Arkib Tag: kereta sports

Nissan Fairlady Z facelift muncul di Tokyo Auto Salon 2026

Generasi ketujuh kereta sports Nissan Z (Fairlady Z di pasaran Jepun) debut pada tahun 2021 bagi menggantikan model 370Z.

Setelah beberapa tahun, Nissan akhirnya mengemas kini penawaran Fairlady Z dengan memperkenalkan versi facelift di Tokyo Auto Salon 2026.

Tidak banyak perubahan yang dibuat namun berbanding model terdahulu, Fairlady Z facelift menampilkan imej yang lebih kemas terutama pada bahagian bampar hadapan serba baharu.

Menurut Nissan, rekaan bampar baharu itu bukan sahaja menitikberatkan aspek estetik, akan tetapi mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik yang lebih baik dengan cara mengurangkan kesan angkat depan sebanyak 3.3 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 1 peratus.

Selain itu, lencana Nissan pada bahagian depan telah digantikan dengan emblem Z, diikuti dengan rim aloi dengan kemasan dua tona.

Akhir sekali, Nissan memperkenalkan warna baharu Unryu Green yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada model Z generasi S30.

Buat masa ini, Nissan masih mengekalkan enjin asal bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar menghasilkan 400 hp dan 475 Nm.

Namun, aspek pemanduan dan pengendalian dipertingkatkan dengan sistem suspensi yang telah disemak semula dengan padanan penyerap hentak monotiub yang lebih besar, serta sistem brek yang lebih besar.

Susun atur ruang kabin kekal tidak berubah, namun untuk versi facelift Nissan menawarkan opsyen trim tan untuk tempat duduk, panel pintu dan bahagian bawah papan pemuka.

Menariknya, dalam imej rasmi yang dibekalkan terdapat komponen paddle shifter di sebalik stereng di dalam sebuah kereta yang mempunyai tombol gear manual.

Kereta sports macam IDx mampu pikat golongan pembeli muda – Bos Nissan

Nissan kini sedang berdepan dengan masalah besar, menyebabkan syarikat itu terpaksa membuang sebilangan besar pekerja dan menutup beberapa kilang di seluruh dunia.

Tatkala fokus Nissan tertumpu ke arah model kenderaan volum tinggi, pengeluar itu mengakui model yang sporti mampu menjadi penyelamat keadaan dan menarik minat golongan muda.

Bercakap kepada Kuruma News, CEO Nissan Ivan Espinosa menjelaskan model kereta sports seperti IDx akan dapat membantu mengekspresikan semula jenama Nissan.

Tambahnya lagi, model seperti itu mempunyai potensi kepada demografik pengguna yang lebih muda, dan sangat penting bagi sesebuah pengeluar untuk terus menarik minat golongan pengguna yang lebih muda kepada jenamanya.

Espinosa juga melahirkan keinginannya untuk menghidupkan semula plet nama Silvia.

“Nissan S15, khususnya dengan enjin 2.0 liter turbo output tinggi merupakan salah satu kereta kegemaran dalam sejarah Nissan. Pada saya, ia merupakan salah satu kereta sports ringan terbaik pernah kami hasilkan.

Beliau turut mengakui agak sukar untuk menghasilkan kembali kereta dengan casis yang ringan dan dalam masa yang sama mampu memenuhi keperluan undang-undang keselamatan yang lebih ketat masa kini.

Tidak syak lagi, jika Nissan mahu mengikut jejak langkah Toyota, model konsep IDx merupakan calon yang sesuai untuk diketengahkan.

Model konsep IDx diperlihatkan di acara Tokyo Motor Show 2013 sebagai jawapan kepada Toyota 86/Subaru BRZ dengan reka bentuk luaran yang diinspirasikan daripada Datsun 510.

Sayang sekali, IDx tidak pernah langsung direalisasikan sehingga kini.

Toyota bangunkan GR86 generasi baharu guna platform Mazda MX-5?

Menerusi kerjasama dengan Subaru, Toyota memperkenalkan kereta sports 86 pada Disember 2011 di Tokyo Motor Show.

Generasi kedua 86 (dikenali sebagai GR86) muncul pada tahun 2020 di mana Toyota masih lagi mengekalkan kerjasama dengan Subaru.

Bagaimana pula dengan generasi ketiga?

Laman automotif Jepun Best Car mendakwa Toyota akan membangunkan GR86 baharu secara bersendirian, namun mungkin akan memerlukan bantuan daripada Mazda untuk mengetuai projek tersebut.

GR86 generasi baharu itu akan dibina berdasarkan platform baru serba ringan yang akan turut digunakan untuk pembangunan Mazda MX-5 generasi berikutnya.

Berbeza dengan pendekatan yang digunakan pada GR86/BRZ, GR86 dan MX-5 baharu ini akan menampilkan banyak perbezaan.

Menurut laporan Best Car, MX-5 akan kekal sebagai sebuah kereta sports dua tempat duduk, manakala platform yang sama akan dipanjangkan sedikit untuk membenarkan GR86 kekal sebagai sebuah coupe 2+2.

Kedua-dua model itu juga akan menggunakan enjin yang berbeza, di mana MX-5 akan tampil dengan enjin 2.0L hibrid buatan Mazda, dan GR86 akan menggunakan tetapan enjin 2.0L hibrid Toyota.

Ini bukanlah kali pertama Mazda MX-5 digunakan sebagai tapak untuk pembangunan model pengeluar lain.

Generasi keempat ND menjadi asas untuk pembangunan model Fiat 124 Spider yang menampilkan rupa paras dan nadi kuasa yang berbeza, diikuti oleh pengeluar Jepun Mitsuoka untuk model Rock Star.

