Arkib Tag: kereta penumpang

Chery pengeluar China pertama melepasi 5 juta eksport global

Chery International Group kini merupakan pengeluar kereta China nombor satu yang mengeksport lebih lima juta unit kenderaan ke seluruh dunia.

Pencapaian tersebut sekaligus mengekalkan Chery di kedudukan nombor satu dalam eksport kereta penumpang untuk 22 tahun berturut-turut.

Pada Julai 2025, Chery turut mencatatkan pencapaian bersejarah “Double 500” di mana syarikat tersebut muncul sebagai pengeluar paling pantas berkembang dalam senarai Fortune Global 500 dan Fortune China 500 untuk tahun kedua berturut-turut.

Chery kini berada di kedudukan yang ke-233 di peringkat global (naik daripada kedudukan ke-385 tahun 2024), dan di tangga ke-59 di China (naik dari kedudukan ke-100 tahun 2024).

Pencapaian tersebut banyak disumbangkan oleh Omoda | Jaecoo yang kini sudah menembusi 44 pasaran di seluruh ASEAN, Australia, Eropah dan Amerika Selatan.

Dalam tempoh masa dua tahun, Omoda | Jaecoo memegang 37 peratus di dalam jumlah eksport keseluruhan Chery, dengan jumlah jualan terkumpul melebihi 570,000 unit.

Didorong oleh asas teknologi yang kukuh termasuklah pengenalan Super Hybrid System (SHS), Omoda | Jaecoo turut memperlihatkan prestasi cemerlang dalam kategori kenderaan tenaga baharu (NEV).

Ini dibuktikan dengan jualan model NEV sebanyak 13,023 unit untuk tempoh suku pertama 2025 (Q1 2025) berbanding 2,325 unit untuk tempoh yang sama tahun 2024, atau peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 460 peratus.

Malah dalam tempoh separuh pertama 2025 (H1 2025), 40 peratus daripada jumlah eksport terdiri daripada NEV.

Di Malaysia, Omoda | Jaecoo mencatatkan jualan melebihi 17,000 unit kenderaan sejak model pertama Jaecoo J7 debut pada Julai 2024, diikuti Omoda C9 (Disember 2024), J7 PHEV (Februari 2025) dan Jaecoo J8 (Julai 2025).

Berdasarkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Omoda | Jaecoo mengekalkan kedudukannya di dalam kelompok lima jenama automotif teratas di Malaysia untuk tempoh H1 2025.

Bridgestone Malaysia lancar tayar Turanza 6 – sesuai untuk EV!

Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd mengumumkan ketibaan produk tayar premium baharu Turanza 6 yang direka untuk segmen kenderaan penumpang.

Menurut Michael Chung, Pengarah Urusan Bridgestone Malaysia berkata, “tayar mercu baharu ini menggandingkan prestasi luar biasa dengan fokus kepada kemampanan, mempamerkan dedikasi Bridgestone terhadap keselamatan, inovasi dan tanggungjawab alam sekitar dalam segmen tayar premium.”

Turanza 6 menawarkan teknologi ENLITEN™ yang mengutamakan kesenyapan, keselesaan dan cengkaman di laluan yang basah sebagai kunci utama penambahbaikan daripada tayar Turanza T005A sedia ada.

Menurut Bridgestone, Turanza 6 mampu mengurangkan kebisingan sebanyak 8 peratus serta keselesaan meningkat 8 peratus untuk pemanduan yang lebih senyap dan selesa.

Prestasi cengkaman di jalan basah juga meningkat 14 peratus, menyumbang kepada keyakinan pengendalian dalam keadaan yang mencabar.

Selain kereta konvensional, tayar Turanza 6 ini juga sesuai untuk kebanyakan kereta elektrik (EV).

Ciri rintangan golekan tayar yang rendah ini mampu memanjangkan hayat bateri dan mengurangkan kadar kebimbangan jarak di kalangan pemilik EV.

Dalam masa yang sama, ia juga lebih tahan terhadap beban dan daya kilas EV yang rata-ratanya jauh lebih tinggi berbanding kereta konvensional.

Sesuai dengan tema kelestarian, Bridgestone mengurangkan penggunaan bahan mentah baharu dalam binaan Turanza 6, sekaligus menurunkan kadar penghasilan CO2 semasa peringkat bahan mentah.

Dengan rintangan golekan yang lebih rendah mengurangkan penggunaan tenaga sewaktu memandu menyumbang kepada pengurangan emisi CO2 sebanyak 13 peratus untuk setiap kilometer.

Produk tayar Bridgestone Turanza 6 ini sudah berada di pasaran sejak 1 Ogos 2025, dengan pilihan saiz bermula dari 14 hingga 21 inci.

Bermula 1 hingga 31 Ogos 2025, pelanggan yang membuat pembelian empat tayar Turanza 6 dalam satu resit akan menerima hadiah edisi terhad bantal selimut 2-dalam-1 (tertakluk kepada stok).

