Arkib Tag: kereta elektrik

Kerajaan tumpu pembangunan EV, yakin terima sambutan rakyat

KERAJAAN akan terus memberi keutamaan terhadap program pembangunan, validasi dan pengkomersialan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi malah, menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Jelas Datuk Seri Dr Adham Baba, kerajaan kini berusaha meneroka lebih banyak aspek berkaitan teknologi EV menerusi Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

“Program ini menekankan pembangunan dan pengkomersialan sistem simpanan tenaga bagi kegunaan mobiliti elektrik termasuk bateri, ultra kapasitor, penyimpanan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri,” katanya.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ bagi meningkatkan penerimaan terhadap teknologi EV.

Secara tidak langsung, pendekatan itu mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeksport komponen EV tersohor di rantau Asean.

Terdahulu, Dr Adham yakin penggunaan EV bakal menerima sambutan baik daripada rakyat negara ini.

“MOSTI yakin penerimaan awam terhadap kenderaan EV akan meningkat dalam jangka pendek memandangkan kenderaan EV jimat tenaga.

“Ia hanya memerlukan infrastruktur pengisian yang sederhana melibatkan sistem pertukaran bateri.

“Teknologi EV juga mempunyai potensi yang besar untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030,” katanya lagi.

Geely sasar buka 5,000 stesen penukaran bateri EV di China

SYARIKAT subsidiary Geely iaitu Geely Technology Group bercadang membina lebih 5,000 stesen penukaran bateri electric vehicle (EV) di China.

Sasaran dibuat selepas syarikat itu berjaya menghasilkan proses perkhidmatan penukaran bateri E-Energee sebelum ini.

Pada acara Wuzhen Internet Conference 2021, Geely Technology Group menunjukkan bahawa mereka berjaya menghasilkan proses penukaran bateri dalam tempoh kurang seminit.

Foto ihsan Geely

Apa yang menarik, Geely Technology Group mendakwa proses penukaran bateri hanya mengambil masa 59 saat berbanding 90 saat.

Pelanggan boleh melakukan pembayaran secara dalam talian dan lebih mudah, pemandu tidak perlu keluar dari kenderaan ketika proses penukaran bateri dibuat.

Setakat ini, Geely Technology Group telah membina lebih 10 stesen E-Energee dengan hub pertama dibina di Chongqing pada September 2020.

Foto ihsan Geely

Untuk rekod, terdapat sebuah lagi syarikat automotif China dikenali sebagai NIO turut mempunyai sistem penukaran bateri EV.

Bagaimanapun, proses penukaran lengkap memakan masa lebih tiga minit.

Kona Electric kebanggaan Hyundai, unit demo dijual RM180,000

HYUNDAI merupakan antara ratusan syarikat yang giat menghasilkan kenderaan elektrik demi memastikan kelestarian alam sekitar.

Tampil memperkenalkan model Kona Electric, model ini mendapat sambutan hangat seluruh dunia.

Memetik laporan media, Kona Electric tidak dinafikan bakal membuat kemunculan di negara ini setelah ia dipamerkan pada Kuala Lumpur International Motor Show pada tahun 2018.

Kona Electric ditawarkan dalam dua pilihan bateri polimer lithium ion iaitu 39.2 kWj dan 64 kWj.

Bagi model bateri 39.2 kWj, ia dibekalkan motor elektrik berkuasa 135 PS/395 Nm dengan jarak gerak 312 kilometer.

Sementara itu, model versi bateri 64 kWj pula menerima motor elektrik 204 PS/395 Nm dan boleh bergerak sejauh 482 kilometer.

Foto ihsan Wikipedia

Prestasi hebat Kona Electric

Model Kona Electric 39.2kWj mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.3 saat sementara, versi bateri 64 kWj boleh bergerak pada jarak sama dalam masa 7.6 saat.

Bagaimanapun, kedua-dua versi ditetapkan dengan kelajuan maksima 167 km/j.

Setakat ini, Kona Electric telah terjual lebih 100,000 unit seluruh dunia selepas diperkenalkan dua tahun lalu.

Foto ihsan Wikipedia

Di Malaysia, sebuah unit terpakai Kona Electric telah ditawarkan oleh Sime Darby Auto Selection.

Unit dikilangkan pada tahun 2018 ini mencatat jarak perjalanan sejauh 18,000 kilometer dan ia dibuka untuk jualan pada harga RM180,000.

