Arkib Tag: infiniti

Infiniti QX80 2025 didedahkan, mahu lawan Range Rover Sport?

INILAH Infiniti QX80 2025 serba baharu, dan segalanya besar tentang SUV ini. Dari saiz, kuasa, enjin, ruang, dan macam-macam.

Rekaan luaran QX80 ini mirip dengan konsep Infiniti Monograph QX yang dipertontonkan tahun lepas. SUV ini mempunyai panjang 5,334mm dari depan ke belakang, dibina atas pelantar atau casis jenis old-school.

Infiniti menggelar bentuk QX80 ini sebagai “anti wedge” kerana rekaannya yang menegak dengan garisan lurus. Malah, hud depannya juga hampir rata. QX80 juga dilengkapi dengan gril double-arch, kemasan hitam, pilihan bumbung hitam, dan pembuka pintu jenis retractable.

Bahagian dalam seperti dijangka, adalah ultra-mewah penuh dengan balutan kulit dan kemasan premium. Varian tertinggi Autograph dilengkapi dengan tempat duduk semi-aniline dan papan pemukanya mendapat kemasan aluminium/kayu.

Paparan instrumen digital berkembar bersaiz 14.3-inci digabungkan bagi memberikan skrin lebar memanjang. Terdapat skrin ketiga bersaiz 9-inci di depan konsol tengah untuk kawalan pendingin hawa, pemanas/penyejuk tempat duduk, dan mod pemanduan.

Disebabkan saiznya yang besar, Infiniti QX80 didatangkan dengan Front Wide View yang menggunakan pelbagai kamera untuk menayangkan paparan 170-darjah di depan untuk memudahkan pengemudian di tempat sempit.

Enhanced AroundView pula merupakan paparan 360-darjah, dan terdapat juga kamera di dalam kereta yang boleh dilihat oleh penumpang depan. Ia juga boleh diakses menggunakan aplikasi telefon pintar.

Ciri lain pada QX80 termasuklah Biometric Cooling, tempat duduk dengan fungsi urut, InTouch dengan Google Built-In, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, bantuan pemandu ProPilot 2.1, sistem audio 600watt pada varian biasa (Pure, Luxe, Sensory), dan sistem audio Klipsch 1200watt untuk varian Autograph.

Untuk QX80 2025 terbaharu, tiada lagi enjin V8 5.6-liter naturally-aspirated, diganti dengan enjin 3.5-liter V6 twin-turbo yang menjana 450hp dan 699Nm tork. Ini sebenarnya peningkatan dari output yang dihasilkan enjin V8 sebelumnya.

Anda boleh pilih versi pacuan semua-roda atau roda-belakang, tetapi kotak gear adalah standard, automatik 9-kelajuan. Infiniti berkata pembinaan casis baharu ini 57 peratus lebih tegar berbanding model lama, dan boleh dipilih dengan suspensi biasa atau udara.

Nissan Skyline akan datang bakal jadi SUV dan EV fastback, dijangka tiba 2025

YA, anda tidak salah baca tajuk. Nissan Skyline baharu akan datang bakal dilahirkan semula menjadi SUV dan fastback elektrik (EV) berprestasi tinggi. Ini merupakan perkembangan terkini yang dilaporkan oleh media-media antarabangsa.

Nissan Skyline mula lahir pada 1969 selepas pengeluar Jepun itu bergabung dengan Prince Motor Company. Kemudian pada tahun yang sama, versi GT-R diperkenalkan dengan lebih kuasa dan pengendalian lebih baik.

Selepas beberapa facelift, Nissan pada 1989 akhirnya mendedahkan R32 Skyline GT-R yang cukup ikonik. Ia mendominasi perlumbaan-perlumbaan yang disertainya pada 90-an, dan mendapat nama gelaran Godzilla.

Kembali ke masa kini, menurut laporan asal Best Car Web dari Jepun berkata Skyline serba baharu akan dikeluarkan dalam bentuk SUV elektrik. Ia akan diasaskan dari Nissan Ariya dan dijangka tiba pada 2025.

Menurut laporan itu, ‘Skyline’ ini akan mendapat 450hp dan mungkin turut dijual di Amerika Syarikat (AS) di bawah jenama Infiniti. Skyline pada masa ini dijual sebagai Infiniti Q50 di Amerika Utara.

Dalam laporan baharu, Best Car Web mendakwa Skyline juga akan hadir dalam bentuk fastback 4-pintu, dengan 443hp, dua motor elektrik, dan pacuan empat roda kawalan bebas.

Infiniti mendedahkan konsep sedan Qe pada bulan lepas, mempertontonkan EV pertamanya. Ia menampilkan pencahayaan “digital piano key” yang menjadi identity mereka di depan dan belakang.