Arkib Tag: JPJ

JPJ lawat kilang pengeluaran skuter elektrik GGR Motor di Sungai Penchala

GGR Motor baru-baru ini menerima lawatan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan di kilang GGR Legacy (M) di Kampung Sungai Penchala, Khamis lalu.

Lawatan kerja yang disertai 25 anggota JPJ Wilayah Persekutuan itu diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Eric Jusiang bertujuan untuk meninjau operasi kilang GGR Motor sebagai pengeluar motosikal elektrik pertama tempatan.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi berkata, langkah itu menjadi titik permulaan penting dalam memastikan pengeluaran motosikal EV di negara ini berjalan mengikut piawaian ditetapkan.

“Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kesudian pihak JPJ WP meluangkan masa melawat kilang kami. Ia ibarat penghargaan terhadap usaha kami membangunkan motosikal EV di Malaysia,” katanya.

Kunjungan Eric Jusiang bersama anggotanya disambut oleh Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail dan Muhammad Mussaddiq.

Selain diberikan taklimat operasi, rombongan JPJ turut dibawa melawat bangunan jualan aksesori, bengkel servis dan bahagian operasi bagi menyokong ekosistem EV.

Difahamkan, GGR Motor akan membina kilang pemasangan baharu di utara Semenanjung yang akan menjadi hab pengeluaran utama bagi model Lion G1 dan beberapa model baharu akan datang.

Dibina atas tapak seluas lebih satu ekar, kilang ini dijangka mencipta lebih 50 peluang pekerjaan baharu selain diperkuat menerusi kerjasama strategik dengan PMH Motor, Bateriku.com, MARA dan Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM).

Menurut Mussaddiq, motosikal EV Lion G1 sudah boleh didaftarkan secara rasmi melalui sistem JPJ bermula 1 September lalu.

“Kita jangkakan dalam tempoh terdekat, motosikal EV yang ditempah sudah boleh didaftarkan. Lebih 6,000 unit tempahan dijangka akan diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam tempoh seminggu selepas pelancaran, Lion G1 mencatatkan tempahan lebih 2,500 unit, menjadi petunjuk jelas penerimaan rakyat malaysia terhadap EV sebagai alternatif mobiliti harian.

MOT tambah 10,000 kuota Program MyLesen B2

Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menambah 10,000 kuota baharu untuk Program MyLesen B2 dengan peruntukan RM3.5 juta bagi tahun ini, lapor Bernama.

Menterinya Anthony Loke berkata sebanyak 14,581 peserta atau 97 peratus daripada kuota asal sebanyak 15,000 telah dimanfaatkan oleh golongan muda dalam enam bulan pertama tahun ini.

“Kita tambah 10,000 lagi kuota bermula pertengahan tahun ini melibatkan seluruh negara. Kos setiap lesen adalah RM350 seorang, ditampung sepenuhnya oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen B2 peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata program tersebut adalah komitmen kerajaan membantu golongan B40 bagi mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan, terutamanya ekonomi gig serta usaha melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat.

Menurutnya inisiatif itu juga membantu golongan sasar mendapatkan lesen memandu motosikal Kelas B2 secara sah, mudah diakses dan berpatutan.

Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak sekolah membantu mengenal pasti pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen supaya dapat disalurkan kepada program berkenaan dan institut memandu memainkan peranan penting dalam memastikan peserta dilatih dengan sebaik mungkin.

Beliau turut berharap belia yang menerima lesen menerusi program itu dapat menjadi duta keselamatan jalan raya, menyampaikan mesej pematuhan undang-undang serta menjadi penunggang yang berhemah dan bertanggungjawab.

Video potong garisan berkembar tular, anggota pandu Honda CR-V JPJ digantung tugas

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan telah menggantung tugas anggota yang didapati bersalah memotong di garisan berkembar berdasarkan video yang tular di media sosial.

