu tekankan di sini ialah sistem pemantauan titik buta (BVM) yang akan memaparkan apa yang wujud di ruang sebelah kiri dan kanan kenderaan apabila lampu membelok dihidupkan.

Sistem yang wujud pada mana-mana model Kia (termasuk Hyundai) ini ternyata lebih memudahkan kita untuk mengesan benda (kereta, penunggang motosikal) yang biasanya terhalang dalam medan titik buta.

Ada pengeluar lain yang menawarkan kamera 360 darjah yang lebih canggih, lengkap dengan sudut pandang daripada mata burung.

Namun kebanyakan masa ia lebih bersifat syok sendiri kerana ia memaparkan imej kereta yang kita dipandu, dan bukannya apa yang tersembunyi pada medan titik buta.

 

Kesimpulan

Adakah Kia Sportage 1.6T AWD ini sebuah SUV terbaik di dalam kelasnya?

Tidak dinafikan, Kia Sportage mempunyai kelebihan yang tersendiri jika dibandingkan dengan model pesaing dalam pasaran.

Ada rupa, pakej yang praktikal, ruang kabin yang cukup luas dan selesa, dan hadir dengan pakej keselamatan yang hampir menyeluruh.

Namun, jika anda boleh berkompromi dengan kelemahan yang disebutkan tadi, kami kira Kia Sportage mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi.

 

Spesifikasi Kia Sportage 1.6T AWD (RM186,899)
Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh-kelajuan
Pacuan: Semua roda (AWD)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 543 liter-1,829 liter

Tiga kekurangan wujud pada ruang kabin Kia Sportage 1.6T

Kia Sportage generasi baharu dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), walaupun ia sebenarnya tiba agak lewat berbanding pasaran lain.

Dengan pakej harga yang cukup kompetitif, diikuti dengan spesifikasi yang cukup menarik, Kia Sportage mampu menjadi satu alternatif kepada pasaran yang didominasi oleh SUV buatan Jepun seperti Honda CR-V dan Toyota Corolla Cross.

Berdasarkan pengalaman pandu uji ringkas tempoh hari, penulis nyata berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada Kia Sportage.

Tidak semua kenderaan itu sempurna penawarannya, ada beberapa kelemahan kecil yang wujud pada SUV segmen C ini.

Namun bagi kami, ia merupakan satu perkara yang kecil, sekiranya anda mampu bertoleransi dengan kekurangan tersebut dan lebih mementingkan kepuasan pemanduan.

 

Tidak semua minat tombol rotari PRND

Varian yang kami pandu uji dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) dan fungsi e-shift.

Bermakna, ia tidak didatangkan dengan tombol gear yang biasa didapati pada mana-mana model SUV.

Manfaat penggunaan tombol rotari ini ialah ruang kokpit yang nampak lebih lapang, namun tidak semua orang sukakan ciri ini.

Secara peribadi, penulis lebih gemar tombol gear PRND fizikal, di mana ia lebih mudah untuk dikawal dan lebih sesuai dengan pergerakan otot yang kita sudah terbiasa.

Jika anda rasa varian 1.6T ini tidak menepati citarasa, dapatkan sahaja varian 2.0 yang masih lagi dilengkapi dengan tombol gear fizikal.

 

Butang fungsi kosong pada konsol tengah

Terletak bersebelahan dengan tombol rotari PRND itu tadi, anda boleh melihat ‘gugusan’ butang fungsi kosong yang wujud pada konsol tengah.

Sayang sekali apabila butang-butang fungsi ini tidak langsung diberikan fungsi seperti spesifikasi luar negara yang mendapat ciri seperti pemanas roda stereng, pemanas serta pengudaraan tempat duduk.

Nampak kosong dan rasa macam Sportage 1.6T ini seakan varian paling rendah pula.

 

Panel kawalan iklim mungkin sukar untuk digunakan

Satu lagi ciri menarik yang wujud pada Kia Sportage 1.6T ini ialah panel kawalan iklim dan sistem infohibur berasaskan sentuhan yang terletak di bawah corong pendingin hawa tengah.

