Arkib Tag: iCaur 03 2025

iCaur 03 2025 rasmi dilancarkan – 2 varian, harga dari RM119,800

Setelah debut di Malaysia Autoshow 2025, SUV off-road berkuasa elektrik iCaur 03 akhirnya rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Untuk makluman, jenama iCaur ini merupakan hasil kerjasama antara Chery dengan Zhimi Technology, sebuah syarikat subsidiari Xiaomi.

Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, pembeli boleh mendapatkan iCaur 03 dalam varian 2WD, atau pacuan semua roda iWD.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm, tinggi 1,715 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,715 mm, serta menawarkan sudut pendekatan 28° dan sudut pelepasan 32°.

Ruang kargo adalah sebesar 450 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,238 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat. Terdapat storan di bahagian luar dengan kapasiti 40 liter.

Untuk permulaan, iCaur 03 boleh didapati dalam varian 2WD, dengan motor elektrik tunggal berkuasa 181 hp/220 Nm, dan pek bateri 65.7 kWh yang menawarkan jarak gerak 426 km.

Terdapat juga varian pacuan semua roda iWD berkuasa 275 hp dan daya kilas 385 Nm, serta mampu mencapai jarak gerak sejauh 418 km terima kasih kepada pek bateri 69.8 kWh.

Casis iCaur 03 diperbuat daripada kerangka aluminium yang menawarkan pengurangan berat sehingga 30 peratus, lebih tegar 30 peratus dan ciri anti-karat sehingga 30 tahun.

Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, diikuti tetapan H-Arm Multi-link di belakang.

Antara ciri lain yang tersedia pada iCaur 03 termasuklah:
– keupayaan pengecasan AC 3 pin 3.3 kW, pengecasan AC 6.6 kW (10 jam), pengecasan pantas DC 80 kW (30 minit)
– fungsi V2L 3.3 kW
– skrin kluster 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci
– fungsi pemanas, ventilasi dan urut untuk tempat duduk depan
– fungsi ventilasi pada tempat duduk belakang
– slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50 W
– bumbung kaca panorama
– bukaan pintu guna suis elektrik
– sistem iROAD dengan 10 mod pemanduan (untuk varian iWD)
– 8 pembesar suara (12 pembesar suara Infinity untuk varian iWD)

Ciri keselamatan ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi-fungsi berikut:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Maklumat Terlepas Pandu (DAI)
  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Kekalkan Lorong Kecemasan (ELK)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
  • Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Amaran Pembukaan Pintu (DOW)

 

Untuk pasaran Malaysia, iCaur 03 boleh didapati dalam lima pilihan warna termasuklah perak, kelabu, putih, hitam dan hijau aurora.

Harga jualan bermula dari RM119,800 untuk versi 2WD, dan RM129,800 untuk versi iWD.

Terdapat juga edisi Black Phantom yang hadir dengan kit badan eksklusif, kemasan hitam kusam, rak bumbung, serta tangga sisi dengan kos tambahan RM20,000.

iCaur Malaysia turut menawarkan Program Insurans iCARE yang dirangka dengan kerjasama Allianz General Insurance, Berjaya Sompo, AIG, Etiqa Takaful, Zurich dan Zurich Takaful, merangkumi perlindungan terhadap pengecas dinding dan kabel pengecas mudah alih serta khidmat tunda tanpa had.

Untuk makluman, iCaur 03 akan ditawarkan dalam versi import sepenuhnya (CBU), sementara program pemasangan CKD pula dijangka bermula Januari 2026.

iCaur Malaysia rasmi buka pusat pengedar pertama dunia di Glenmarie

iCaur Malaysia secara rasmi membuka pusat pengedar iCaur pertama dunia yang terletak di Glenmarie dan dikendalikan oleh Absolute Motor Sdn Bhd.

Mempunyai keluasan 18,912 kaki persegi, pusat pengedar iCaur Glenmarie ini direka sebagai sebuah hab gaya hidup dengan layanan yang serba lengkap.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah ruang pameran yang boleh memuatkan lima kereta, ruang pelanggan lengkap dengan sambungan Wi-Fi percuma, minuman dan makanan, ruang penyerahan serta dua ruang pengecasan EV.

iCaur Glenmarie juga turut menyediakan sudut khas iCaur Arcade yang boleh dinikmati oleh pelanggan dan pengunjung.

Selain itu, iCaur Glenmarie turut menempatkan perkhidmatan selepas jualan yang menyediakan tiga ruang servis, serta ruang penyesuaian khusus.

Dengan kekuatan tenaga pekerja seramai 30 orang yang terlatih, pusat servis iCaur Glenmarie ini mampu menampung kapasiti sehingga 300 kenderaan sebulan.

iCaur Malaysia menyasarkan sehingga 18 pusat jualan dan 9 buah pusat pengedar penuh di seluruh negara menjelang pertengahan September ini.

Selain pembukaan pusat pengedaran, iCaur Malaysia dijangka akan melancarkan model pertama mereka 03 pada 9 September ini.

iCaur 03 2025 bakal ditawarkan dalam dua pilihan rangkaian kuasa, iaitu versi 2WD (184 PS/220 Nm) dengan pek bateri 65.7 kWh yang membenarkan jarak gerak 426 km, serta varian iWD dengan tetapan dua motor elektrik (279 PS/385 Nm), bateri 69.8 kWh dan jarak gerak sejauh 418 km (data NEDC).

Harga jualan iCaur 03 dianggarkan bermula RM145,000 hingga RM155,000.