Nissan dilapor mungkin perlu menjual bangunan ibu pejabat yang terletak di daerah Minoto-Mirai 21, Yokohama, Jepun.
Laporan daripada Nikkei Asia mendakwa bangunan HQ tersebut disenaraikan sebagai salah satu aset yang perlu dilepaskan oleh Nissan menjelang akhir Mac 2026.
CEO Nissan yang baru sahaja dilantik, Ivan Espinosa mengumumkan terdapat beberapa aset Nissan yang bakal dijual walaupun tidak menyebut secara spesifik bangunan kompleks tersebut.
Dianggarkan, kompleks ibu pejabat Nissan itu bernilai lebih 100 bilion yen atau RM2.96 bilion menurut seorang ejen hartanah tempatan.
Walaupun Nissan tidak lagi memiliki bangunan tersebut, syarikat itu akan terus menyewa bangunan tersebut daripada pemilik baharu untuk kekal beroperasi seperti biasa.
Ia merupakan langkah yang sama diguna pakai oleh McLaren setelah pengeluar supercar itu menjual HQ yang terletak di Woking sebagai satu cara untuk mengurangkan hutang.
Penjualan bangunan HQ merupakan salah satu cara yang diambil oleh Nissan dalam langkah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran setelah berdepan dengan kerugian $4.5 bilion (RM19.03 bilion) tahun lepas.
Nissan juga akan menutup sehingga tujuh kilang global termasuklah dua kilang domestik (dikenali sebagai kilang Oppama dan Shonan), serta membuang 20,000 pekerja.
Selain itu, pembangunan bagi sesetengah model akan dihentikan, selain meringkaskan platform sedia ada kepada hanya tujuh sahaja bertujuan untuk mengurangkan kerumitan alat ganti sehingga 70 peratus.
