Castrol Malaysia mengumumkan dua produk pelincir baharu di bawah jenama Castrol CRB Turbomax, iaitu Castrol CRB Turbomax 10W-40 CK-4/E9 serta Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN.
Kedua-dua minyak pelincir ini direka khas untuk memenuhi keperluan kenderaan komersial, daripada trak tugas berat hinggalah kenderaan tugas ringan.
Dengan teknologi Durashield™, minyak pelincir baharu ini dapat melindungi enjin daripada haba, mendapan dan geseran, serta memanjangkan jangka hayat enjin untuk memastikan enjin beroperasi dengan lancar walaupun dalam keadaan mencabar.
Castrol CRB Turbomax 10W-40 CK-4/E9 adalah minyak enjin teknologi sintetik untuk kegunaan enjin diesel 4 lejang berkelajuan tinggi, dan sesuai digunakan untuk enjin diesel yang dilengkapi sistem edaran semula gas ekzos (EGR).
Sementara Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN pula merupakan minyak sintetik penuh yang sesuai untuk kenderaan komersial ringan seperti trak pikap, van, dan trak kecil.
Ia juga menawarkan perlindungan 3X (haba, mendapan dan geseran) yang setanding dengan minyak enjin tugas berat.
Hasil ujian prestasi enjin menunjukkan Castrol CRB Turbomax 5W-40 CK-4/SN mencatatkan keputusan 50 peratus lebih baik dari segi perlindungan terhadap geseran.
Kedua-dua minyak ini juga sesuai digunakan dengan biodiesel, pilihan bahan api yang lebih mesra alam.
