Arkib Tag: Isuzu D-Max EV

Isuzu D-Max EV mula dijual di UK, harga agak mahal

Beberapa bulan lepas, Isuzu mengumumkan model trak pikap elektrik D-Max EV sudah mula diproduksikan di kilang Thailand.

Trak pikap tersebut dijangka akan mendarat di pasaran Eropah seawal tahun 2026, membawakan tanda harga yang cukup mengejutkan.

Isuzu D-Max EV dijual pada harga £59,995 (RM341,913), dua kali ganda berbanding harga D-Max versi diesel yang bermula dari £27,755 (RM158,176).

Malah, dengan harga £62,495 (RM356k) untuk varian yang lebih premium, ia dilihat masih lagi mahal berbanding trak pikap D-Max AT35 yang sarat dengan bermacam-macam aksesori off-road (harga £57,005 atau RM325k).

Isuzu D-Max EV dikuasakan oleh dua motor elektrik, menghasilkan output 188 hp dan 325 Nm, dan masih mengekalkan ciri Rough Terrain Mode daripada model diesel.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 10.1 saat, dengan kelajuan maksimum cuma 129 km/j sahaja.

Untuk sebuah kuda kerja, D-Max EV menawarkan keupayaan menampung beban 1,000 kg, dan kapasiti menunda beban sehingga 3.5 tan yang menyamai keupayaan trak pikap diesel.

Pek bateri 66.9 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 263 km sahaja, namun ia menyokong pengecasan pantas DC 50 kW untuk pengecasan sepantas 1 jam dari 20-80 peratus.

Isuzu D-Max EV masih mengekalkan casis ladder-frame seperti model biasa, namun suspensi belakang diubah kepada tetapan De-Dion untuk kualiti pemanduan yang lebih baik.

Isuzu D-Max EV tawar jarak pandu 361 km, kuasa 190 hp/325 Nm dan sistem 4WD

Isuzu Motors Limited baru-baru ini mengumumkan produksi bagi model trak pikap elektrik D-Max EV sudah pun bermula di kilang Thailand.

Trak pikap sifar emisi tersebut telah diperlihatkan buat kali pertama di acara pameran Bangkok Motor Show 2024.

Mengikut spesifikasi, D-Max EV dilengkapi dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan empat roda, di mana motor hadapan berkuasa 58 hp dan 108 Nm, sementara motor belakang pula berkuasa 132 hp dan 217 Nm.

Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan mencecah 190 hp dan 325 Nm, membolehkan pecutan 0-97 km/j dalam masa 10.1 saat, dan kelajuan maksimum 130 km/j.

Keupayaan D-Max EV menyamai D-Max versi diesel, dengan had muatan seberat 1,010 kg dan keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg.

Pek bateri lithium-ion 66.9 kWh membolehkan trak ini dipandu sejauh 361 km untuk pemanduan dalam bandar (data WLTP).

D-Max EV turut menyokong pengecasan AC 11 kW (0-100 peratus dalam masa 10 jam), dan pengecasan pantas DC 50 kW di mana bateri boleh dicas 20 hingga 80 peratus dalam tempoh satu jam.

Dari segi ukuran, D-Max EV memiliki dimensi sepanjang 5,280 mm, lebar 1,870 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,125 mm. Berat pula sekitar 2,350 kg.

Selain itu, D-Max EV juga mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, berkeupayaan meredah air sedalam 600 mm, serta sudut pendekatan dan sudut pelepasan masing-masing 30.5 dan 24.2 darjah.

Tidak seperti D-Max standard yang menggunakan suspensi jenis dedaun di belakang, pengendalian D-Max EV ditambah baik dengan penggunaan suspensi jenis De-Dion.

Menurut Isuzu, D-Max EV versi pemanduan sebelah kiri (LHD) akan diedarkan ke pasaran utama Eropah pada suku ketiga (Q3) tahun ini.

Versi pemanduan kanan (RHD) pula akan mula diproduksikan pada akhir tahun ini, dan mula dijual di pasaran UK pada tahun 2026 sebelum diperluaskan kepada pasaran lain.