 

Nissan Z Nismo akhirnya bakal ditawarkan dengan transmisi manual!

Ketika Nissan Z Nismo muncul di pasaran pada tahun 2024, ia dilihat mampu memberikan saingan hebat dengan pakej kuasa 420 hp/521 Nm, suspensi dan brek yang lebih serius, LSD serta naik taraf aspek aerodinamik.

Sayang sekali, kereta sports tersebut hanya ditawarkan dalam versi automatik sembilan kelajuan sahaja pada ketika itu.

Mujur, Nissan memahami permintaan dan kehendak peminat Nismo.

Menurut laporan daripada Automotive News, Nissan Z Nismo akan ditawarkan dalam versi manual enam-kelajuan sebagai pelengkap kepada penawaran transmisi auto sedia ada.

Pengerusi Nissan Amerika, Christian Meunier walau bagaimanapun tidak menjelaskan perincian model manual tersebut sama ada ia akan hadir dengan talaan yang tersendiri atau kekal spesifikasi seperti Z Nismo sedia ada.

Peminat tegar Nissan Z serta pembenci BMW Supra masih lagi boleh mendapatkan kereta sports tersebut dengan tetapan tiga pedal menerusi varian asas Z Sport dan Performance.

Namun untuk Nissan Z Nismo manual ini, anda perlu sabar menunggu kerana Nissan sendiri tidak mendedahkan bila model ini akan tiba kelak.

Sayonara! Produksi Nissan GT-R R35 akhirnya tamat selepas 18 tahun

Setelah 18 tahun produksi, Nissan akhirnya melabuhkan tirai untuk model berprestasi tinggi GT-R generasi R35.

Sepanjang tempoh produksi dari tahun 2007 hingga sekarang, Nissan telah memasang kira-kira 48,000 unit GT-R.

Unit terakhir yang keluar daripada barisan pengeluaran ialah GT-R Premium Edition T-Spec berwarna Midnight Purple yang akan dihantar kepada pemiliknya di Jepun.

Adakah ini satu penamat yang sebenar buat generasi GT-R?

Menurut CEO Nissan Ivan Espinosa berkata, “dalam tempoh lebih 18 tahun, Nissan GT-R R35 telah meninggalkan jejak di dalam sejarah automotif.

“Buat peminat GT-R, ini bukanlah ucapan selamat tinggal yang kekal untuk GT-R. Model ini akan muncul semula satu hari nanti.

Namun begitu, beliau tidak mendedahkan perincian berhubung perancangan untuk menghidupkan semula GT-R kelak.

“Saya meminta anda semua untuk sabar menunggu. Kami belum memuktamadkan rancangan, namun GT-R akan berevolusi dan muncul semula kelak.”

Nissan sebelum ini mengejutkan dunia dengan kemunculan model konsep Hyper Force yang digembar-gemburkan sebagai pengganti GT-R R35 di Japan Mobility Show 2023.

Model konsep itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,341 hp, mencapai kelajuan 322 km/j dan dilengkapi teknologi bateri pejal (solid-state battery).

Nissan sebenarnya mempunyai cabaran yang lebih berat berbanding rancangan untuk meneruskan kesinambungan model GT-R.

Di bawah pelan pemulihan Re:Nissan, pengeluar itu sedang bersiap untuk menutup sehingga tujuh kilang pemasangan dan mengurangkan sehingga 20,000 tenaga pekerja.

Jadi, memandangkan Nissan GT-R merupakan model volum rendah, mungkin sukar untuk kita melihat kemunculan generasi baharu GT-R dalam masa terdekat, walaupun jelas sekali pucuk pimpinan Nissan mahu menjadikan GT-R baharu sebagai agenda jangka panjang mereka.

Toyota GR Supra sah dapat pengganti, cuma tidak tahu bila

Dengan pengenalan model edisi penamat GR Supra A90 Final Edition, ia merupakan satu petanda hayat kereta sports tersebut bakal berakhir.

Ini kerana produksi bagi generasi kelima GR Supra itu dijadualkan berakhir pada musim bunga tahun 2026

Untuk info, Toyota GR Supra merupakan model ‘kembar’ kepada BMW Z4, di mana kedua-dua model tersebut dipasang secara eksklusif di kilang Magna Steyr, Austria.

Dengan berakhirnya produksi BMW Z4, tidak ada sebab bagi pihak pengilang untuk meneruskan produksi bagi model GR Supra, apatah lagi kedua-dua kereta sports tersebut merupakan model volum rendah.

Berita baiknya, legasi GR Supra akan diteruskan dengan kehadiran model generasi baharu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh naib presiden kanan Perancangan Produk dan Strategi Toyota Amerika Utara, Cooper Ericksen kepada laman MotorTrend.

“Adalah logik untuk kami mempunyai Supra generasi baharu. Namun bila dan bagaimana ia masih lagi belum ditentukan.”

“(untuk model baharu ini) sudah pasti akan ada jurang masa. Persoalannya, seberapa besar jurang masa itu nanti,” ujarnya lagi.

Persoalan itu ada logiknya, ini kerana GR Supra A90 membuat kemunculan setelah sekian lama menyepi, dengan jurang masa hampir dua dekad selepas model Supra A80 dihentikan produksi pada tahun 2002.

“Matlamat kami adalah untuk mengurangkan jurang masa tersebut (untuk GR Supra generasi baharu).”

Jelasnya lagi, GR Supra sedia ada sudah sampai ke satu tahap ia sudah mempunyai model Final Edition dan sebabnya mudah, pelaburan yang tidak berbaloi untuk terus memenuhi peraturan yang semakin ketat.

