Arkib Tag: jentera adventure

Moto Morini X-Cape 1200 2026 sah masuk Malaysia – harga RM49,888

Moto Morini Malaysia turut mengumumkan sebuah lagi jentera adventure sesaran tinggi yang bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi, iaitu X-Cape 1200.

Harga jualan diumumkan bermula dari RM49,888.

Jentera ini mendapat enjin bentangan V2 87 darjah Corsa Corta Evo sesaran 1,187 cc, menghasilkan kuasa setinggi 129 hp @ 8,75 rpm dan daya kilas 106 Nm @ 7,000 rpm.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 220 km/j.

Terdapat lima mod tunggangan disediakan seperti All-Terrain, Off Road, Road, Sport dan Wet.

Ia turut mendapat kelengkapan seperti sistem suspensi KYB boleh laras sepenuhnya terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal, diikuti dengan sistem brek Brembo M4.32 dan balutan tayar Pirelli pada rim saiz 19 inci depan/17 inci belakang.

Antara ciri lain termasuklah skrin paparan TFT dengan fungsi navigasi terbina, skrin penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta fungsi pemanas untuk pelana dan grip bar hendal.

Ciri keselamatan pula termasuklah penderia unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS) dengan tiga tahap larasan, kawalan jelajah, radar pengesan titik buta, kamera perakam tunggangan serta penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 24.5 liter sementara tinggi pelana pula 840 mm.

Moto Morini X-Cape 700 2026 rasmi – harga dari RM33,888

Moto Morini Malaysia turut mengumumkan kehadiran model baharu X-Cape 700 untuk pasaran Malaysia, dijangka tiba pada Januari 2026.

Harga jualan dianggarkan bermula dari RM33,888.

Jentera adventure ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 693 cc sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 70 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 68 Nm @ 6,500 rpm.

Terdapat dua mod disediakan iaitu Road dan Off-Road.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan KYB jenis terbalik (USD) boleh laras (jarak pergerakan 175 mm), diikuti penyerap hentak tunggal KYB boleh laras di bahagian belakang.

Brek pula menggunakan unit Brembo yang terdiri daripada angkup dua omboh dan rotor berkembar 298 mm di depan, dibantu dengan angkup dua omboh dan rotor 255 mm di belakang.

Antara ciri yang disertakan termasuklah skrin paparan TFT 7-inci, skrin penghadang angin boleh laras, pelindung bar hendal, pemanas grip dan pelana, serta port pengecasan USB Type-A & Type C.

Ciri keselamatan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS), kamera perakam tunggangan serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 18 liter, sementara tinggi pelana boleh didapati dalam versi 820 mm atau 845 mm.

Moto Morini Alltrhike 450 2026 sah masuk Malaysia – dari RM28,888

Moto Morini Malaysia mengumumkan model adventure baharu Alltrhike 450 2026 yang dijangka tiba di Malaysia pada bulan Januari 2026.

Harga jualan dianggarkan bermula dari RM28,888.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 449 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 44.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 42 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.

Suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik KYB boleh laras, dibantu dengan penyerap hentak tunggal KYB di belakang.

Brek pula menggunakan sistem brek J.Juan terdiri daripada angkup empat omboh dengan rotor 320 mm di depan, diikuti angkup dua omboh dan rotor 255 mm di belakang.

Ciri lain termasuklah skrin paparan TFT 6 inci, sistem navigasi terbina, penghadang angin boleh laras, serta port pengecasan USB Type-A & Type-C.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah ABS dua-saluran, serta kawalan cengkaman (TCS).

Morbidelli T502X 2026 rasmi – harga dari RM28,888

Morbidelli Malaysia melancarkan sebuah lagi motosikal jenis adventure sesaran pertengahan, iaitu Morbidelli T502X 2026.

T502X ini dilengkapi dengan enjin parallel-twin 486 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 45 Nm @ 6,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 43 mm (jarak pergerakan 180 mm), diikuti penyerap hentak tunggal Pro-Link dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 69 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup dua omboh J.Juan dengan rotor berkembar saiz 300 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT tujuh inci menegak, dua mod tunggangan, sokongan Bluetooth dan navigasi, suis bar hendal yang bercahaya dan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

T502X turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistm pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana 840 mm.

Morbidelli T502X bakal tiba di pasaran Malaysia dengan harga jualan dari RM28,888.

Morbidelli T250X 2026 bakal tiba di Malaysia – harga dari RM9,888

Morbidelli Malaysia mengumumkan kehadiran model adventure mesra lesen B2, iaitu Morbidelli T250X 2026.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan udara dengan kuasa 24.4 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 22.3 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 41 mm di depan (jarak pergerakan 177 mm), serta penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 55 mm).

Brek pula menggunakan angkup dua omboh di bahagian depan dan belakang, dengan rotor saiz 265 mm di depan dan 220 mm di belakang.

Antara ciri yang hadir pada jentera ini termasuklah skrin paparan menegak jenis LCD tujuh inci, butang kawalan bar hendal bercahaya, port pengecasan USB Type-A, lampu LED depan dan belakang, pelindung bar hendal serta skrin penghadang angin.

Aspek tunggangan dibantu dengan ciri keselamatan ABS dua-saluran serta kawalan cengkaman (TCS).

Untuk pasaran Malaysia, Morbidelli T250X ini dijual pada harga bermula dari RM9,888 untuk versi standard, serta dari RM11,288 untuk versi yang lengkap dengan kotak storan.