Proton hari ini melancarkan program Proton Xchange yang menggalakkan pemilik kereta lama menukarkannya dengan model Proton baharu tanpa mengira jenama.
Program ini selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mempromosikan mobiliti lebih hijau.
Dengan peruntukan sebanyak RM4.8 juta, Proton akan bekerjasama dengan Car Medic Sdn Bhd, fasiliti rawatan automotif yang diluluskan (AATF) untuk merangka penyelesaian menyeluruh yang memberi insentif kepada peserta serta memastikan pelupusan kenderaan lama dengan selamat.
Untuk setiap kenderaan lama yang dilupuskan, pemilik akan diberikan insentif bernilai RM2,000 yang boleh digunakan untuk pembelian mana-mana model Proton baharu termasuklah EV Proton e.MAS 7.
Syarat-syarat untuk menyertai program Proton Xchange ini adalah seperti berikut:
– terbuka kepada semua jenis kenderaan termasuklah sedan, MPV, van, 4×4, lori dan bas
– kenderaan mesti berusia 15 tahun ke atas, dan berada dalam keadaan yang tidak boleh digunakan dengan selamat
– mesti sertakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) dan borang JPJK1KD
– pemilik juga perlu dapatkan Sijil Pemusnahan (COD) daripada Car Medic
Program Proton Xchange ini akan berlangsung sehingga hujung tahun ini, di mana hanya 2,400 slot sahaja tersedia.
Berucap dalam majlis, Menteri Pengangkutan Malaysia YB Anthony Loke Siew Fook berkata, “Kementerian Pengangkutan
menyokong inisiatif Program Xchange dan menggalakkan lebih ramai pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah
PROTON dengan melihat melangkaui sasaran jualan dan keuntungan semata-mata.
“Sebagai syarikat automotif pertama negara, PROTON sekali lagi menjadi ejen perubahan dalam industri automotif dan menunjukkan teladan yang baik. Tiada jenama automotif lain yang mempunyai program dengan kedalaman dan skop yang sama, dan ia akan membawa pengurangan yang ketara kepada jejak karbon mereka,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, “Program PROTON Xchange merupakan langkah penting automotif yang lebih selamat dan hijau di Malaysia, serta menunjukkan komitmen PROTON terhadap pelanggan dan negara.
“Kami juga berharap inisiatif ini dapat menggalakkan penggantian kenderaan lama kepada kereta baharu yang dilengkapi ciri keselamatan moden, sekaligus mengurangkan risiko di jalan raya.”
Ketika berucap, Anthony Loke turut mengumumkan kejutan di mana setiap kenderaan baharu Proton yang didaftarkan menerusi program ini akan dikecualikan bayaran cukai jalan selama satu tahun.