“(GR Supra baharu) perlukan rumah (platform) baharu. Bila kami boleh dapatkan rumah baharu untuk dibina, itu adalah persoalannya pada ketika ini.

Eriksen menegaskan pihaknya akan tetap terus menghasilkan GR Supra generasi baharu “dengan atau tanpa rakan kongsi.”

“Kami harus lihat dan tunggu. Impian kami adalah untuk menghasilkan produk generasi baharu yang hebat dan bakal disukai oleh golongan peminat kami,” ujarnya lagi.

 

Lotus Emira Clark Edition – tribut kepada pelumba hebat F1 era 60-an

Jim Clark diiktiraf sebagai salah seorang pelumba sukan Formula Satu yang paling hebat di dalam sejarah.

Sebagai salah satu tanda penghargaan terhadap insan tersebut, Lotus kini menawarkan kereta sports edisi terhad Emira Clark Edition.

Penampilan luaran Emira ini diinspirasikan daripada jentera lumba Lotus Type 38, dengan layangan warna Clark Racing Green berserta jalur kuning.

Kereta ini turut diserikan dengan bumbung hitam, perumah cermin sisi perak dan tip ekzos kuning.

Tidak ketinggalan, penutup tangki bahan api berwarna biru, serta lencana Clark Edition pada hujung pintu.

Ruang kabin Emira diserikan dengan warna dua tona hitam merah, seperti tema yang digunakan pada jentera Team Lotus era 60-an.

Selain daripada unsur-unsur penghargaan kepada Jim Clark, Lotus Emira Clark Edition juga membawakan tema klasik menerusi penampilan tombol gear manual yang diperbuat daripada kayu.

Lotus Emira Clark Edition menggunakan model Emira V6 sebagai asas, dengan enjin V6 Toyota yang mampu menjana kuasa kuda 400 hp dan 420 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual.

Produksi untuk Emira edisi terhad ini akan dihadkan kepada 60 unit sahaja dan hanya boleh didapati di pasaran tertentu.

Untuk makluman, harga jualan Lotus Emira Clark Edition bermula dari £115,000 (RM647,342) di pasaran UK.

Mazda MX-5 edisi ulang tahun ke-35 kini di Malaysia – dari RM315k

Bermaz Motor selaku pengedar eksklusif kenderaan jenama Mazda mengumumkan penawaran model istimewa Mazda MX-5 35th Anniversary Edition.

Mazda MX-5 edisi khas ini diperkenalkan sebagai satu tribut kepada empat generasi kereta sports yang terkenal dengan ciri pemanduan mengujakan dan reka bentuk yang abadi.

 

Untuk pasaran tempatan, MX-5 edisi ulang tahun yang terhad ini hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G (181 hp/205 Nm) yang dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

Setiap satu diberikan layangan warna Artisan Red Premium yang dicipta khas menggunakan teknologi unik Takuminuri, rim aloi Bright Metallic bersaiz 17 inci, serta lencana ’35th Anniversary’ yang hadir dengan nombor siri.

Sementara ruang kabin pula didatangkan dengan kemasan upholsteri kulit Tan, logo 35th Anniversary Edition pada headrest dan alas kaki, serta kemasan warna Artisan Red pada corong pendingin hawa dan panel pintu.

Selain daripada edisi ulang tahun, semua varian MX-5 didatangkan dengan perubahan bersifat kosmetik pada bahagian luar.

Seperti contoh, unit lampu hadapan dengan grafik LED DRL seakan deria mata, lampu belakang dengan efek ‘afterburner’, serta bampar belakang yang dilengkapi dengan pembalik cahaya dan lampu kabus.

Ruang kabin pula menampilkan kluster meter yang telah direka semula, cermin pandang belakang tanpa bingkai, skrin infohibur 8.8 inci, port pengecasan USB Type-C, serta kamera undur HD.

Dari segi pemanduan, Mazda telah menambah baik sistem stereng EPAS untuk operasi yang lebih lancar dan karakteristik yang lebih linear dan responsif.

Sementara varian 2.0L manual pula kini mendapat ciri DSC-TRACK (Driving Stability Control Track Mode) dan pembeza gelincir terhad asimetri (Asymmetric LSD) untuk kawalan yang lebih optimum dalam pelbagai keadaan termasuklah sesi pemanduan yang bersemangat.

Kecuali edisi ulang tahun, semua varian MX-5 boleh dilayangkan dengan pilihan warna Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Jet Black dan warna baharu Aero Gray.

Harga jualan adalah seperti berikut:
Mazda MX-5 2.0L MT – RM293,000
Mazda MX-5 2.0L AT – RM295,000
Mazda MX-5 35th Anniversary Edition – RM315,000

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition ini akan dipamerkan di Oval Concourse, 1 Utama Shopping Centre bermula 10 hingga 13 April dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pengunjung juga boleh menyertai pertandingan Mazda MX-5 Photo Contest dan berpeluang untuk memenangi barangan eksklusif yang menarik.

Pertandingan ini hanya boleh disertai di Bermaz Auto Showcase di 1 Utama Shopping Centre dan Sunway Carnival Mall di wilayah utara.

 

Mazda MX-5 35th Anniversary Edition

Mazda MX-5 2025

Selepas 18 tahun, Nissan akhirnya tamatkan jualan R35 GT-R di Jepun

Penghujung Februari 2025, Nissan Jepun mengumumkan pihaknya akan menamatkan jualan bagi model GT-R (generasi R35) setelah hampir dua dekad berada di pasaran.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman web rasmi, Nissan berkata, “Kami telah menerima banyak tempahan untuk model Nissan GT-R, dan kini selesai menerima tempahan untuk kuantiti pengeluaran yang dirancang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan atas sokongan mereka sejak ia dilancarkan pada tahun 2007.”

