Arkib Tag: isuzu elf

Isuzu D-Max trak pikap nombor dua paling laris tahun 2025 di Malaysia

Isuzu Malaysia mengumumkan pencapaian jualan sepanjang tahun 2025 yang sihat biarpun sentimen industri terhadap kenderaan diesel menurun.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 6,880 unit kenderaan berjaya didaftarkan dengan perkongsian pasaran sebanyak 56.1 peratus.

Ini merupakan satu peningkatan ketara berbanding rekod tertinggi 47.1 peratus yang dicatatkan pada tahun 2023.

 

D-Max kekal kedudukan tangga kedua

Trak pikap Isuzu D-Max mengekalkan kedudukannya sebagai trak pikap nombor dua paling laris terjual, dengan penguasaan pasaran sebanyak 15 peratus.

Selain itu, trak tugas ringan Isuzu Elf kekal menjadi trak paling popular di Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut.

Sepanjang tempoh tahun lalu, sejumlah 6,362 unit telah didaftarkan dan menyumbang kepada 92.5 peratus daripada jumlah trak yang dijual.

Isuzu Forward mengulangi kejayaan tahun 2023 dengan muncul sebagai trak tugas sederhana paling laris tahun lepas (494 unit).

 

Barisan produk Isuzu penuhi keperluan pelanggan

Tomoyuki Yamaguchi, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, berkata komitmen Isuzu dalam memahami dan memenuhi keperluan pelanggan menjadi asas kepada peningkatan populariti jenama itu.

Beliau menambah bahawa kecekapan rangkaian pengedar menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran serta sistem selepas jualan yang mantap turut menyumbang kepada penerimaan berterusan Isuzu di Malaysia.

 

Isuzu Smoother Drive guna trak AMT untuk kembara 3,554km serah bantuan kepada rumah kebajikan

ISUZU Smoother Drive 2024 merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan acara jelajah trak untuk membuat sumbangan kepada komuniti kurang bernasib baik.

Jelajah yang bermula pada 11 Mac itu telah berakhir di Pusat Servis Isuzu Sungai Rasah, Shah Alam baru-baru ini pada 29 Mac 2024.

Program ini mencatat jarak keseluruhan 3,554km melibatkan 11 buah trak yang digerakkan ke seluruh Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Untuk Semenanjung Malaysia, enam buah trak terdiri dari dua unit FVR Smoother AMT medium duty dan empat unit ELF Smoother AMT light duty memulakan perjalanan mereka dari kilang pemasangan Isuzu Hicom Malaysia (IHM) di Pekan, Pahang.

Dalam tempoh 19 hari program ini berlangsung, trak-trak berkenaan perlu tiba di setiap pengedar yang mengambil bahagian pada tarikh yang telah ditetapkan.

Setelah sampai di setiap lokasi pengedar, trak-trak itu ditugaskan mengambil barangan sumbangan dan menghantarnya ke rumah-rumah kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik, golongan kurang upaya dan warga emas di setiap lokasi terbabit.

Selepas menghantar sumbangan ke rumah kebajikan, trak-trak itu akan pulang semula ke pengedar untuk acara pameran dan majlis berbuka puasa sebagai tanda terima kasih kepada para pelanggan serta orang ramai di atas sokongan mereka.

Enam unit trak tersebut di Semenanjung Malaysia dibahagikan kepada dua pasukan.

Pasukan pertama berkunjung ke lapan buah pengedar di kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia. Trak-trak itu telah dipandu sejauh 1,778km dan menyerahkan sumbangan kepada 8 buah rumah kebajikan.

Pasukan kedua yang terdiri daripada tiga buah trak singgah di 10 pengedar di wilayah Selatan dan Tengah Semenanjung Malaysia, dan telah berjaya merekodkan jarak perjalanan sebanyak 929km untuk menyerahkan bantuan kepada 16 buah rumah kebajikan.

Di Sabah dan Sarawak pula, sebanyak lima buah trak ELF Smoother AMT mengharungi perjalanan sejauh 1,447km. Mereka kemudian berhenti di tujuh buah pengedar yang mengambil bahagian dan menyerahkan barangan sumbangan kepada tujuh buah rumah kebajikan.

Program sempena bulan Ramadan ini dianjurkan oleh Isuzu Malaysia dan 23 pengedar yang mengambil bahagian, merangkumi 26 lokasi dan menjadi salah satu cara untuk kembali menyumbang kepada komuniti kurang bernasib baik.

Selain para pengedar, ia juga melibatkan sumbangan seperti barangan keperluan harian, makanan dan minuman, pakaian daripada pelanggan, kakitangan pengedar dan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Kami sangat gembira apabila mengetahui program Isuzu Smoother Drive 2024 mampu memberi manfaat kepada begitu banyak rumah kebajikan di Malaysia.

“Pada masa sama, kami boleh menggerakkan trak FVR Smoother AMT dan ELF Smoother AMT yang baru dilancarkan untuk melaksanakan program yang bermanfaat ini.

Kami harap inisiatif ini akan dapat meringankan beban rumah-rumah kebajikan dan menaikkan semangat mereka terutama pada musim perayaan yang bakal tiba,” katanya dalam majlis penutup di Shah Alam.