Arkib Tag: Hyundai Staria

Hyundai Malaysia tawar promosi menarik sempena Tahun Baru Cina, Tucson serendah RM125,888

Hyundai Motor Malaysia meraikan sambutan Tahun Baru Cina dengan tawaran istimewa untuk Hyundai TUCSON baharu, kini bermula RM125,888.

SUV ini hadir dengan teknologi moden, ruang dalaman luas dan rekaan futuristik yang menonjol di jalan raya. Ia turut dilengkapi ciri keselamatan Hyundai SmartSense, pengecas tanpa wayar, pengecaman cap jari dan tempat duduk berpengudaraan.

Selain TUCSON, Hyundai turut menawarkan ganjaran menarik untuk model Santa Fe dan Staria.

Sorotan Promosi Tahun Baru Cina

1. Hyundai Tucson

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada tawaran berikut:

  • Total Drive Rewards – rebat tunai sehingga RM19,000, termasuk pakej servis percuma + 8 kali servis percuma untuk varian terpilih
  • Instant Savings – rebat tunai sehingga RM24,000 untuk varian terpilih
  • Pembiayaan Rendah – kadar faedah 0% untuk varian terpilih
  • Sokongan Trade-In – sehingga RM2,300 untuk varian terpilih

2. Hyundai Santa Fe

Pelanggan boleh memilih salah satu daripada tiga pilihan pemilikan (bergantung kepada varian):

  • Total Drive Rewards – rebat tunai sehingga RM24,000, termasuk pakej servis percuma + 8 kali servis percuma
  • Instant Savings – rebat tunai sehingga RM29,000
  • Pembiayaan Rendah – kadar faedah 0% untuk varian terpilih

3. Hyundai Staria

  • Total Drive Rewards – Rebat tunai sehingga RM20,000 untuk varian terpilih

Sebagai tambahan, pelanggan yang membuat pandu uji mana-mana model Hyundai dan melengkapkan tempahan dalam tempoh tujuh hari bekerja akan menerima Ang Pao Early Bird bernilai RM888.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat pameran Hyundai bertauliah di seluruh negara.
Maklumat tambahan turut tersedia di laman rasmi: https://www.hyundai.com/my/en

Hyundai Malaysia buka tempahan untuk Staria CKD, harga dari RM179,888

Hyundai Motor Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model Hyundai Staria versi pemasangan tempatan (CKD).

MPV yang akan dipasang di kilang Kulim, Kedah itu bakal dijual pada harga bermula dari RM179,888 hingga RM267,888.

Terdapat beberapa pilihan warna baharu termasuklah Jet Black, Snow Flake White Pearl, Meteor Grey dan Stormy Sea tersedia untuk semua varian.

Di Malaysia, Staria boleh didapati dalam konfigurasi 10 tempat duduk atau sehingga 7 tempat duduk untuk varian yang paling premium.

Dari segi kuasa, Staria hadir dengan enjin diesel 2.2 liter turbo menghasilkan 177 PS dan 430 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.

Perincian lanjut tentang Hyundai Staria boleh dibaca menerusi pautan INI.

 

Hyundai Staria Prestige 2025 diperlihatkan di Malaysia, pelancaran rasmi 2 Julai ini

Jika anda perasan, MPV Hyundai Staria merupakan antara model Hyundai yang paling laris terjual di Malaysia sejak diperkenalkan secara rasmi tiga tahun lepas.

Jualan bagi model tersebut akan diteruskan di bawah Hyundai Motor Malaysia (HMY), di mana versi kemas kini akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai nanti.

Turut dipamerkan ialah varian paling premium Prestige yang menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk.

Ia membawakan ciri unik seperti kemasan Brass Chrome pada bahagian luaran termasuklah perumah cermin sisi dan perumah lampu, pemegang pintu dan juga emblem.

Selain daripada Staria Prestige 7-tempat duduk, terdapat juga versi Prestige 10 tempat duduk yang akan turut ditawarkan kelak, serta dua lagi varian 10 tempat duduk Style dan Prime.

Bergantung kepada varian, Staria juga turut dilengkapi dengan ciri seperti bumbung kaca panorama berkembar, tempat duduk Premium Relaxation, kawalan iklim automatik, skrin sentuh 8 inci, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, dan ruang kargo sebesar 431 liter.

Kesemua varian masih lagi kekal dengan enjin diesel 2.2 liter CRDi menghasilkan kuasa 177 PS dan 430 Nm yang memacu roda depan sahaja.

Menariknya, dalam siaran media HMY ada menyebut tentang kemunculan varian hibrid Prestige HEV.

Berdasarkan spesifikasi model pasaran global, Hyundai Staria HEV dikuasakan oleh enjin Smartstream G1.6 T-GDi berkuasa 245 PS dan 367 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Ciri keselamatan Hyundai SmartSense merangkumi fungsi seperti Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Kawalan Jelajah Pintar (SCC), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem pemantauan keliling, sistem pemantauan titik buta dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Lebih banyak info termasuk harga jualan akan diketahui pada acara pelancaran rasmi yang berlangsung 2 Julai ini.

Hyundai ST1 EV, kuda kerja futuristik, tiga varian didedahkan

Hyundai Staria diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai pengganti kepada model pacuan roda belakang Starex.

Selain wujud dalam versi van penumpang (tiga atau empat baris tempat duduk), Hyundai Staria juga turut ditawarkan dalam versi van komersial yang dikhususkan untuk membawa muatan barangan.

Mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti luar boleh mendapatkan Hyundai Staria Lounge Camper, terdiri daripada dua model iaitu Camper 11 dan Camper 4 dengan empat tempat duduk eksklusif.

 

Masuk tahun 2024, Hyundai meluaskan lagi penawaran Staria dengan memperlihatkan model ST1, atau nama penuhnya “Service Type 1”.

Ia merupakan sebuah kuda kerja berkuasa elektrik sepenuh masa dan direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil di Korea Selatan.

Untuk permulaan, Hyundai bakal menawarkan tiga varian, iaitu versi kargo standard, kargo sejuk serta ‘chassis cab’ yang asas untuk pemilik yang mahu memadankan binaan belakang secara retrofit.

Sesuai sangat untuk mereka yang mahu menjadikan ST1 ini sebagai projek campervan.

 

 

Reka bentuk luaran ST1 ini banyak mengingatkan kita kepada model Staria Load, dengan unit lampu asas yang diposisikan rendah, jalur lampu nyalaan siang LED, rim keluli, serta padanan lapisan perlindungan plastik pada sekeliling badan.

Sama seperti Kona EV, port pengecasan Hyundai ST1 ini terletak pada bahagian muka hadapan.

Buat masa ini, spesifikasi penuh seperti kuasa dan had muatan yang mampu ditampung oleh ST1 masih lagi tidak diketahui, dan perinciannya hanya akan didedahkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Selain pasaran Korea Selatan, Hyundai juga merancang untuk menjual ST1 di beberapa pasaran lain.

Hyundai Staria Premium

 

Hyundai Staria 10 tempat duduk

Hyundai Staria Load