Nissan GT-R R35 telah pun lama dihentikan penawarannya di beberapa pasaran penting disebabkan oleh isu pematuhan peraturan seperti keselamatan, bunyi bising, emisi dan sebagainya.

Pasaran seperti Australia dan New Zealand telah menghentikan penjualan GT-R pada Oktober 2021, manakala pasaran Eropah dan UK pula berbuat demikian pada Mac 2022.

Nissan GT-R diperlihatkan buat kali pertama pada acara pameran Tokyo Motor Show 2007, dan sejak daripada itu ia telah menerima beberapa kali penambahbaikan dan facelift.

Ia dikuasakan oleh enjin bentangan V6 3.8 liter (VR38DETT) dengan kuasa awalan 473 hp, meningkat kepada 565 hp untuk model facelift 2023, sementara versi Nismo pula melonjakkan angka tersebut kepada 600 hp.

Apa akan jadi dengan generasi baharu Nissan GT-R? Adakah ia akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh GT-R yang terdahulu?

Atau ia akan berubah menjadi apa yang dibayangkan menerusi model Hyper Force Concept?

Toyota Gazoo Racing komited kekalkan penawaran enjin konvensional, transmisi manual

Kereta berprestasi tinggi, enjin pembakaran dalaman, dan transmisi manual.

Ini merupakan resipi yang akan cuba dikekalkan oleh Toyota Gazoo Racing untuk tempoh masa yang lebih lama, bermakna satu berita yang cukup baik untuk golongan peminatnya di seluruh dunia.

Dalam satu laporan oleh CarSales AU, eksekutif Toyota Australia Sean Hanley berkata, “enjin pembakaran dalaman dan transmisi manual akan terus dikekalkan untuk jangka masa yang panjang”.

Pendekatan ini tidaklah bermakna Toyota mengenepikan terus teknologi moden untuk model pantas Gazoo Racing.

Toyota sebelum ini meneroka kemungkinan untuk menggantikan petrol dengan hidrogen untuk enjin pembakaran dalaman, malah turut diuji secara terperinci menerusi penglibatan di dalam perlumbaan besar.

Buat masa ini, Toyota sudah mempunyai empat buah model berprestasi tinggi (GR Yaris, GR Supra, GR86 dan GR Corolla) di mana keluarga jentera pantas itu bakal disertai oleh barisan model baharu sperti GR GT3, Celica dan juga MR2 berdasarkan pelbagai info yang diperoleh.

Terdapat juga laporan di mana Toyota sedang bekerjasama dengan Mazda untuk membangunkan kereta sports dengan enjin enam silinder sebaris – adakah ini pengganti kepada GR Supra sedia ada?

Apa pun yang bakal ditawarkan kelak oleh Toyota, Hanley mahu sub-jenama Gazoo Racing akan datang lebih dikenali kerana “bunyi, bau dan rasa daripada enjin pembakaran dalaman”.

Galeri: Honda Prelude Concept di KLIMS 2024

Bertempat di KLIMS 2024, Honda Prelude Concept serba merah ini akhirnya membuat kemunculan yang pertama di Asia di luar negara Jepun.

Untuk makluman terutama kepada generasi baharu, nama ikonik Prelude ini telah pun wujud dalam lima generasi yang bermula sejak tahun 1978, sebelum produksinya berakhir pada tahun 2001.

Setelah sekian lama menyepi, Honda membuat kejutan dengan memperlihatkan model konsep Prelude di acara pameran Japan Mobility Show 2023.

Honda Prelude Concept ini telah pun disahkan akan muncul dalam versi produksi pada tahun 2025-2026 bagi menggantikan model coupe dari keluarga Civic dan Accord.

Berita penuh berkenaan Honda Prelude anda boleh baca pada pautan di bawah:

Honda Prelude lahir semula sebagai coupe sports hibrid, guna platform Civic

 

Honda Prelude Concept

Toyota GR Supra Lightweight Evo, nampak ringkas, tetap berisi!

Selain daripada pengenalan model edisi terhad A90 Final Edition, Toyota Gazoo Racing turut mengemaskini model GR Supra Lightweight Evo sebagai satu alternatif yang tidak kurang hebatnya.

Versi Lightweight Evo ini masih lagi mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 382 hp dan 500 Nm, dipadankan dengan pilihan kotak gear manual atau automatik.

Ia juga tampil lebih ringkas berbanding A90 Final Edition, di mana GR Supra Lightweight Evo ini hanya mendapat ciri seperti spoiler belakang ekor itik gentian karbon, rim hitam kusam baharu bersaiz 19 inci serta sirip pada gerbang roda hadapan.

Namun, Toyota tetap memberikan keutamaan kepada aspek pengendalian, di mana model ini telah diberikan sistem brek Brembo yang lebih besar, sudut camber roda depan dan belakang yang telah disemak semula, serta talaan kepada kawalan elektronik penyerap hentak.

Selain itu, jurutera Toyota telah memperkukuh beberapa komponen penting termasuklah sesendal getah, cagak getah, bar pengimbang dan pendakap bawah lantai.

Akhir sekali, sistem stereng berkuasa elektrik telah disemak semula untuk sensasi kawalan pengendalian yang lebih baik.

Untuk ruang kabin pula, GR Supra Lightweight Evo ini diberikan tempat duduk balutan Alcantara, lengkap dengan logo GR, tali pinggang keledar merah, serta kemasan jahitan merah pada tombol gear untuk penampilan yang sporti.

Menurut Toyota, walaupun produksi GR Supra A90 bakal berakhir, ia bukanlah petunjuk model tersebut akan terus diabaikan.

