Arkib Tag: jawatan kosong

Jadi pemandu bas di Singapura boleh dapat gaji RM17k sebulan, bonus RM35k

SEBUAH syarikat bas di Singapura kini sedang mencari pemandu bas dengan gaji permulaan sebanyak S$5,000 (~RM17,513) sebulan berserta bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (~RM35,026).

Penawaran gaji yang tinggi itu merupakan sebahagian daripada strategi Westpoint Transit Pte Ltd bagi menarik minat golongan muda untuk menceburi industri bas.

Menurut iklan di laman LinkedIn dan myCareersFuture, tiada syarat kewarganegaraan diletakkan bagi calon yang ingin memohon jawatan tersebut, bermakna ia juga terbuka kepada warganegara asing selain Singapura.

Calon mesti mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya satu tahun, lesen memandu Kelas 4 yang sah dan lesen vokasional. Di Singapura, pemegang lesen Kelas 4 dibenarkan untuk memandu kenderaan bermotor berat dan traktor melebihi 2,500 kg.

Menurut Shin Min Daily News, pemohon yang berjaya akan menerima bonus penyertaan sebanyak S$10,000 (~RM35,026) selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun.

Selain gaji yang tinggi, pemandu juga dapat menikmati faedah-faedah lain termasuk insurans kumpulan serta snek dan minuman percuma. Mereka juga boleh menyertai kelas senaman percuma bagi meningkatkan tahap kesihatan.

Untuk meningkatkan prestasi mereka semasa memandu, setiap pemandu perlu menjalani latihan pengendalian teknologi terkini pada bas.

Waktu bekerja adalah enam hari atau maksimum 44 jam seminggu, dengan cuti tahunan sebanyak tujuh hari. Mereka yang berminat boleh menghantar permohonan sehingga 15 Januari 2024.

Westpoint Transit mensasarkan untuk mendapatkan seramai 10 pemandu dalam fasa pertama pengambilan, diikuti dengan 20 pemandu lagi dalam fasa kedua menjelang akhir tahun depan.

Tesla Malaysia adakan sesi temuduga terbuka pada 17 Jun di Cyberjaya

IA bukanlah satu rahsia bahawa Tesla akan beroperasi secara rasmi di Malaysia dengan perkhidmatan jualan, servis dan rangkaian pengecas supercharger-nya yang tersendiri.

Pada April lalu, Tesla Malaysia telah menawarkan jawatan kosong dalam beberapa bidang termasuk IT, jualan dan operasi tempahan.

Dalam perkembangan terbaru, tular sebuah iklan di media sosial mengenai sesi temuduga terbuka di Tesla Malaysia untuk lima jawatan iaitu:

  • Penasihat jualan/penasihat jualan dalaman
  • Penasihat jualan perusahaan
  • Penasihat penghantaran
  • Pakar sokongan pelanggan
  • Penasihat servis

Sesi temuduga ini akan diadakan pada 17 Jun, dari 12 tengahari hingga 4 petang di Cyberview, Aras 4, Blok 3759, Persiaran Apec, Cyber 8, 63000 Cyberjaya, Selangor.

Calon yang berminat hanya perlu membawa salinan resuma ke lokasi temuduga. Pra-pendaftaran tidak perlu dilakukan, menurut iklan yang tersebar itu.

Tesla Malaysia kini buka peluang pekerjaan di Kuala Lumpur!

DAPAT dilihat di laman LinkedIn dan web Tesla di bawah ruangan Career, sah bahawa Tesla Malaysia kini membuka peluang pekerjaan. Jawatan-jawatan yang ditawarkan merangkumi bidang IT, rekrut, penasihat jualan, dan operasi tempahan.

Pada 1 Mac lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia mengumumkan bahawa Tesla akan masuk ke negara ini secara rasmi dengan operasi jualan, servis, dan rangkaian supercharger.

Tesla Services Sdn Bhd telah ditubuhkan berserta jabatan perakaunan, pembiayaan dan sokongan IT. Dan nama syarikat itu baru-baru ini telah ditukar kepada Tesla Sdn Bhd.

Apa yang menarik, bentuk perniagaan yang tertulis dalam Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ialah “Wholesale and retail of new motor vehicles” atau pemborongan dan jualan kenderaan baharu.

Dua lagi bentuk perniagaan adalah ‘perkhidmatan lain berkaitan pengangkutan darat NEC’ serta ‘penyelenggaraan dan baik pulih kenderaan bermotor’.

Dokumen SSM itu juga menunjukkan pemegang saham utama ialah Tesla International BV dengan 3,598,308 saham, dan syarikat itu berpangkalan di Amsterdam, Belanda.

Mana yang sedang mencari kerja bolehlah mencuba nasib, mana tahu dapat jadi staf Tesla Malaysia kan! Anda boleh lihat senarai jawatan yang ditawarkan itu di sini.