Gaya hidup baharu dengan Mini Electric 2021

ADAKAH anda peminat kenderaan jenis kompak?

Adakah anda juga seorang pencinta alam sekitar?

Jika “ya”, anda perlu mempertimbangkan untuk memiliki model Mini Electric 2021 yang baru dipasarkan di pasaran negara ini.

Mini Electric  baharu  memiliki rekaan lebih ‘segar’ namun, masih mengekalkan identiti kenderaan keluaran Mini.

Berdasarkan rekaan luaran, Mini Electric didatangkan dengan bampar hadapan baharu selain memiliki ciri aerodinamik.

Pada masa sama, terdapat palang keselamatan  terletak  di  bampar  hadapan  dengan  rona  sama  seperti  ‘tubuh’  kenderaan ini.

Ruangan belakang yang sesuai untuk si bujang atau 'weekend car'.

Apa lagi rekaan menarik?

Mini Electric baharu menampilkan ketutup sisi moden merangkumi indikator diod pemancar cahaya (LED) serta sisipan khas ‘Electric’.

Pintu but belakang yang sebelum ini berwarna Vigorous Grey juga digantikan dengan warna hitam.

Bagaimanapun, Mini Elektrik baharu masih didatangkan dengan set roda 17 inci dalam dwi-tona Mini Electric Power Spoke serta tayar ‘run flat’.

Selain itu, Mini Electric dikuasakan oleh versi motor elektrik segerak berkuasa tinggi dibangunkan oleh BMW Group.

Enjin elektrik gandar hadapan mampu menjana 135 kw/184 kk, termasuk unit bateri 12 modul berbentuk T dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj.

Setakat ini, Mini Elektrik dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi mencecah 150 km/j dan mempunyai jarak operasi sejauh 232 km (WLTP).

Hanya kurang 30 minit untuk pengecasan sehingga mencapai 80 peratus kuasa bateri.

Sistem pengecasan Mini Electric 2021

Tidak dinafikan ramai menitikberatkan mengenai sistem pengecasan sesebuah kenderaan elektrik.

Jangan risau kerana Mini Electric mempunyai sistem pengecasan yang super mantap!

Percaya atau tidak, Mini Electric  baharu  hanya memerlukan sekitar 36 minit pengecasan bateri dari kapasiti sifar sehingga 80 peratus!

Sementara itu, Mini Wallbox Plus pula menawarkan pengecasan 80 peratus dalam tempoh dua jam setengah iaitu sama seperti di stesen pengecasan  AC  awam!

Papan pemuka yang sangat 'merecik!'.

Ciri-cri menarik Mini Electric baharu

Terdapat beberapa ciri baharu lain bagi model Mini Electric baharu.

Antara ciri-ciri tersebut termasuk:

  • Lohong udara dalam dan luar yang diintegrasikan dengan fasia kokpit
  • pencahayaan ambien baharu dalam bentuk lembaran lampu yang menyoroti geometri ruang interior
  • Mini Controller dalam kemasan berwarna hitam
  • Rekaan panel  hitam  dicerminkan  pada  Mini Navigation System 8.8 inci
  • Papar Pandu Mini (Mini Head Up Display)
  • Sistem Bunyi 360 watt dengan 12 pembesar suara oleh Harman Kardon
  • Green Driving Assistant (GDA)
  • Bantuan Memandu (Driving Assistant)
  • Bantuan Parkir (Park Assistant)
  • Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) hadapan dan belakang
  • Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan
  • Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning)

Ketika ini, Mini Electric baharu hadir dengan waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun.

Ia juga mempunyai waranti  bateri selama lapan tahun atau jarak 100,000 kilometer dengan servis berjadual secara percuma.

Harga jualan Mini Electric baharu dengan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas  jalan, tanpa insurans) adalah RM 217,470.73.

SCS hasilkan kenderaan EV mampu milik, sasar golongan pendapatan rendah

SUDAH tiba masa kenderaan elektrik (EV) mampu milik dihasilkan bagi memenuhi permintaan pasaran membabitkan golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana kebanyakan kenderaan EV dihasilkan syarikat pengeluar kenderaan mewah termasuk BMW, Porsche, Tesla dan Mercedes-Benz.

Syarikat tempatan, System Consultancy Services (SCS) berkata kebanyakan kenderaan EV terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki kebanyakan individu.