Sebaliknya, GR Supra akan terus ‘bernafas’ di dalam pelbagai disiplin sukan permotoran di seluruh dunia.

Toyota juga sebelum ini secara tidak langsung mengesahkan GR Supra akan mendapat model pengganti generasi baharu menerusi telur Easter yang boleh ditonton dalam siri animasi pendek GRIP.

Toyota ‘dedah’ barisan kereta sports baharu dalam siri anime GRIP

 

 

Bukan Supra GRMN, tapi GR Supra A90 Final Edition, kuasa cecah 435 hp, 570 Nm!

Sedar atau pun tidak, usia Toyota GR Supra kini sudah mencecah lima tahun sejak kembar kepada BMW Z4 ini mula diperkenalkan pada tahun 2019.

Sebelum kereta sports pacuan roda belakang itu dihentikan pengeluarannya, Toyota Gazoo Racing melancarkan model edisi terhad yang dinamakan sebagai Toyota GR Supra A90 Final Edition.

Nadi asal enam silinder sebaris 3.0 liter turbo itu telah ditala semula untuk peningkatan kuasa 90 hp dan 70 Nm kepada 435 hp dan daya kilas 570 Nm yang dipadankan dengan kotak gear manual.

Antara perubahan yang dibuat termasuklah sistem aliran udara yang telah disemak semula, penggunaan komponen pemangkin jenis tekanan belakang rendah dan mengoptimasikan kawalan operasi enjin.

Hasilnya, GR Supra edisi penamat ini mampu mencapai kelajuan maksimum yang lebih tinggi, sekitar 270 km/j.

Untuk mengekalkan prestasi puncak sepanjang masa, Toyota telah menambah plet penyekat (baffle plate) pada kuali minyak enjin untuk mengelakan agihan pelincir yang tidak sekata di bawah daya-G yang tinggi.

Aspek penyejukan pula dibantu dengan kipas penyejuk radiator, sub-radiator dan membesarkan sirip penyejuk penutup gear pembeza.

Aspek pengendalian telah dipertingkatkan dengan sistem gantungan boleh laras KW yang sama digunakan pada jentera lumba GR Supra GT4, diikuti dengan larasan sudut chamber roda depan dan belakang untuk kadar cengkaman yang lebih baik, serta kawalan pembeza aktif untuk mengurangkan kesan understeer.

Tidak cukup dengan itu, Toyota telah menala kembali sistem stereng elektrik untuk pengendalian yang lebih dinamik, natural dan lebih terhubung, selain menambah bar silang pada ruang kargo belakang serta bar penstabil depan dan belakang yang telah dikuatkan.

Pemandu juga boleh merasai kestabilan di selekoh yang lebih baik, terima kasih kepada saiz tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm membaluti rim serba ringan bersaiz 19 inci depan dan 20 inci belakang.

Sistem brek turut dipertingkatkan dengan pelapik brek yang mempunyai nilai pekali geseran yang tinggi, rotor terapung berlubang depan dan belakang, serta hos brek kasa keluli tahan karat.

Akhir sekali, tidak lengkap kesemua naik taraf di atas tanpa rupa paras yang lebih agresif.

Toyota GR Supra A90 Final Edition ini membawakan kit badan aerodinamik yang diinspirasikan daripada penglibatan dalam sukan permotoran, seperti spoiler hadapan gentian karbon, kepak tengah bampar hadapan, sirip sisi bampar hadapan, liang bonet gentian karbon, dan sayap belakang jenis leher angsa gentian karbon.

Selain itu, A90 Final Edition ini turut meminjam peredam titanium Akrapovič daripada GR Supra GT4, sudah pasti untuk penghasilkan runut bunyi yang lebih bertenaga.

Untuk ruang kabin, GR Supra ini diberikan tempat duduk bucket penuh Recaro Podium, dengan pelapik kusyen Alcantara dan warna racy red untuk posisi pemanduan yang optimum dan selesa terutama di bawah daya-G yang tinggi.

Produksi GR Supra A90 Final Edition ini dihadkan kepada 300 unit sahaja untuk satu dunia.

SAH: Kereta sports Mazda Iconic SP akan diproduksikan, kekal dengan enjin rotari?

Setelah setahun berlalu, Mazda akhirnya mengumumkan perancangan untuk menghasilkan model konsep Iconic SP menjadi sebuah model produksi yang sebenar.

Menurut ketua unit rekaan Mazda, Masashi Nakayama berkata, “konsep ini bukanlah sekadar kereta pameran yang kosong, ia telah direka dengan niat yang sebenar untuk mengubahnya menjadi model produksi tidak lama lagi.

Sebelum ini, terdapat beberapa bayangan di mana Mazda mahu merealisasikan projek tersebut.

Petunjuk pertama muncul ketika acara Japan Mobility Show 2023, di mana presiden dan CEO Mazda Masahiro Moro menyifatkan Iconic SP sebagai mercu tanda “komitmen masa depan” jenama itu.

Beberapa bulan kemudian, Mazda dilapor menyertai pakatan yang ditubuhkan oleh Mazda untuk membangunkan enjin pembakaran dalaman yang dapat mencapai sasaran neutral karbon, di mana pengeluar itu komited untuk mengekalkan enjin rotari ikonik mereka.

Sebagai pengganti kepada kereta sports RX-7 dan RX-8, kereta konsep Mazda Iconic SP dilengkapi dengan enjin rotari rotor berkembar yang dipadankan dengan unit rangkaian kuasa elektrik (EV), dan output keseluruhan mampu mencecah 365 hp.

Mazda mendakwa unit enjin rotari penambah jarak itu boleh menggunakan apa jua bahan api neutral karbon yang mampu mengurangkan penghasilan emisi sehingga 90 peratus.

