JIKA anda bercadang menikmati percutian kapal persiaran antarabangsa mungkin perlu lupakan niat itu seketika.
Ini kerana kerajaan masih belum bercadang membenarkan operasi pelayaran persiaran antarabangsa susulan gelombang baharu Covid-19 yang dibawa oleh varian Omicron.
Menteri Pengangkutan berkata, walaupun pelayaran persiaran tempatan dibenarkan beroperasi semula, langkah berhati-hati sentiasa diutamakan.
“Pada masa ini, kami (kerajaan) tidak boleh mengulas mengenai pembukaan pelayaran persiaran antarabangsa kerana Omicron.
“Kami akan menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa kesihatan kerana kami masih lagi berpandukan peraturan Kementerian Kesihatan,” kata Datuk Seri Wee Ka Siong, semalam.
Ketika ini, dunia berdepan ancaman varian Omicron yang dikatakan jauh lebih berbahaya berbanding varian Delta.
Hal ini membuatkan kebanyakan negara mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak situasi lebih memburuk.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang merancang mengadakan pelan koordinasi pelayaran persiaran tahun hadapan.
Bagaimanapun, Star Cruise sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan mengikut keperluan tempatan dan piawaian antarabangsa.
