Arkib Tag: kereta paling laris

Honda N-Box kei car paling laris di Jepun untuk 11 tahun berturut-turut!

Honda nampaknya masih lagi menguasai pasaran kenderaan ringan (kei car) di Jepun.

Untuk tahun yang ke-11 sejak tahun 2015, Honda N-Box dinobatkan sebagai kereta kecil yang paling laris dengan jumlah sebanyak 201,354 unit terjual sepanjang tahun 2025.

Malah, sepanjang bulan Disember Honda berjaya menjual sebanyak 15,570 unit N-Box, mengalahkan Suzuki Spacia di tempat kedua (11,397 unit) dan Daihatsu Tanto di tangga ketiga (9,287 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kei car paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Honda N-Box: 201,354 unit
2. Suzuki Spacia: 165,589 unit
3. Daihatsu Tanto: 124,619 unit
4. Daihatsu Move: 122,349 unit
5. Suzuki Hustler: 87,972 unit
6. Suzuki Wagon R: 72,520 unit
7. Nissan Roox: 71,498 unit
8. Mitsubishi Delica Mini/ek: 58,916 unit
9. Suzuki Alto: 57,553 unit
10. Daihatsu Mira: 55,777 unit

Sementara itu, Toyota pula menguasai 8 tangga dalam senarai 10 kereta penumpang paling laris di Jepun.

Tempat pertama disandang oleh Toyota Yaris dengan jumlah jualan 166,533 unit, diikuti oleh Toyota Corolla (138,829 unit) dan Toyota Sienta (106,558 unit).

Tidak cukup dengan itu, Toyota turut menguasai segmen MPV menerusi model Alphard, Noah dan Voxy.

Honda pula menduduki tangga keenam menerusi model Freed (90,437 unit) manakala Nissan pula di tangga ke-10 dengan model Note (78,123 unit).

Berikut merupakan kedudukan 10 kereta penumpang paling laris terjual sepanjang tahun 2025:

1. Toyota Yaris: 166,533 unit
2. Toyota Corolla: 138,829 unit
3. Toyota Sienta: 106,558 unit
4. Toyota Raize: 100,851 unit
5. Toyota Roomy: 95,221 unit
6. Honda Freed: 90,437 unit
7. Toyota Alphard: 86,959 unit
8. Toyota Noah: 80,065 unit
9. Toyota Voxy: 78,760 unit
10. Nissan Note: 78,123 unit

XC60 dinobatkan sebagai kereta Volvo paling laris mengalahkan model ikonik 240

Tamat sudah legasi model ikonik Volvo 240 sebagai kereta Volvo yang paling laris terjual dalam sejarah.

Ini kerana gelaran tersebut telah dipegang secara rasmi oleh Volvo XC60 dengan lebih 2.7 juta unit terjual di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada tahun 2008.

SUV saiz sederhana ini pada mulanya dihasilkan untuk pasaran Eropah sebelum dijadikan sebagai model global Volvo yang pertama yang dipasang di negara China.

Ia juga turut dinamakan sebagai World Car of The Year pada tahun 2018.

Ketika Volvo 240 dilancarkan pada tahun 1974, model tersebut meletakkan standard baharu dalam keselamatan termasuklah rekaan badan yang mampu menyerap hentakan depan dan belakang.

Ia juga merupakan antara yang terawal memperkenalkan perlindungan hentakan sisi yang kemudian dikembangkan menjadi sistem perlindungan impak sisi (SIPS).

Tahun 1978, Volvo memperkenalkan inovasi baharu kusyen booster kanak-kanak (Child Booster Cushion).

Legasi kereta selamat ini diteruskan dengan XC60 menerusi pengenalan pelbagai teknologi canggih seperti contoh sistem brek automatik (City Safety) yang dapat mengelak atau mengurangkan pelanggaran pada kelajuan sehingga 30 km/j.