Selain daripada itu, Mazda juga kini sedang menguji teknologi yang dapat memerangkap CO2 daripada emisi ekzos, di mana ia mungkin memainkan peranan penting dalam pembangunan kenderaan masa depan pengeluar itu.

 

Enjin rotari generasi baharu

 

Mazda Iconic SP Concept @ Japan Mobility Show 2023

Toyota, Mazda, Subaru tubuh pakatan bangunkan enjin inline-4, rotari, boxer baharu

Mazda Iconic SP bawa semula enjin rotary, lampu pop-up!

Nissan daftar tanda dagang ‘Z Warrior’, petanda kemunculan Z versi off-road?

Segmen kereta sports off-road yang kini disertai oleh Porsche 911 Dakar dan Lamborghini Huracan Sterrato mungkin bakal dimeriahkan dengan sebuah lagi pendatang baharu, kali ini dari negara Matahari Terbit.

Menurut laporan, Nissan telah mendaftarkan tanda dagang ‘Z Warrior’ di pejabat IP Australia yang memberikan petunjuk kemunculan kereta sports Z khusus untuk menawan laluan off-road.

Nissan sebelum ini telah memperlihatkan sebuah konsep Safari Rally Z Tribute yang cukup menarik perhatian.

Diinspirasikan daripada jentera Datsun 240Z yang telah memenangi East African Safary Rally 1971, Nissan Z generasi baharu itu telah diberikan talaan suspensi KW Safari yang lebih tinggi 2 inci, serta rim prototaip Nismo Safari 17 inci yang dibaluti tayar Yokohama Geolander M/T G003.

Penambahan beberapa unit pencahayaan pada hud, bampar dan tiang A melengkapkan lagi rupa paras sebuah jentera rali yang sebenar.

Unit enjin asal juga telah ditala, di mana enjin bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar itu telah dipasangkan dengan beberapa komponen Nismo termasuklah klac berkembar, flywheel, unit penukar haba, tangki coolant, sistem kemasukan udara sejuk, pelindung enjin gentian karbon dan sistem ekzos jenis cat-back.

Untuk makluman, Nissan Australia turut menawarkan trim Warrior untuk model seperti Navara dan juga Patrol di mana kedua-dua model ini dilengkapi dengan kit badan dan aksesori yang memang dikhususkan untuk menawan pelbagai jenis bentuk muka bumi.

 

Nissan Safari Rally Z Tribute 2023

Datsun 240Z Rally 1971

Hennessey Venom F5-M merupakan kereta manual paling berkuasa di dunia, cecah 1,817 hp!

Ucapkan selamat datang kepada roadster bertransmisi manual yang paling berkuasa di dunia, Hennessey Venom F5-M.

Dibina berdasarkan model Venom F5 Roadster, Venom F5-M menggunakan nadi bentangan V8 6.6 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 1,817 hp dan daya kilas 1,618 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan, berbanding kotak gear AMT tujuh kelajuan pada model asal.

Menurut Hennessey, Venom F5-M ini memerlukan “tumpuan pemandu yang maksimum” dan dalam masa yang sama menjanjikan “pengalaman pemanduan yang lebih ekstrem dan mendalam”.

Bagi membezakan model ini dengan mana-mana model F5 Roadster standard, Hennessey telah memadankan sirip aerodinamikyang agak panjang (1,400 mm) yang menghiasi ruangan dek belakang.


Untuk ruang kabin, F5-M Roadster ini didatangkan dengan kotak pedal baharu, tuil penukaran gear aluminium/gentian karbon dengan shift gate yang diperbuat daripada aluminium bilet.

Turut dibawakan sama ialah roda stereng stail yoke yang menampilkan pelbagai jenis butang fungsi untuk kegunaan pemandu.

Hanya 12 unit sahaja Hennessey Venom F5-M yang akan diproduksikan, dan dengan harga sekitar $2.65 juta (RM11.51 juta) untuk satu unit.

Tidak menghairankan apabila kesemua unit sudah pun habis terjual sebelum ia sempat didedahkan kepada umum, menunjukkan betapa bernilainya jentera ini di mata peminatnya.

Nissan sedang bangunkan kereta sports Silvia!

Masih ingatkah anda dengan kereta sports konsep Nissan IDx yang diperlihatkan sebelas tahun yang lepas?

Ia merupakan antara model konsep yang cukup mencuri tumpuan, namun sayang sekali ia tidak direalisasikan disebabkan oleh kos pembangunan yang agak mahal, ditambah pula dengan permintaan pada ketika itu yang tidak memberangsangkan.

Namun begitu, pada tahun 2024 Nissan dilapor akan membangunkan kereta sports ketiga berprestasi tinggi selepas model Z dan GT-R.

Bercakap kepada media, naib presiden strategi produk global Nissan, Ivan Espinosa berkongsi tentang perancangan untuk menghidupkan semula model ikonik Silvia, biarpun pasaran kereta sports semakin mengecil.

“Saya cuba untuk merealisasikannya. Ia bukan mudah, kerana pasaran kereta sports semakin menguncup.

Beliau mendedahkan bayangan di mana Silvia akan lahir menjadi sebuah kereta sports berelektrik (diposisikan antara Z dan GT-R) supaya model baharu ini dapat memenuhi undang-undang emisi di seberapa banyak negara yang mungkin.

Dengan cara ini, Nissan dapat meningkatkan angka produksi untuk mencapai skala ekonomi yang diperlukan.

Selain itu, Nissan juga tidak akan mengikut jejak langkah pengeluar bekerjasama untuk membangunkan kereta sports seperti Toyota GR Supra/BMW Z4, dan Toyota GR86/Subaru BRZ.

