Arkib Tag: Kesatuan Eropah

Eropah mahu haramkan penggunaan gentian karbon sebelum akhirnya buat ‘U-turn’

Tahukah anda, Kesatuan Eropah pernah mengusulkan cadangan untuk mengharamkan penggunaan gentian karbon di dalam binaan kenderaan menjelang tahun 2029, baru-baru ini.

Namun, langkah untuk melarang penggunaan bahan ringan tersebut akhirnya ditarik balik berdasarkan laporan terbaharu oleh Motor1 Itali.

Dalam pindaan undang-undang yang digubal pada Januari lepas, pihak EU mahu memasukkan gentian karbon ke dalam senarai bahan berbahaya seperti merkuri, plumbum dan kadmium.

Ini kerana semasa proses pelupusan kenderaan, EU menentukan filamen gentian karbon yang terpisah boleh menjadi bawaan udara dan mendatangkan mudarat sekiranya tersentuh dengan kulit manusia.

Pihak berkuasa juga menentukan bahan tersebut mampu merosakkan mesin kitar semula yang digunakan.

Industri automotif menguasai 20 peratus daripada jumlah produksi gentian karbon di seluruh dunia.

Disebabkan sifatnya yang ringan dan tahan lasak, ia menjadi bahan wajib untuk pembinaan kereta-kereta pantas, seperti casis, tempat duduk, cermin sisi malah sesetengah pengeluar menggunakan bahan yang sama untuk binaan rim yang lebih ringan.

Gentian karbon juga menjadi bahan utama di dalam kenderaan elektrik bertujuan untuk mengurangkan berat badan dan menyumbang kepada jarak pandu yang lebih jauh.

Mujur, langkah untuk mengharamkan penggunaan bahan tersebut tidak diteruskan.

Jika tidak, ia sudah pasti mengundang bantahan keras daripada kebanyakan pengeluar automotif di dalam dunia.

Boleh sebabkan kanser, penyaduran krom bakal diharamkan oleh EU

PENGGUNAAN kemasan krom bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pengeluar kenderaan kerana ia adalah jalan yang paling mudah untuk membuatkan produk mereka tampak lebih premium.

Bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Eropah mungkin perlu mencari alternatif lain kerana Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan telah mencadangkan larangan terhadap penyaduran krom kerana ia boleh menyebabkan kanser.

Menurut Autocar, proses penyaduran krom membawa kepada penghasilan bahan karsinogen yang dikenali sebagai hexavalent chromium.

Pelepasan bahan ini ke udara semasa proses penyaduran dikatakan 500 kali lebih toksik daripada diesel dan boleh menyebabkan kanser paru-paru yang kronik.

Penggunaan depresan wasap kimia dikatakan boleh mengurangkan pelepasan ini, namun ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan lain kerana ia mengandungi Perfluoroalky and Polyfluoroalkyl Substances (PFAS) yang juga bertoksik tinggi.

EU mencadangkan larangan teknik itu bermula 2024, dengan California dilaporkan bakal mengikuti jejak langkah yang sama. Larangan ini dijangka memberi impak besar kepada reka bentuk automotif melainkan bahan alternatif dengan kualiti yang sama dapat dikenal pasti.

Di samping industri automotif, krom juga digunakan secara meluas dalam penghasilan barang keperluan harian dan industri penerbangan.