Secara asasnya, pemandu tidak lagi perlu untuk menyelongkar menu-menu kawalan yang biasanya tertanam pada skrin infohibur.

Cuma, ia beroperasi menggunakan sistem sentuhan, dan ada kalanya ia sedikit sukar untuk dikawal, terutama apabila seseorang pemandu itu memiliki dimensi jari yang agak besar.

Kia Sportage 2025, lima perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, pihak Dinamijaya Motors selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia menjemput para pengamal media automotif untuk menguji SUV segmen C yang baharu sahaja dilancarkan – Kia Sportage 2025.

Untuk makluman, pasaran kita boleh dikatakan agak lambat menerima kehadiran model Sportage ini, memandangkan generasi kelima Sportage telah diperkenalkan sejak tahun 2021 lagi di pasaran global.

Namun usah risau, kerana unit Sportage yang dilancarkan ini merupakan unit CKD (pemasangan tempatan) yang lahir dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bermakna ia datang dengan harga yang cukup kompetitif.

Kami diberikan peluang untuk memandu uji dua varian teratas, iaitu Sportage 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.

Berikut merupakan input kami berdasarkan pemanduan singkat yang dibuat tempoh hari:

 

1. Rupa luaran yang lebih menonjol

Reka bentuk luaran Kia Sportage membawakan satu anjakan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu.

Menggunakan pendekatan yang dinamakan sebagai Opposites United, Kia Sportage menampilkan muka hadapan yang agresif, dimulakan dengan struktur jeriji hidung harimau serta unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk bumerang yang memisahkan jeriji dengan lampu utama.

Elemen bumerang itu turut dipadankan pada unit lampu belakang, namun dengan bukaan yang lebih kecil.

Profil sisi SUV ini dikemaskan dengan jalur krom memanjang yang menghiasi bahagian bawah perumah kaca, serta kemasan warna hitam pada setiap sudut gerbang roda.

Rekaan yang serba agresif ini mampu menjadi satu ‘plus point‘ buat para pemilik yang mahukan kelainan di atas jalan raya, dan mungkin sekali sesuai bagi mereka yang rasa jemu dengan kewujudan SUV buatan China yang ‘sepesen’ rupanya.

Apapun, sila tepuk dada dan tanya selera masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

 

2. Rekaan kokpit berorientasikan pemandu

Penulis cukup suka dengan susun atur papan pemuka Kia Sportage serba baharu ini.

Cukup kemas dan paling penting rekaannya yang berorientasikan pemandu di mana papan skrin tengah dan panel kawalan di bahagian bawah corong pendingin hawa disudutkan ke arah pemandu.

Dengan postur dan kedudukan pemandu yang optimum, tiada sebarang masalah untuk mencapai komponen yang disebutkan itu tadi untuk mengubah tetapan semasa memandu.

Walaupun tiada butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, panel berasaskan sentuhan itu amat mudah untuk digunakan, dan pemandu tidak perlu untuk menyelongkar tetapan yang tertanam di dalam skrin utama.

Menjadikan baris pertama nampak lebih lapang ialah penggunaan tombol rotari PRND di bahagian konsol tengah.

Selain itu, masih wujud butang-butang kawalan fizikal di bahagian tersebut untuk fungsi yang sangat diperlukan, seperti penukaran mod pemanduan, Auto Hold dan kamera keliling.

Untuk penggemar Apple CarPlay dan Android Auto, usah risau kerana ciri ini sememangnya wujud pada Kia Sportage.

 

3. Kabin yang selesa dan praktikal

Diposisikan sebagai SUV segmen C, Kia Sportage merupakan satu alternatif bagi mereka yang tidak menggemari SUV bersaiz besar seperti Kia Sorento.

Dengan ukuran saiz yang menghampiri dimensi sebuah Honda CR-V, nyata ruang bukanlah satu masalah besar buat Kia Sportage ini.

Paling penting, penumpang belakang boleh menikmati sudut sandar yang lebih besar julatnya, sama ada kedudukan yang lebih tegak atau sudut yang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Satu perkara yang penulis suka pada Kia Sportage ini ialah kehadiran cangkuk besar pada struktur perehat kepala yang boleh digunakan untuk menggantung jaket, beg membeli belah atau tudung bawal.