Sebaliknya, Nissan mahu bersendirian membangunkan model Silvia baharu ini tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Espinosa juga yakin Nissan dapat bergerak solo membangunkan model Silvia ini, walaupun mengakui projek ini sukar dan memperlukan pelaburan yang serius.

Apa yang pasti, Nissan Silvia pada masa hadapan tidak akan menjadi satu model yang terasing, memandangkan model itu bakal berdepan saingan sengit daripada pengeluar Jepun lain.

Seperti contoh, Mazda sedang membangunkan generasi baharu MX-5, Honda pula hadir dengan kereta sports Prelude, manakala Toyota GR86 pula mungkin akan dikemaskini dengan pakej enjin hibrid.

 

Kereta sports dengan versi off-road, ini 8 pilihan kami

KERETA sports tetapi dengan versi off-road atau rali bukanlah idea baharu. Porsche 959 telah dimodifikasi untuk rali Paris-Dakar sejak 1980-an dan Datsun 240Z juga pernah digunakan untuk berentap dalam acara East African Safari Rally pada 1973.

Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan pengeluar kereta sports yang menawarkan edisi off-road dan rali untuk model mereka.

Siapa yang tidak suka? Mana tidaknya, ia nampak cool, laju, tetapi tidak risau untuk melanggar lubang. Jadi kami senaraikan lapan pilihan model kereta sports versi off-road yang ada hari ini.

1. Lamborghini Huracan Sterrato

Munculnya Lamborghini Huracan Sterrato memang sukar dipercayai. Dengan rupa supercar sejati yang tajam dan bersudut agresif, bukan mudah untuk menukar imejnya menjadi rugged. Tetapi Lamborghini berjaya memberikan gaya off-road yang sesuai pada Huracan, tidak keterlaluan.

Ia 44mm lebih tinggi dari model standard dan mendapat tayar run-flat khas dari Bridgestone. Enjin masih 5.2-liter naturally-aspirated V10 dengan 610PS, tetapi supercar ini diberikan mod Rally yang akan mengubah tetapan AWD dan sistem suspensinya.

2. Porsche 911 Dakar

Porsche 911 boleh dikatakan antara model paling popular untuk diubah menjadi versi off-road atau rali. 911 Dakar ialah model rasmi dari Porsche, dan jentera ini merupakan penghormatan kepada 911 asal yang berentap dalam rali Paris-Dakar dan menang pada 1984 dan 1986.

Berbanding model standard, 911 Dakar ialah 50mm lebih tinggi, dikuasakan enjin 3.0-liter twin-turbo flat-six dari varian GTS yang menghamburkan 480PS, dan mendapat tayar Pirelli Scorpion khas. Hanya 2,500 unit akan dihasilkan.

@amrl_hzmi

Kereta sports boleh masuk kebun dgn pantai 🥹 . #pcca #porsche #porschecars #porsche911 #911dakar #911safari #porsche911dakar #porsche992 #porschecarreracup #fyp #foryou #carreview

♬ original sound – amrl_hzmi – amrl_hzmi

3. Nissan Safari Rally Z Tribute

 

Safari Rally Z Tribute bukan sekadar untuk pameran SEMA, ia satu variasi moden kepada Datsun 240Z yang menjuarai Safari Rally 1971.

Diasaskan dari Nissan 400Z baharu, versi Safari Rally Tribute menampilkan suspensi KW dengan tambahan 2-inci, lampu-lampu spotlight dan plat-plat perlindungan di bawah casis.

Di dalam pula, terdapat roll-cage, tempat duduk Recaro, harness 4-poin, dan peta. Ya, peta kertas. Cool habis. Diharap Nissan dapat mengeluarkan versi yang boleh dibeli oleh orang ramai.

4. Morgan Plus Four CX-T

Pernahkah anda terfikir bahawa Morgan akan menerima versi off-road? Menariknya, Morgan pernah menjadi jentera popular untuk sukan time attack dan hill-climb.

Versi CX-T menggunakan model Plus Four dan ditala oleh pakar dari Rally Raid UK, menampilkan spring dan penyerap hentak rali, roll-cage, lampu kabus, dan palbagai aksesori lain.

5. Singer ACS

911 Dakar dan Huracan Sterrato memang sangat cool, tetapi tidak dapat menandingi Singer ACS atau nama penuhnya All-Terrain Competition Study.

Ianya hasil kerjasama antara Singer dengan pakar 911, Richard Tuthil. Kuasa 450PS nampak seperti biasa-biasa sahaja, tetapi anda boleh sahaja menambah kuasa bila menempah model ini. Kami rasa inilah kereta sports versi off-road kegemaran kami.

Berbaloi jadikan gambarnya sebagai wallpaper telefon.

6. Lancia Stratos

Jika ditanya kereta sports versi off-road mana yang paling OG, jawapannya mestilah Lancia Stratos. Ia direka dengan jarak roda depan dan belakang sangat pendek, bukan kerana untuk nampak cool, tetapi kerana rali.

Ini memberikan Stratos pengendalian yang lincah dan banyak oversteer. Ini juga yang membuatkan para peminat rali tergila-gilakannya.

Hanya 492 Stratos pernah dibina, menjadikannya lebih rare dari Lamborghini Miura. Ia juga menjuarai World Rally Championship dari 1974 hingga 1976, jadi memang lejen.

7. Ariel Nomad

Britain nampaknya ada dua idea untuk kenderaan off-road prestasi tinggi. Satu ialah Range Rover V8. Satu lagi ialah Ariel Nomad, kombinasi Ariel Atom, dune buggy, kereta RC Tamiya, dan kenderaan fun fair.