Selain gantung tugas, anggota terbabit turut disaman, dikenakan larangan memandu kenderaan jabatan dan ditempatkan ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.

Langkah susulan turut diambil oleh pihak JPJ dengan melaksanakan siasatan lanjut berkaitan kesalahan-kesalahan lain melibatkan anggota berkenaan untuk tindakan seterusnya.

Dalam video yang tular di media sosial, sebuah kenderaan JPJ jenis Honda CR-V didapati memotong kenderaan berat di selekoh yang mempunyai garisan berkembar di Simpang Pulai, Perak.

JPJ turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyeru orang awam untuk terus melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya menerusi aplikasi MyJPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my.

JPJ panggil semula 8,322 kenderaan jenama Kia, Mercedes-Benz, Yamaha

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 8,322 unit kenderaan daripada tiga jenama.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,123 unit Kia Rio UB (tahun 2010-2017) terjejas akibat kemungkinan risiko litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran pada papan unit kawalan elektronik hidraulik (HECU).

Sementara itu, 1,649 unit Yamaha MT-09 dan 1,369 unit Yamaha Tracer 9 GT (model keluaran November 2021-Februari 2025) turut dipanggil semula untuk komponen Throttle Position Sensor (TPS) yang tidak berfungsi dengan baik.

Lagi 149 unit Tenere 700 tahun 2023-2024 terjejas akibat operasi klac yang tidak lancar yang boleh menjejaskan penukaran gear.

Mercedes-Benz Malaysia turut mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 32 unit pelbagai model (S-Class, GLC-Class, AMG SL, EQE dan EQS) disebabkan kotak fius yang tidak dipasang semula dengan sempurna yang mungkin menjejaskan sistem.

Semua pemilik yang terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing untuk proses penyelarasakan slot pemeriksaan.

Menurut JPJ, mana-mana komponen yang terlibat akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak pengeluar.

 

Menteri akui sistem Kejara gagal, akan dirombak semula

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengakui Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan sejak April 2017 sebagai sistem yang gagal dan tidak efektif, lapor Bernama.

Menurutnya, sistem sedia ada hanya akan melaksanakan pemotongan mata demerit setelah pesalah trafik selesai membayar saman atau didakwa di mahkamah, dan bukannya bermula ketika mereka menerima notis saman.

Justeru itu, beliau mengumumkan sistem Kejara tersebut akan dirombak secara besar-besaran tidak lama lagi.

“Sebagai Menteri Pengangkutan, saya mengakui sistem Kejara ini gagal sebab kita punya pendekatan salah.

“Sebab itu, saya katakan sistem ini memang perlu dirombak dan (kementerian) sedang melihat (pendekatan baharu) yang akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd minggu lalu.

Sistem Kejara adalah suatu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

Sebanyak 20 kesalahan yang dikenal pasti boleh menyebabkan kemalangan serius atau kemalangan maut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain dimasukkan di dalam senarai kesalahan di bawah pelaksanaan sistem mata demerit itu.

Baki nombor plat FB, FC, FD, FE dan MALAYSIA mula dijual menerusi portal MySIKAP JPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pembukaan semula pendaftaran kepada rakyat Malaysia yang masih lagi mahu mendapatkan baki nombor plat siri Putrajaya (FB, FC, FD & FE) serta plat MALAYSIA bermula hari ini (8 April).

Pihak yang berminat boleh log masuk ke portal mySIKAP, memilih menu ‘Kenderaan’ dan menekan menu ‘Tempahan Nombor Kenderaan’.

Seterusnya, pilih menu ‘Nombor Pendaftaran Istimewa’ untuk membuat pilihan nombor yang diinginkan sebelum membuat pembayaran sama ada menggunakan kad kredit atau perbankan internet.

Nombor pendaftaran ‘F’ mula diperkenalkan pada 1 Jun 2016 bagi menggantikan siri asal PUTRAJAYA yang sudah mencapai had 9,999 kenderaan.