Jelas Pengerusi Eksekutif SCS Datuk Khalilur Rahman Ebrahim, syarikat itu sedang berusaha menghasilkan EV mampu milik agar digunakan secara meluas.

“SCS ingin hasilkan EV yang lebih sesuai untuk golongan B40 kerana dengan itu kadar penggunaan EV lebih menyeluruh,” katanya.

Khalilur berkata demikian pada sesi webinar anjuran sektor automotif Eurocham, semalam.

SCS sebelum ini menghasilkan prototaip EV yang boleh dipasangkan di kenderaan berenjin biasa.

Ia bertujuan memudahkan pemilik menukar kenderaan menjadi EV dengan menggunakan kit SCS.

Bagaimanapun, setakat ini SCS masih belum mengumumkan kos bagi kit EV.

SUV paling selamat, Volvo XC40 Recharge terima penarafan TSP+

KENDERAAN elektrik Volvo XC40 Recharge diiktiraf sebagai Top Safety Pick+ (TSP+) daripada Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya Amerika Syarikat (IIHS).

Ini menjadikan Volvo XC40 Recharge sebagai model tunggal mencapai TSP+ dalam kelasnya tersendiri.

Volvo XC40 Recharge juga merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik pertama diiktiraf TSP+ sejak penarafan itu diperkenalkan pada 2013.

Tahun ini sahaja, Volvo telah menerima 15 TSP+ bagi produknya yang lain iaitu pada Februari, Mac dan April.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Car USA Anders Gustafsson berkata, kejayaan diperoleh syarikat itu adalah disebabkan kecanggihan teknologi keselamatannya.

“Volvo mempunyai sistem keselamatan yang canggih dalam memastikan tahap keselamatan tinggi apabila berdepan kemalangan.

“Kami bangga kerana banyak produk menerima pengiktirafan IIHS memandangkan kejayaan ini tidak diperoleh mana-mana syarikat pengeluar kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikut antara model Volvo lain yang telah menerima penarafan TSP+:

    • Volvo S90 Recharge
    • Volvo V90
    • Volvo V90 Cross Country
    • Volvo V60 Cross Country
    • Volvo S60
    • Volvo S60 Recharge
    • Volvo V60
    • Volvo V60 Recharge
    • Volvo XC40
    • Volvo XC60
    • Volvo XC60 Recharge
    • Volvo XC90
    • Volvo XC90 Recharge

Quds Rise kereta elektrik pertama buatan dunia Arab

DUNIA automotif terus ‘meriah’ dengan kehadiran model kereta elektrik terbaharu keluaran sebuah syarikat berpangkalan di Lubnan.

Quds Rise dibangunkan syarikat EV Electra dimiliki ahli perniagaan berketurunan dari Palestin.

Reka bentuk hadapan kereta elektrik ini dihiasi logo keemasan struktur bangunan seperti kubah.

Ia diaspirasikan daripada rekaan Dome of Rock atau Qubbat As-Sakhrah yang terdapat di Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis.

Kelajuan maksimum boleh dicapai Quds Rise sehingga 180 kilometer sejam.

Setakat ini, Quds Rise dijangka dijual pada harga AS$30,000 atau bersamaan RM123,000.

Keluaran siri pertama sebanyak 10,000 unit bakal dikeluarkan pada tahun ini di Lubnan.

Syarikat EV Electra merancang membina kira-kira 100 stesen pengecas untuk kereta elektrik seluruh Lubnan.

Kenderaan elektrik mampu milik bakal dipasarkan di Malaysia?

IMPIAN bagi sebilangan besar rakyat Malaysia memiliki kenderaan elektrik dengan harga mampu milik semakin hampir menjadi kenyataan.

Terbaharu, syarikat pengeluar kenderaan elektrik iaitu EV Innovations dilaporkan sedang berusaha mengeluarkan kenderaan elektrik dengan harga berpatutan di pasaran negara ini.

Selain itu, EV Innovations yang berpangkalan di Malaysia juga dikhabarkan berminat untuk menembus pasaran beberapa negara Asean yang lain.

Setakat ini, dipercayai kenderaan yang dihasilkan akan dijual sekitar harga RM30,000 sehingga RM40,000.

Bagaimanapun, EnGear masih belum menerima maklumat bila tarikh sebenar pelancaran kenderaan keluaran EV Innovations untuk pasaran negara ini.