Ruang kargo adalah sebesar 543 liter secara standard, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

4. Pemanduan

Terus terang penulis cakap, pemanduan yang ditawarkan oleh Kia Sportage ini berjaya memenuhi apa yang dijangkakan.

Dengan respons stereng cukup tepat dan hidup, penulis tidak berdepan dengan masalah sepanjang mengendalikan SUV segmen C ini, baik di atas lebuh raya, Litar Antarabangsa Karak, serta jalan lama yang penuh dengan selekoh berliku.

Malah, sistem pembetulan putaran stereng juga beroperasi dengan cara yang lebih mesra pemandu, tidak terlalu agresif sehinggakan pemandu rasa jengkel seperti yang dirasakan pada sesetengah model pesaing.

Kia Sportage 1.6T ini mampu menjana kuasa setinggi 177 hp dan 265 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Bermula dengan unit 1.6T AWD, respons pecutan yang dirasakan sedikit kurang bertenaga berbanding dengan varian 2WD yang kami uji selepas makan tengah hari.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar jika anda bukan tergolong di dalam kategori kaki tekan.

Ini kerana anda harus tahu kelebihan Kia Sportage yang seterusnya: ruang kabin yang senyap untuk kelajuan yang normal.

Dengan talaan suspensi yang cukup berkesan untuk pelbagai kualiti jalan raya di Malaysia ini, sukar juga untuk kami merasakan gegaran dan kekasaran yang ketara di dalam ruang kabin, melainkan jika anda memandunya dengan cara yang lebih agresif.

 

5. Harga

Kia Sportage 2025 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga bermula dari RM149,781.78 untuk varian 2.0G, manakala unit yang kami pandu uji ini bermula dari RM179,599 untuk varian 1.6T 2WD, dan dari RM189,599 untuk varian AWD.

Apa pula beza antara varian 1.6T 2WD dan 1.6T AWD?

Tiga benda sahaja yang membezakan kedua-dua varian tersebut, iaitu sistem pacuan semua roda lengkap dengan kekunci pembeza, rel bumbung, dan sistem audio Harman Kardon lapan pembesar suara.

Jadi, tidak salah pun untuk anda memilih model 1.6T 2WD kerana ia juga turut dilengkapi dengan sistem keselamatan menyeluruh termasuklah enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta (BCW), bantuan suluhan tinggi (HBA), sistem pemantauan titik buta (BVM), dan tidak ketinggalan kawalan jelajah pintar (SCC).

Lebih banyak info akan kami kongsikan pada artikel pandu uji yang lebih menyeluruh akan datang.

 

Spesifikasi Kia Sportage 2025

Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
Suspensi hadapan: Topang MacPherson
Suspensi belakang: Multi-Link
Rim: 18 inci

 

Bermaz tawar diesel RM1.05/liter selama 5 tahun untuk pembeli baharu Kia Carnival

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia di Malaysia melancarkan kempen terbaharu khusus untuk para pemilik baharu model Kia Carnival.

Kempen “Fuel-on-Us” yang bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2024 ini membolehkan pemilik baharu Kia Carnival menikmati harga diesel bersubsidi RM1.05/liter untuk tempoh lima tahun tanpa perlu risau akan perubahan harga bahan api setiap minggu.

Untuk menyertai kempen ini, para pelanggan perlulah mendaftarkan pembelian Kia Carnival menerusi mana-mana pengedar sah Kia sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Setiap pembelian hanya layak untuk satu permohonan sahaja.

Kia Carnival didatangkan dengan nadi diesel 2.2 liter turbo berkuasa 202 PS dan 440 Nm.

Dengan tangki bahan api sebesar 72 liter, Kia Carnival menawarkan kadar penggunaan bahan api 6.5 liter/100 km, atau jarak sehingga 850 km untuk setangki bahan api penuh.

Di Malaysia, Kia Carnival ditawarkan dalam tiga varian utama dan harga jualan bermula dari RM198,500.