Pada tahun 2017, XC60 menjadi model pertama di dunia yang memperkenalkan sistem pengelakan pelanggaran lorong bertentangan (Oncoming Lane Mitigation).

Menurut Susanne Hägglund selaku Ketua Penawaran Global Volvo Cars, “Ketika membesar di Sweden pada era 1980-an, Volvo 240 merupakan kereta keluarga yang ikonik – hampir setiap rumah memilikinya.

“Hari ini, XC60 mengambil peranan tersebut – bukan sekadar sebagai pilihan keluarga, tetapi juga sebagai model paling berjaya dalam sejarah kami.

Dacia Sandero dinobatkan kereta paling laris di Eropah tahun 2024

Tahukah anda, kereta apakah yang paling laris terjual di Eropah untuk tahun 2024?

Ia bukanlah kereta buatan Jepun, bukan juga kereta rakyat jenama Jerman, tapi sebaliknya ia sebuah kereta daripada negara Romania.

Lebih tepat lagi, Dacia Sandero (good news! bak kata James May).

Menurut data daripada penganalisa industri Jato Dynamics, sebanyak 268,101 unit Dacia Sandero telah didaftarkan di Eropah sepanjang tahun lalu.

Tempat kedua pula disandang oleh Renault Clio, dengan perbezaan melebihi 50,000 unit berbanding Dacia Sandero, diikuti dengan Volkswagen Golf (215,715 unit).

Jualan model paling popular tahun 2023, iaitu Tesla Model Y turun sebanyak 17 peratus kepada 209,214, namun ia masih lagi kekal juara di dalam kategori kenderaan elektrik yang paling popular.

Sebut pasal EV, pegangan pasaran bagi kenderaan sifar emisi tersebut menurun daripada 15.7 peratus (2023) kepada 15.4 peratus untuk tahun lepas, manakala peratusan model berenjin petrol pula meningkat daripada 47.8 peratus kepada 48.4 peratus.

Punca kemerosotan EV adalah disebabkan oleh penarikan insentif serta harga jualan purata yang masih lagi tinggi dan diluar kemampuan, menurut analisis Jato Dynamics.

Sementara itu, permintaan terhadap kenderaan hibrid meningkat daripada 9.9 peratus kepada 11.8 peratus, manakala kenderaan plug-in hybrid (PHEV) pula sekadar menguasai 7.3 peratus (turun daripada 7.7 peratus).

Honda N-BOX masih lagi juara kereta paling laris di Jepun

Biarpun angka jualan Honda secara keseluruhan sukar untuk mengatasi gergasi Jepun Toyota, tapi setidak-tidaknya Honda mampu membuktikan ia mampu menjadi model yang paling laris di sana.

Model yang dimaksudkan ialah kei car Honda N-BOX.

Ya, kereta kotak ini bukan sahaja popular di kalangan para peminat kei car di sini, ia juga merupakan satu nama yang cukup besar dan mampu mengalahkan model-model pesaing.

Berdasarkan laporan Response JP, Honda N-BOX mencatatkan jualan sebanyak 102,226 unit sepanjang tempoh separuh pertama tahun fiskal 2024 (April-September), atau peningkatan sebanyak 1.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ini menjadikan Honda N-BOX kekal juara sebagai kereta yang paling laris terjual untuk tahun ketiga berturut-turut!

Tempat kedua pula disandang oleh kei car Suzuki Spacia (80,179 unit), diikuti Toyota Corolla (77,030 unit), dan Toyota Yaris (73,052 unit).

Terkesan dengan skandal isu keselamatan, kereta popular Daihatsu Tanto turun tiga anak tangga ke tempat keenam, dengan jumlah jualan 53,177 unit, atau penurunan sebanyak 26.3 peratus.

Seperkara menarik yang datang dari negara Matahari Terbit ialah kadar peralihan kepada EV yang agak perlahan, di mana EV hanya membentuk 1.3 peratus sahaja dalam jualan kenderaan baharu dengan penurunan sebanyak 0.6 peratus.