Isuzu Motors Limited memperkenalkan varian terbaharu bagi barisan casis khusus karavan mereka iaitu Be-cam Cab Long. Iya, Isuzu bukan sahaja mempunyai kenderaan komersial tetapi juga karavan untuk pasaran Jepun.
Model yang dibina berasaskan trak ringan Isuzu Elf kini hadir dengan pilihan Wide Cab Long yang menawarkan dimensi lebih besar berbanding model sebelumnya.
Pelancaran rasmi varian ini dilakukan melalui kerjasama dengan pembina karavan Nippon Tokushu Body Co. Ltd. dan kini sudah berada di pasaran.
Satu lagi yang menarik ialah Isuzu A&S Co. Ltd. turut memperkenalkan model konsep yang dinamakan GeoRoam.
Model ini menggunakan warna eksklusif Dark Khaki Metallic dan turut tersedia dengan pelbagai aksesori untuk rujukan peminat aktiviti luar.
Ruang Lebih Luas dan Kapasiti Beban Tinggi
Gabungan kabin lebar dan jarak roda yang panjang pada Be-cam terbaharu ini membolehkan pembinaan ruang kediaman yang lebih terbuka.
Casis yang digunakan direka khusus untuk menampung struktur badan karavan yang besar dengan had berat dibenarkan mencecah 6.6 tan.
Isuzu menggunakan kepakaran mereka dalam pembuatan kenderaan komersial untuk memastikan Be-cam mampu memberikan keseimbangan antara kebebasan reka bentuk badan kenderaan dengan keselesaan pemanduan serta ketahanan jangka panjang.
Pembangunan varian Wide Cab Long didorong oleh peningkatan minat terhadap aktiviti rekreasi luar dan keperluan pasaran terhadap karavan yang mempunyai ruang dalaman lebih luas serta bermutu tinggi.
Rangkaian Kuasa dan Transmisi Moden
Varian terbaharu Be-cam dikuasakan enjin diesel 4JZ1 dengan sesaran enjin 2,999 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 147 hp pada 2,450 rpm.
Enjin ini direka untuk memberikan tork yang tinggi bagi memudahkan pergerakan karavan yang berat, di samping mengekalkan tahap kecekapan bahan api yang tinggi.
Untuk menyokong keperluan elektrik di dalam ruang kediaman karavan, casis ini turut dilengkapi dengan penjana kuasa atau generator berkapasiti 24V 90A sebagai ciri standard.
Sistem penyampaian kuasa pula menggunakan transmisi ISIM yang merupakan kotak gear klac berkembar 9 kelajuan atau 9 speed DCT.
Sistem ini memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan bertenaga walaupun membawa bebanan berat yang sinonim dengan sesebuah karavan.
Selain prestasi pemanduan, penggunaan transmisi ini turut menyumbang kepada tahap kecekapan bahan api yang lebih baik serta pemanduan yang lebih senyap.
Model ini juga didatangkan secara standard dengan sistem pacuan 4WD sepenuh masa jenis center differential yang dikhaskan untuk varian Wide Cab.
Sistem pacuan ini sangat membantu dari segi kestabilan dan keupayaan melepasi permukaan jalan yang mencabar seperti jalan tidak berturap atau kawasan bersalji dengan agihan kuasa yang lebih stabil ke semua roda.
Ini membezakannya dengan varian High Cab Short sedia ada yang lebih memfokuskan kepada aspek kelincahan pengendalian.
Teknologi Keselamatan Canggih
Sebagai model andalan, Isuzu melengkapkan varian Be-cam Wide Cab Long dengan rangkaian sistem keselamatan aktif yang komprehensif.
Pemandu dibantu dengan ciri Lane Keep Assist dan Full-speed Range Adaptive Cruise Control yang sangat berguna untuk perjalanan jarak jauh bagi mengurangkan keletihan.
Terdapat juga ciri keselamatan lain seperti Pre-collision Brake, pemantauan status pemandu dan sistem amaran titik buta.
Penggunaan lampu hadapan LED jenis Adaptive High Beam turut membantu penglihatan pada waktu malam tanpa menyilaukan pemandu lain.
Kehadiran ciri-ciri ini memberikan ketenangan minda kepada pengguna untuk mengendalikan sebuah kenderaan yang bersaiz besar dengan lebih selamat.
Spesifikasi Teknikal Isuzu Be-cam Wide Cab Long
- Enjin: 4JZ 2,999 cc
- Kuasa Maksimum: 147 hp@2,450 rpm
- Transmisi: ISIM (9 speed DCT)
- Sistem Pacuan: 4WD
- Penjana Kuasa (Generator): 24V 90A
- Had Berat Kenderaan Dibenarkan: 6.6 tan
- Saiz Tayar: 225/70R16