Ia kemudiannya digantikan dengan FA pada 22 Julai 2017, diikuti FB (16 Mei 2018), FC (2 Mei 2019), FD (12 April 2021) dan FE pada April 2022.

Pemandu bas ekspres turunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan akan disaman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah memberi amaran kepada pemandu bas ekspres supaya tidak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan.

Menurut pengarahnya Stien Van Lutam, mana-mana pemandu bas ekspres yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan saman serta-merta.

Tambahnya, setakat ini dua kesalahan telah dikesan menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 yang dilancarkan mulai 24 Mac hingga 8 April ini.

“Anggota JPJ yang melakukan penyamaran mengesan pemandu bas ekspres berusia 29 tahun dalam perjalanan dari Ipoh ke Sungai Petani telah bertindak menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan atau di luar terminal bas.

“Seorang lagi pemandu bas ekspres berusia 27 tahun turut dikesan melakukan kesalahan sama ketika dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kelantan, selain memotong di garisan berkembar,” katanya.

Beliau berkata tindakan menurunkan penumpang di kawasan tidak dibenarkan bukan sahaja membahayakan penumpang, tetapi juga menjadi punca kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Stien berkata operasi khas selama 14 hari itu membabitkan 271 anggota JPJ di seluruh negeri yang dibekukan cuti mereka bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan pengguna jalan raya, di samping dalam usaha meminimunkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Beliau berkata JPJ akan terus memberi keutamaan kepada sembilan kesalahan utama antaranya tidak mematuhi peraturan had laju, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit.

“Pengguna yang pulang ke kampung nanti dinasihatkan agar bersabar dalam pemanduan, tidak beremosi dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Petron Malaysia lancar kempen keselamatan jalan raya 2025

Bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bakal tiba, Petron Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya di Petron MRR2, Selayang.

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan amalan pemanduan yang selamat.

Menurut Shaliza Mohd Sidek selaku Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia berkata, “Isu keselamatan memang merupakan agenda penting di Petron. Kami telah mengadakan program khusus di sekolah dan universiti terpilih, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi untuk memupuk sikap lebih prihatin dan bertanggungjawab di kalangan pemandu dan penunggang baharu.”

“Dalam masa yang sama, kami juga menjalin kerjasama strategik dengan PDRM dalam Program Go-To-Safety-Point (GTSP) yang telah menjadikan stesen-stesen Petron sebagai titik selamat untuk semua pelanggan dan komuniti setempat semasa kecemasan.

“Kami berharap program hari ini menjadi peringatan kepada semua agar sentiasa berwaspada dan memandu dengan penuh tanggungjawab, terutamanya menjelang Hari Raya,” ujarnya lagi.

Petron juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti Carro dan Rider Gate untuk menawarkan pemeriksaan kereta dan motosikal secara percuma.

Gramp’s Asia pula menawarkan sampel semburan kereta botani berbau segar dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap tidur mikro, sementara IGL Coatings pula menyediakan produk untuk cermin depan kereta bagi meningkatkan keterlihatan dan mengurangkan keletihan mata.

Pelanggan juga boleh mendapatkan sampel produk kopi dan roselle daripada NesQ.

Stesen minyak Petron telah dijadikan sebagai pusat bantuan komuniti menerusi program GTSP sejak 2013 lagi, dan pada tahun 2024 sebanyak 54 pengusaha stesen Petron telah diiktiraf oleh PDRM atas sumbangan cemerlang mereka.

Runner dikesan jual slot tempahan RM3.50 pada harga RM750 – CEO PUSPAKOM

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman mendedahkan terdapat orang tengah (runner) yang mengaut keuntungan hampir RM750 bagi jualan slot tempahan janji temu berganda di premis tersebut.

Menurut beliau, antara taktik digunakan adalah menggunakan nombor casis sama tetapi nombor pendaftaran kenderaan adalah berbeza untuk slot tempahan yang banyak.