Ia dipacu oleh enjin Honda 2.4-liter yang menyalurkan kuasa ke tayar belakang. Dengan kabin terdedah tanpa bumbung dan pintu, Nomad menjanjikan keseronokan sejati di laluan off-road.

8. RUF Rodeo

Disebabkan 911 cukup popular menjadi kenderaan off-road, nampaknya RUF juga mahu mempersembahkan idea mereka. Dengan suspensi lebih tinggi, tayar off-road, enjin flat-six yang dinaik taraf, dan kemasa kulit dalam kabin, inilah RUF Rodeo.

Enjin yang ditala tadi dicas oleh turbo dan menjana 610hp. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear manual 6-kelajuan.

Rodeo juga dilengkapi suspensi double-wishbone dengan penyerap hentak pushrod di depan dan belakang, serta brek 6-piston di depan dan 4-piston di belakang.

Toyota GR86 2025 dapat naik taraf aspek pengendalian, dan warna hijau eksklusif!

Toyota Jepun telah mengemaskini penawaran model kereta sports coupe pacuan roda belakang Toyota GR86 untuk model tahun 2025 dengan membawakan naik taraf yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya.

Berbanding GR86 yang telah diperkenalkan sebelum ini, Toyota mendakwa GR86 2025 mampu menawarkan pengendalian yang lebih tajam serta perasaan pemanduan yang lebih terhubung dengan jalan raya.

 

 

Berdasarkan input yang diperoleh daripada litar lumba, Toyota telah menala kembali karakteristik sistem gantungan serta kawalan stereng berkuasa elektrik (EPS) jentera ini untuk respons dan pengendalian yang lebih jitu tanpa mengorbankan aspek kestabilan.

Untuk model bertransmisi manual, kawalan pendikit telah diubah semula untuk memudahkan pemandu membuat ‘throttle blipping‘, selain menawarkan tindak balas pendikit yang lebih terus-menerus.

 

 

Para jurutera Toyota turut mengubah aspek toleransi kelajuan enjin pada model GR86 bertransmisi automatik untuk pemanduan yang lebih sporti berdasarkan maklum balas pelanggan yang terlibat dalam sukan permotoran.

Selain daripada itu, Toyota GR86 2025 telah dikemaskini dengan penambahan ciri baharu seperti sistem amaran tekanan tayar serta lampu nyalaan siang (DRL).

 

 

Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih istimewa, Toyota Jepun turut memperkenalkan GR86 edisi “RZ Ridge Green Limited” yang dihadkan sebanyak 200 unit sahaja.

Ia membawakan warna hijau eksklusif pada bahagian luaran, rim 18 inci berwarna gangsa, rotor brek berliang Brembo, penyerap hentak SACHS, kemasan upholsteri kulit dan suede dua tona berwarna hitam/tan, serta sulaman istimewa pada panel pintu.

 

Toyota GR86 edisi Ridge Green Limited dijual pada harga bermula dari ¥3,897,000 (RM114,560) dan hanya boleh dibeli menerusi sistem cabutan bertuah yang akan ditutup permohonannya pada 28 Julai ini.

Mereka yang terlepas peluang boleh mendapatkan Toyota GR86 spesifikasi standard dengan harga jualan dari ¥3,195,000 (RM93,923) untuk versi manual sementara versi auto bermula dari ¥3,293,000 (RM96,804).

 

Toyota GR86 RZ Ridge Green Limited 2025


Toyota GR86 2025

Toyota USA sah tamatkan penjualan GR Supra 2.0 liter

Belum pun sempat menikmati usia dua tahun, penjualan kereta sports Toyota GR Supra bernadikan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter untuk pasaran Amerika Syarikat telah pun ditamatkan pada bulan ini.

Dalam satu siaran media, Toyota USA mengesahkan model GR Supra 2025 hanya boleh didapati dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkuasa 382 hp dan 499 Nm sahaja.

Mujur pembeli masih lagi boleh mendapatkan GR Supra 2025 dengan pilihan transmisi manual enam nisbah kelajuan, atau automatik lapan nisbah kelajuan.

 

 

Toyota memperkenalkan GR Supra dengan nadi 2.0 liter turbo (255 hp/400 Nm) pada tahun 2022 sebagai alternatif yang lebih murah, namun langkah tersebut dilihat tidak membantu meningkatkan prestasi jualan yang sedia perlahan.

Sepanjang tahun 2023, Toyota hanya berjaya menjual sebanyak 2,652 unit GR Supra secara keseluruhan (gabungan model manual dan automatik).

Berbalik semula kepada GR Supra 2025, Toyota menawarkan kelengkapan yang hampir sama dengan model tahun 2024, seperti tempat duduk sport balutan kulit/kemasan Alcantara atau opsyen kulit berwarna perang, skrin sentuh 8.8 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sistem audio JBL 500 watt dengan 12 pembesar suara.

 

 

Kesemua model dibekalkan dengan balutan getah Michelin Pilot Super Sport, kawalan cengkaman TRAC, Sistem Pra-pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Kawalan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Suluhan Tinggi Automatik, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), serta Kawalan Jelajah tradisional.

Sementara model AT pula didatangkan dengan fungsi Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC).

Harga jualan juga meningkat daripada $56,495 (RM266,487) pada tahun lalu kepada $57,345 (RM270,496), sementara model 3.0 Premium pula kini berharga $60,495 (RM285,355).

Berdasarkan semakan ringkas di internet, Toyota GR Supra 2.0 liter masih lagi dijual di pasaran Jepun, namun model tersebut hanya boleh didapati dengan padanan transmisi automatik sahaja.

Mereka yang mahukan kotak gear manual perlu mendapatkan GR Supra dengan nadi enam silinder sebaris.

 

Toyota GR Supra 3.0 2025