Arkib Tag: Kawasaki Ninja ZX-4RR

Kawasaki Ninja ZX-4R SE, ZX-4RR rasmi di Malaysia, harga dari RM40,999

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) baru-baru ini melancarkan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R SE serta model ZX-4RR untuk pasaran Malaysia.

Kedua-dua model tersebut dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 399 cc DOHC menghasilkan kuasa 76 hp @ 14,500 rpm dan 39 Nm @ 13,000 rpm.

Dengan bantuan Ram Air, kuasa tersebut melonjak kepada 79 hp.

Tetapan suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik hadapan jenis terbalik, sementara bahagian belakang pula mendapat penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban.

Untuk model ZX-4RR pula hadir dengan penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite (Balance Free Rear Cushion) serta suspensi hadapan yang boleh dilaras.

Ciri lain yang dimuatkan termasuklah fungsi penukaran gear pantas dua arah Kawasaki Quick Shifter (KQS), Kawasaki Traction Control (KTRC), ABS, Power Modes, lampu LED serta skrin paparan TFT.

Kawasaki Ninja ZX-4R SE boleh didapati dalam pilihan warna Metallic Moondusty Gray/Metallic Spark Black dan Blizzard White/Spark Black, sementara ZX-4RR pula hadir dalam warna eksklusif Lime Green/Ebony.

Harga jualan Kawasaki Ninja ZX-4R SE bermula dari RM40,999 sementara Ninja ZX-4RR pula berharga RM42,999.

Kawasaki Jepun, FamilyMart umum kolaborasi, tawar hadiah Ninja ZX-4RR ‘warna’ FamilyMart!

Rangkaian kedai runcit terkemuka di Jepun, FamilyMart mengumumkan sokongan kepada usaha Kawasaki Motor Japan untuk mencapai sasaran neutral karbon.

Kempen kolaborasi antara kedua-dua belah pihak itu menawarkan hadiah utama berupa sebuah Kawasaki Ninja ZX-4RR dengan liveri menyamai warna FamilyMart.

Untuk makluman, Kawasaki Ninja ZX-4RR dengan liveri ‘FamilyMart’ ini sebenarnya merupakan edisi ulang tahun Ninja yang ke-40 dilancarkan pada penghujung tahun lepas di mana skema warna biru/lime green/putih itu telah pun digunakan pada siri super sports ZXR sejak tahun 1989 lagi.

 

Para peminat Kawasaki dan FamilyMart boleh memuat turun aplikasi FamiPay dan mengisi borang yang telah disediakan di mana seorang individu yang bertuah akan membawa pulang sebuah Ninja ZX-4RR 40th Anniversary Edition.

Selain itu, pelanggan Kawasaki yang membuat pembelian motosikal 401 cc dan ke atas di kedai Kawasaki Plaza akan menerima poin FamilyMart bernilai sehingga 3,000 yen (RM87.61).

Terdapat juga kempen di mana anda boleh memenangi poin bernilai sehingga 100,000 yen (RM2,920) jika anda menyertai July Daily Challenge Game yang terdapat dalam aplikasi tersebut.

 

 

Kedua-dua syarikat itu juga akan turut bekerjasama bersempena dengan penganjuran perlumbaan endurans Suzuka 8 Hours yang ke-45 pada 19 Julai nanti, di mana motosikal Ninja e-1 EV dan Ninja 7 Hybrid berlogokan FamilyMart akan dipamerkan di ruang reruai syarikat tersebut.