“Satu slot janji temu hanya berharga RM3.50 namun ada yang menjual sehingga RM750. Siasatan masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita sedang teliti, siapa dan mengapa melakukannya dan kita akan panggil (runner terlibat),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata PUSPAKOM tidak lagi akan membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda bagi nombor pendaftaran yang sama susulan mengesan penjualan slot oleh orang tengah kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.

Langkah itu diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah yang didapati menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain untuk keuntungan berlebihan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan, pihaknya sedang mendapatkan bantuan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana tindakan boleh diambil kepada runner yang terlibat itu.

“Kita cuba dapatkan runner tersebut, tetapi buat masa sekarang semua saluran kita ada, tidak dapat hubungi. Jadi kita dapatkan kaedah lain untuk dapatkan runner tersebut,” katanya.

JPJ umum kempen panggil semula, 41 ribu kenderaan terbabit

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini mengumumkan kempen panggil semula melibatkan 41,688 unit kenderaan.

Dalam siaran media yang diterbitkan, aktiviti ini bertujuan untuk memeriksa kenderaan yang terlibat disebabkan oleh kecacatan pada struktur, peralatan atau sistem pada kenderaan tersebut, selain mengelakkan berlakunya kemalangan.

Menurut JPJ, setiap pemilik yang terlibat akan dihubungi oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing untuk menentukan slot pemeriksaan.

Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dan kos penggantikan akan ditanggung oleh pihak pengeluar kenderaan masing-masing.

Pihak JPJ juga akan memantau pelaksanaan kempen panggil semula ini untuk memastikan kesemua unit kenderaan yang terlibat disahkan selamat.

Senarai kenderaan yang terlibat boleh dirujuk pada galeri dibawah:

 

Kini anda boleh tukar lesen PDL ke lesen CDL melalui aplikasi MyJPJ

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa permohonan pertukaran Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dilakukan melalui aplikasi MyJPJ bermula hari ini (7 Februari).

Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli, pengenalan fungsi baharu tersebut bertujuan memudahkan borang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.

Dengan adanya fungsi baharu ini, seramai 2,383,043 pemegang lesen PDL boleh melaksanakan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar mereka.

Berikut adalah cara melakukan permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ:

  1. Muat turun atau kemas kini aplikasi MyJPJ ke versi terkini
  2. Log masuk ke akaun MyJPJ anda
  3. Pilih menu “Permohonan CDL”
  4. Pilih “Tempoh Pembaharuan”
  5. Pilih “Mod Bayaran” dan bayar fi permohonan secara dalam talian
  6. Permohonan anda akan diproses dan anda akan menerima notifikasi status permohonan

“JPJ Malaysia berharap inisiatif ini akan mempermudahkan urusan pemilikan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital tanpa mengambil masa yang lama, seterusnya menjadi salah satu usaha JPJ untuk mengurangkan kesesakan kaunter.

“Pihak JPJ sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti dan mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

JPJ lancar Ops Khas Tahun Baru Cina 2025, fokus sembilan kesalahan utama

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melancarkan Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 yang akan berlangsung selama 20 hari dari 20 Januari hingga 9 Februari.

Menurut jabatan itu, Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya.

JPJ akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) seperti berikut:

  • Memandu melebihi had laju
  • Tidak mematuhi isyarat lampu merah
  • Memotong di garisan berkembar
  • Memandu di lorong kecemasan
  • Memotong barisan
  • Guna telefon bimbit
  • Tidak guna tali pinggang/topi keledar
  • Memandu kenderaan berat di lorong laju
  • Lebih muatan

Pada masa yang sama, JPJ juga mengadakan kempen keselamatan jalan raya bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ yang menyaksikan pelaksanaan kaedah dan pendekatan advokasi keselamatan jalan raya melalui lebih 30 program.

Antara program yang akan diadakan termasuk pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya dan program advokasi dengan kerjasama rakan strategik termasuk media.