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.bridgestonetyre.com.my

Nissan henti jual kereta manual paling mampu milik di Amerika

Dulu kereta penumpang bertransmisi manual merupakan pilihan yang popular, namun kini ia bakal pupus ditelan zaman.

Di Amerika Syarikat, Nissan telah menghentikan jualan bagi varian Versa (Almera) paling murah dan juga model terakhir di dalam pasaran yang dilengkapi dengan transmisi manual lima-kelajuan.

Nissan dalam satu kenyataan rasmi yang dikemukakan kepada laman Motor1 mengesahkan “produksi varian manual Versa S akan dihentikan, manakala varian lain akan terus dijual.”

Untuk makluman, Nissan Versa S (versi manual) dijual pada harga bermula dari $18,330 (RM77,902), sementara versi CVT pula berharga $20,130 (RM85,553).

Disebalik populariti Versa di pasaran tersebut, varian manual hanya merangkumi kurang lima peratus berbanding jumlah jualan keseluruhan model tersebut.

Pasaran Amerika masih lagi menawarkan model-model baharu dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan, rata-ratanya terdiri daripada model berprestasi tinggi seperti BMW M2, Honda Civic Type R, Hyundai Elantra N, Porsche 911, serta barisan model Toyota Gazoo Racing (GR86, GR Corolla, GR Supra).

Perodua pengeluar kedua terbesar di ASEAN sepanjang tahun 2024

Tahun 2024 menyaksikan Perodua bukan sahaja mencatatkan rekod pendaftaran kenderaan tertinggi bagi pasaran tempatan, malah pengeluar itu kini berjaya menduduki tangga kedua dalam carta jualan kenderaan penumpang pasaran ASEAN tahun yang sama.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Perodua kepada para pengamal media bersempena dengan acara ‘Up-Close & Casual With Perodua’, semalam.

Berdasarkan data jualan kenderaan penumpang ASEAN 2024, Perodua berjaya merekodkan angka jualan sebanyak 358 ribu unit, memintas Honda yang kini berada di tempat ketiga (303 ribu unit).

Untuk rekod, pada tahun 2023 Perodua menduduki tangga ketiga dengan jumlah jualan kenderaan sebanyak 330 ribu unit di belakang Honda di tangga kedua (351 ribu unit) dan Toyota di tangga pertama (752 ribu unit).

Sejak mula ditubuhkan sehingga kini, Perodua kini mencatatkan jumlah kenderaan sebanyak 5.1 juta unit di atas jalan raya.

Daripada jumlah tersebut, Myvi masih lagi menerajui carta sebagai raja jalanan dengan jumlah kenderaan sebanyak 1.487  juta unit, diikuti Perodua Axia (746 ribu unit), Perodua Kancil (709 ribu unit), dan Perodua Alza (503 ribu unit).

Selain daripada itu, tahun 2024 juga menyaksikan Perodua melepasi kapasiti pengeluaran asal sebanyak 320,000 unit, di mana sebanyak 368,100 kenderaan dikeluarkan pada tahun itu.

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, “rekod 368,100 unit itu dicapai dengan meminimumkan masa henti (downtime) mengikut jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal dan pengedar, serta tangkas menangani cabaran.”

Untuk tahun 2025, Perodua memperuntukkan sejumlah RM1.6 bilion perbelanjaan model di mana sebahagian besar pelaburannya akan dikhaskan untuk penambahbaikan kilang, peningkatan kapasiti stamping, serta pembangunan model baharu dan perkakasan.

Dalam pada itu, Perodua menjangkakan jumlah pengeluaran 2025 akan merosot 4.9 peratus kepada 350,000 unit, serta pengurangan jumlah pendaftaran sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit.

“Walau bagaimanapun, permintaan terhadap kenderaan kami kekal sihat dengan tempahan tunggakan semasa kini mencecah 68,000 unit, di mana 28,000 tempahan mempunyai surat aku janji yang dikeluarkan tanpa stok,” jelasnya lagi.

Dari segi perniagaan selepas jualan, Dato’ Sri Zainal berkata syarikat itu menyasar untuk meningkatkan jumlah penyelenggaraan kenderaan tahun ini kepada 3.7 juta, atau peningkatan sebanyak 7.6 peratus.

Perodua juga akan terus menyokong ekosistem automotif negara dengan pembelian komponen tempatan yang dianggarkan berjumlah RM10.8 bilion daripada pembekal di negara ini.

“Tahun 2025 akan menjadi tahun yang mengujakan buat Perodua kerana kami sedang mempersiapkan syarikat dan rakan strategiknya untuk sebarang perubahan yang bakal berlaku. Kami percaya apabila perubahan ini sudah lengkap, kami mampu mengukuhkan kedudukan kami di negara ini serta rantau ini,” katanya.