iCaur 03 baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, membawakan keupayaan pemanduan off-road dalam pakej SUV elektrik sepenuh masa.
Model yang dipamerkan ini pula merupakan kembar kepada iCaur 03T, namun dengan nama yang berbeza iaitu Chery Fulwin X3L.
Dengan adanya huruf ‘L’ di hujung nama, ia menandakan SUV ini membawakan kelebihan dari segi dimensi yang lebih panjang.
Berbanding iCaur 03, Fulwin X3L berukuran sepanjang 4,545 mm (+139 mm), lebar 1,950 mm (+40 mm), tinggi 1,815 mm (+10 mm) serta jarak antara roda 2,783 mm (+68 mm).
Lebih menarik, ia kini didatangkan dengan unit rangkaian kuasa penambah jarak (range-extender) Kunpeng Golden, menggandingkan enjin 1.5 liter turbo (154 hp) dengan tetapan motor elektrik tunggal atau motor elektrik berkembar dengan sistem AWD.
Kuasa keseluruhan untuk versi motor tunggal mencapai 248 hp, atau sehingga 422 hp/505 Nm untuk versi AWD.
Pecutan 0-100 km/j hanyalah sepantas 4.7 saat sahaja.
X3L menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh antara 135 km sehingga 215 km, atau sejauh 1,200 km dengan tangki bahan api yang penuh.
Susun atur ruang kabin X3L adalah hampir sama sahaja dengan model iCaur 03, namun hadir dengan beberapa penambahbaikan seperti fungsi tank turn, kawalan jelajah off-road dan fungsi merangkak pada kelajuan rendah.
Harga jualan di pasaran China bermula dari 119,900 yuan – 159,900 yuan (RM71,043-RM94,744).
iCaur Malaysia mengumumkan pembukaan rasmi Hab Komponen iCaur yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Shah Alam.
Fasiliti seluas 88,000 kaki persegi itu mampu menempatkan lebih 10,000 alat ganti dan komponen terpilih yang diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama oleh Omoda | Jaecoo Malaysia.
Dengan adanya kemudahan berpusat ini, ia bakal menyokong operasi selepas jualan iCaur dan memperkukuh kesediaan rangkaian menjelang pelancaran model pertama iCaur 03 pada suku ketiga tahun ini.
Menurut Naib Presiden iCaur Malaysia, Emily Lek berkata, “Gudang Chery Corporate Malaysia ini memainkan peranan penting untuk menyokong rangkaian pengedar iCaur yang semakin meluas.
“Ia akan merangkumi tidak kurang daripada 16 rakan pengedar tidak lama lagi dengan pengembangan selanjutnya dirancang pada tahun 2026.
“Falsafah ‘Born to Play’ iCaur bermaksud kami bersedia sejak mula lagi. Dengan membina portfolio alat ganti dan komponen secara beransur-ansur disokong oleh pemain automotif bertaraf dunia dengan rangkaian bekalan global yang kukuh, iCaur Malaysia bersedia untuk melangkah maju seiring rangkaian kami sambil mengukuhkan piawaian perkhidmatan selepas jualan yang diharapkan oleh para pelanggan kami,” ujarnya lagi.
iCaur Malaysia turut menjemput orang ramai untuk merasai pengalaman pemanduan berhalangan iCaur Experience di Karnival Omoda | Jaecoo Plaza Arkadia, Desa ParkCity dari 21-24 Ogos ini.
Di sana, iCaur Malaysia akan menyediakan model iCaur 03 versi pacuan dua roda (2WD) berkuasa 235 hp (harga anggaran dari RM145,000), serta varian iWD berkuasa 275 hp (harga anggaran dari RM155,000).
Selain pelbagai aktiviti interaktif yang telah disusun, pengunjung juga dijemput untuk menyertai cabaran ‘Teka Harga’ dan berpeluang menebus cenderahati eksklusif iCaur.
30 orang pelanggan pertama yang membuat tempahan model iCaur sepanjang tempoh acara tersebut berlangsung akan menerima model skala iCaur 03 edisi terhad (bernilai RM1,388).
iCaur Malaysia menjemput rakyat Malaysia untuk merasai sendiri keupayaan sebenar SUV elektrik 03 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
iCaur Public Roadshow ini berlangsung dari 20 hingga 22 Jun 2025 bertempat di Ground Floor Carpark (Old Wing), 1 Utama Shopping Centre dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Terdapat beberapa cabaran bertemakan off-road disediakan termasuklah:
• iBreaker – menguji keupayaan sistem iWD mengagihkan tork kepada roda tunggal
• iSlide – platform pendakian curam untuk menguji sudut pendekatan 28° dan sudut pelepasan 32°
• iSee-Saw – tanjakan berkontur tajam untuk menguji tahap ketegaran casis dan artikulasi gandar
• iSplash – laluan air sedalam 400 mm untuk mempamerkan kebolehan SUV elektrik ini mengharungi air yang dalam
SUV off-road elektrik iCaur 03 muncul buat kali pertama di acara Malaysia Autoshow 2025.
Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm, tinggi 1,715 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,715 mm, serta menawarkan sudut pendekatan 28° dan sudut pelepasan 32°.
Ruang kargo adalah sebesar 450 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,238 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat. Terdapat storan di bahagian luar dengan kapasiti 40 liter.
Untuk permulaan, iCaur 03 boleh didapati dalam varian 2WD, dengan motor elektrik tunggal berkuasa 181 hp/220 Nm, dan pek bateri 65.7 kWh yang menawarkan jarak gerak 426 km.
Terdapat juga varian pacuan semua roda iWD berkuasa 275 hp dan daya kilas 385 Nm, serta mampu mencapai jarak gerak sejauh 418 km terima kasih kepada pek bateri 69.8 kWh.
Casis iCaur 03 diperbuat daripada kerangka aluminium yang menawarkan pengurangan berat sehingga 30 peratus, lebih tegar 30 peratus dan ciri anti-karat sehingga 30 tahun.
Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, diikuti tetapan H-Arm Multi-link di belakang.
Menariknya, iCaur Malaysia turut mengumumkan kemunculan varian baharu penambah jarak (REEV) yang dijangka masuk pada tahun hadapan.
Antara ciri lain yang tersedia pada iCaur 03 termasuklah:
– keupayaan pengecasan AC 3 pin 3.3 kW, pengecasan AC 6.6 kW (10 jam), pengecasan pantas DC 80 kW (30 minit)
– fungsi V2L 3.3 kW
– skrin kluster 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci
– fungsi pemanas, ventilasi dan urut untuk tempat duduk depan
– fungsi ventilasi pada tempat duduk belakang
– slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50 W
– bumbung kaca panorama
– bukaan pintu guna suis elektrik
– sistem iROAD dengan 12 mod pemanduan (untuk varian iWD)
– 8 pembesar suara (12 pembesar suara Infinity untuk varian iWD)
– ADAS Tahap 2.5 merangkumi bantuan lorong kecemasan (ELA), kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan jalan raya (TJA).
Harga jualan dianggarkan sekitar RM145,000 untuk varian 2WD, dan sekitar RM155,000 untuk varian iWD.
Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, sebuah lagi jenama baharu sudah pun rasmi bertapak di pasaran tempatan, iaitu iCAUR.
Untuk makluman, iCAUR (atau iCAR di pasaran luar) telah ditubuhkan pada tahun 2023 dan merupakan sebuah sub-jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) di bawah naungan Chery.
Buat masa ini, iCAUR mempunyai dua buah model SUV berkuasa elektrik, iaitu iCAUR 03 dan iCAUR V23.
iCAUR 03 atau nama lainnya Jaecoo J6 di pasaran luar membawakan reka bentuk badan berkotak, dan boleh didapati dalam versi pacuan dua roda atau pacuan semua roda pintar (iWD).
Versi 2WD dipacu oleh motor elektrik gandar belakang menghasilkan 181 hp dan 220 Nm, digandingkan dengan pek bateri 65.7 kWh untuk jarak gerak sehingga 426 km.
Versi iWD pula menghamburkan kuasa 275 hp dan 385 Nm, dibantu dengan pek bateri 69.8 kWh untuk jarak gerak sejauh 418 km.
Pengecasan pantas DC 80 kW membolehkan bateri dicas 30-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Terdapat enam mod pemanduan iROAD yang boleh dipilih mengikut kesesuaian keadaan pemanduan semasa.
Untuk ruang kabin disediakan skrin kluster instrumen 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci, sistem audio INFINITY dengan 12 pembesar suara, serta bantuan kamera 540 darjah.
Ciri bantuan pemandu termaju ADAS 2.5 turut disediakan merangkumi Bantuan Penukaran Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif, serta Bantuan Kesesakan Lalu Lintas.
Tempahan untuk iCAUR 03 kini dibuka, dengan harga jualan anggaran dari RM145,000 untuk versi 2WD, dan RM155,000 untuk versi iWD.
Setiap pelanggan yang membuat tempahan di Malaysia Autoshow 2025 akan menerima model skala iCAUR 03 edisi terhad apabila menerima kenderaan masing-masing pada suku ketiga 2025.