Bersempena dengan Tahun Baru Cina 2025, JPJ memohon pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan merancang perjalanan.

Anggota JPJ bakal guna kamera badan – Anthony Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penggunaan kamera badan untuk anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan.

Loke berkata, penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya membabitkan kenderaan berat.

Tambah beliau, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini meminta supaya anggota jabatan itu dilengkapkan dengan penggunaan kamera badan supaya imej, keselamatan dan integriti setiap anggota bertugas berada pada tahap tertinggi.

“… (pemakaian) kamera badan ini bukan sahaja untuk memastikan imej dan integriti JPJ dijaga, tetapi juga dapat melindungi anggota JPJ.

“Seperti yang saya katakan, kadangkala anggota-anggota (JPJ) kita juga dicemuh, dihina, dituduh macam-macam. Jadi, dengan adanya kamera badan ini, anggota JPJ dilindungi kerana apa sahaja bukti semasa mereka menguasakan undang-undang dapat dirakam,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi dilaporkan berkata penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa JPJ sangat diperlukan untuk meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.

Menurut beliau, penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan selain mengelakkan salah tafsir yang sering berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa bertugas.

Loke berkata, beliau sudah meminta pengurusan Kementerian Pengangkutan berunding dan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan perolehan kamera badan itu.

“(Rundingan dibuat) supaya dapat peruntukan segera untuk kita peroleh kamera badan ini dan saya harap anggota-anggota JPJ akan dilengkapi dengan kamera berkenaan pada tahun ini juga,” katanya.

Loke: Kadar kompaun khas RM150 untuk tiga jenis saman JPJ selama 6 bulan

Laman berita Bernama melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ia melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

“Ketiga-tiganya biasanya kadar kompaunnya ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok 3 Jan untuk selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.

“Sebab saman AwAS ada dua juta saman yang tertunggak… dan memang ada sekatan kepada mereka yang tidak menyelesaikan saman AwAS, sekiranya mereka tidak menyelesaikan saman itu mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu ataupun lesen kenderaan motor mereka,” katanya.

Loke berkata pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ.

Pembayaran kompaun khas itu katanya tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun depan.

Loke berkata dalam tempoh itu, Bahagian Penguat Kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit.

JPJ Perak kutip RM2.36 juta hasil bidaan nombor pendaftaran ‘ANU’

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berkata ia mengutip hasil sebanyak RM2.36 juta bagi nombor pendaftaran kenderaan siri ‘ANU’ sepanjang lima hari dibuka untuk bidaan.

Menurut Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan, bidaan dibuka melalui sistem JPJeBID bermula 19 hingga 23 Disember lepas menerusi notis awam yang dikeluarkan.

“Sepanjang tempoh lima hari itu juga merekodkan lebih 1,768 pembida daripada 1.99 juta pembida berdaftar seluruh negara. Harga bidaan tertinggi ialah RM269,000 untuk ‘ANU 1’,” katanya.

Tambah beliau, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam mengikut harga minimum ditetapkan.

Setakat ini, katanya nombor plat ‘AMG’ khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG masih berada di kedudukan pertama jualan plat JPJ Perak.

“Sebelum ini ‘AMG’ mencatatkan jualan keseluruhan lebih daripada RM6 juta dan ke atas dan masih memegang rekod tertinggi nombor popular dibida,” katanya.

Ops Khas Gempur Teknikal: JPJ keluar 5,306 notis kesalahan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 5,306 notis kesalahan terhadap kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam dalam Operasi Khas Gempur Teknikal bagi tempoh lima hari bermula 25 Dis lepas, lapor Bernama.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata notis itu termasuk penahanan kenderaan, arah periksa dan temu siasat susulan pemeriksaan ke atas 17,729 kenderaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,787 kenderaan diambil tindakan dengan 16 kenderaan disita membabitkan 15 kenderaan perdagangan dan bakinya kenderaan perkhidmatan awam.

“JPJ bukan hendak cari kesalahan dengan mengeluarkan notis, cuma mahu memastikan jalan raya dalam keadaan terbaik selain pengguna juga dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Gempur Teknikal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan di sini semalam (29 Disember).

Jana Santhiran berkata penggunaan tayar tidak sepatutnya atau tayar celup merupakan antara kesalahan yang dikenal pasti banyak dilakukan oleh kenderaan perdagangan termasuk lori dan treler.

Beliau berkata perkara itu antara yang difokuskan dalam operasi berkenaan selain memastikan brek berada dalam keadaan sempurna dengan tindakan termasuk menahan kenderaan daripada meneruskan perjalanan akan diambil sekiranya kesalahan terbabit dikesan.

“Dalam pemeriksaan tadi, kita tengok ada yang menggunakan tayar celup, nak tercabut dah lapisan luar, jika ia tertanggal pastinya mengakibatkan bahaya kepada pengguna jalan raya, itu yang kita tidak mahu,” katanya.

Dalam pada itu, Jana Santhiran berkata JPJ kini menggerakkan lebih 1,500 anggotanya di seluruh negara bagi menumpukan penguatkuasaan terhadap kesalahan perdagangan termasuk lebih muatan, teknikal, dokumentasi dan lalu lintas terutama pada musim perayaan.

“Kita tingkatkan bilangan, kalau dulu (jumlahnya) kurang daripada 1,000 anggota yang kita kerah berada di jalan raya termasuk di lebuh raya, jalan perbandaran dan sebagainya terutama pada musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihati semua pemandu kenderaan berat untuk meletakkan kon atau halangan jalan raya sekiranya kenderaan mereka terpaksa dihentikan di laluan kecemasan akibat kerosakan bagi memberi isyarat kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Sebab baru-baru ini, beberapa kemalangan berpunca daripada pemandu lori tidak meletakkan kon di belakang untuk menunjukkan kenderaan mereka dalam kecemasan dan terpaksa dihentikan, saya harap semua pihak beri perhatian penuh kepada peraturan jalan raya,” katanya.

Wajibkan kenderaan berat jalani pemeriksaan Puspakom berkala, tindakan lebih tegas – NIOSH

Penggunaan teknologi pemantauan terkini seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan telematik bagi semua kenderaan berat perlu diwajibkan, supaya masalah mekanikal dapat dikesan.

Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Manivanan Gowin berkata teknologi itu, mampu memberi amaran awal tentang potensi kerosakan yang boleh membahayakan nyawa.

“Sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan kemajuan teknologi dalam memastikan keselamatan yang lebih tinggi di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini mengulas tentang nahas ngeri yang mengorbankan tujuh mangsa, termasuk lima sekeluarga, di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, Melaka baru-baru ini.

Beliau berkata insiden itu mendedahkan kelemahan besar dalam sistem keselamatan kenderaan berat di jalan raya yang memerlukan tindakan segera serta penguatkuasaan yang lebih ketat dan sehubungan itu semua pihak berkepentingan perlu melaksanakan langkah drastik untuk mengelak tragedi seperti itu berulang.

Untuk tujuan itu, Manivanan berkata agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan, serta organisasi bukan kerajaan perlu berganding bahu dalam merangka pelan strategik jangka panjang untuk keselamatan jalan raya.

Beliau berkata NIOSH bersedia menawarkan pasukan pakar yang berkemahiran tinggi untuk membantu pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti punca masalah keselamatan serta mencari penyelesaian yang lebih efektif dan lestari.

Selain itu, NIOSH turut mencadangkan agar operator pengangkutan wajib melaksanakan program latihan keselamatan berterusan yang lebih menyeluruh, khususnya untuk pemandu lori dan bas berkaitan pemanduan berhemah, pemahaman terhadap undang-undang jalan raya, serta penerapan prinsip keselamatan yang mutlak.

Beliau berkata hanya dengan kesedaran dan disiplin yang tinggi, kemalangan dapat diminimumkan.

Selain itu, Manivanan turut menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mempergiat penguatkuasaan dan mengenakan denda berat serta tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi piawaian keselamatan.

“Ia termasuk memastikan berkata semua kenderaan itu menjalani pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Pemantauan secara berkala dan meluas adalah amat penting untuk mencegah kenderaan yang tidak selamat daripada berada di jalan raya,” katanya.

Tiada pemandu kedua, JPJ saman 25 bas ekspres, persiaran

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap 25 bas ekspres dan persiaran kerana kesalahan tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300 kilometer (km) atau perjalanan selama empat jam berterusan, dalam operasi khas di tiga plaza tol di negeri ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini, JPJ memaklumkan operasi bermula 10 malam semalam dan berakhir 7 pagi itu dilaksanakan di Plaza Tol Juru (kedua-dua arah), Plaza Tol Bukit Tambun dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“JPJ turut menyita sebuah bas ekspres kerana pemandu tiada lesen memandu dan sebuah lori kontena kerana pemandu di bawah umur.

“Tindakan juga diambil ke atas 23 bas atas kesalahan tiada buku log atau kemas kini buku log pemandu manakala satu kes tiada pemandu pelancong,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu secara keseluruhan 273 notis saman dikeluarkan dalam operasi selama hampir 10 jam itu atas pelbagai kesalahan dan kesalahan teknikal.

JPJ memaklumkan tujuan penguatkuasaan itu bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat ( APAD 2010 ).

Mangsa banjir tidak perlu ganti lesen, geran hilang atau rosak – JPJ

Ini sedikit kelegaan buat mangsa terjejas banjir yang mengalami masalah geran kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dokumen-dokumen berkenaan tidak perlu digantikan memandangkan semuanya boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan.

Tambah beliau lagi, dengan membuat pendaftaran di aplikasi terbabit agensi penguat kuasa seperti JPJ juga dapat menentukan kesahihan dokumen terbabit.

Sementara itu, individu yang masih tidak mempunyai MyJPJ hanya perlu mendaftar untuk mengakses dokumen digital seperti lesen, cukai jalan, geran dan Sijil Pemilikan Sementara (VOC).

“Tidak perlu dirisaukan kerana mana-mana yang terkesan (mangsa banjir) tidak perlu membuat penggantian.

“Tanggungjawab untuk menentukan kesahihan lesen atau cukai jalan terletak di bahu agensi penguat kuasa itu sendiri dan kita juga ada pendigitalan,” katanya.

Kementerian Pengangkutan sedia laksana ‘proof of concept’ e-hailing motosikal

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kementeriannya terbuka kepada maklum balas mengenai penilaian semula perkhidmatan e-hailing motosikal.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk melaksanakan proof of concept (POC) perkhidmatan e-hailing motosikal, termasuk mana-mana permintaan daripada pengendali yang berhasrat melakukan ujian lapangan (sandbox) untuk perkhidmatan berkenaan.

“Sekiranya terdapat mana-mana pengusaha yang ingin membuat ‘sandbox’ atau projek perintis yang serupa, kami terbuka untuk menjalankan POC sekiranya Putrajaya dapat mengenal pasti kawasan yang sesuai,” kata Loke.

Bagaimanapun, beliau menganggap budaya di Malaysia tidak terlalu cenderung kepada perkhidmatan e-hailing motosikal, namun tidak menolak yang tanggapan beliau itu mungkin tidak tepat.

“Sekiranya POC berjaya, saya terbuka dengan idea ini dan berharap ia dapat membantu meringankan beban pengangkutan batu pertama dan batu terakhir (first-mile and last-mile),” jelas Loke.

Tambah beliau lagi, perbincangan untuk kelulusan POC akan diadakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) sekiranya terdapat permohonan dikemuka.