Arkib Tag: Hyundai Ioniq 6 N

Hyundai Motor Malaysia bakal perkenal model baharu tahun ini: Ioniq 5 N, 6 N dan Stargazer!

Hyundai Motor Malaysia bakal melancarkan beberapa buah model baharu sepanjang tahun 2026.

Antara model yang bakal diperkenalkan kelak termasuklah Tucson dan Santa Fe versi pemasangan tempatan (CKD).

Jenama itu turut mengesahkan kehadiran sebuah MPV segmen B pada suku keempat tahun ini, iaiatu Hyundai Stargazer.

Selain itu, Hyundai juga bakal memperkenalkan dua buah model berprestasi tinggi, iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N serta barisan produk di bawah sub-jenama N-Line.

Sasar 25 pusat jualan & servis

Hyundai Malaysia juga turut menyasarkan sehingga 25 buah pusat jualan dan servis termasuklah di Malaysia Timur.

Setakat ini, Hyundai Malaysia mempunyai 12 cawangan dengan lima LOI ditandatangani pada tahun 2025 dan satu pada awal tahun ini.

Pengalaman pemilikan dipertingkatkan

Hyundai turut mahu meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan menerusi program myHyundaiCare.

Antara inisiatif di bawah program ini termasuklah:

  • pelarasan semula pakej servis dan penyelenggaraan untuk menjadikan kos pemilikan lebih rendah
  • kos bateri hibrid lebih rendah, dan hanya menggantikan modul bateri yang rosak berbanding penggantian penuh
  • kempen pemeriksaan dan servis kenderaan percuma sempena perayaan
  • pasukan sokongan teknikal bergerak
  • klinik servis dan bengkel pemilik untuk tingkatkan keyakinan dan pengetahuan produk
  • jaminan 8-tahun/160,000 km diteruskan
  • perlindungan nilai kenderaan menerusi Hyundai Protection Plan yang disokong oleh rakan insurans termasuklah Allianz, Berjaya Sompo, Etiga General Takaful, Takaful Ikhlas dan Tokio Marine
  • stok alat ganti ditambah baik melalui gudang di Glenmarie

Program rujukan Staria All-Star

Program rujukan Staria All-Star ini menawarkan manfaat berikut:

  • kredit servis RM500 untuk perujuk
  • penjimatan sehingga RM1,500 untuk pelanggan baharu ke atas promosi sedia ada

 

Hyundai Ioniq 6 N – sedan pantas berkuasa 641 hp, 0-100 km/j 3.2 saat!

Bersempena dengan acara Goodwood Festival of Speed, Hyundai mengambil kesempatan melancarkan sedan elektrik pantas Ioniq 6 N.

Hyundai Ioniq 6 N merupakan model EV berprestasi tinggi yang kedua dihasilkan oleh pengeluar Korea Selatan itu selepas Ioniq 5 N muncul tahun 2023.

Perinciannya seperti berikut:

 

Kuasa

Ioniq 6 N dipacu dengan dua motor elektrik, dengan kuasa keseluruhan 601 hp dan 740 Nm.

Dengan fungsi N Grin Boost, kuasa itu boleh melonjak kepada 641 hp dan 770 Nm, namun dalam tempoh masa 10 saat sahaja.

Pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum menghampiri 260 km/j.

 

Casis

Menurut Hyundai, casis Ioniq 6 N ini telah diberikan tumpuan termasuklah geometri suspensi dengan satu tujuan – pengendalian yang lebih baik.

Ia juga turut mendapat unit peredam kawalan elektronik, lengkap dengan penderia yang mampu membenarkan kenderaan membuat larasan redaman berdasarkan keadaan pemanduan semasa.

Pemandu juga boleh memanfaatkan fungsi N Drift Optimizer dan N Torque Distribution untuk kawalan kuasa yang lebih mengujakan.

 

Sistem brek dan roda

Untuk memberhentikan jentera elektrik N ini, Hyundai telah memadankan angkup empat omboh dan rotor 15.7 inci di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 14.1 inci di belakang.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim bersaiz 20 inci.

Hyundai Ioniq 6 N menggunakan tayar Pirelli P-Zero 5 bersaiz 275/35R20 yang dibangunkan khas untuk model ini.

 

Aerodinamik

Berbanding model Ioniq 6 standard, Ioniq 6 N diberikan kit badan yang lebih sporti, lengkap dengan bampar yang lebih agresif dan splitter di hadapan.

Untuk aspek aerodinamik yang lebih baik, Ioniq 6 N dipadankan dengan sayap belakang leher angsa, serta fender yang lebih lebar.

 

Untuk pemandu

Tidak cukup dengan fungsi yang disebutkan tadi, Ioniq 6 N turut menampilkan sistem N e-shift yang dinaiktaraf untuk mengurangkan kesan kehilangan prestasi, serta kualiti bunyi yang lebih baik.

Terdapat juga sistem lampu N Ambient Shift Light yang akan disegerakkan dengan sistem pencahayaan ambien apabila ‘penukaran gear’ dibuat.

Akhir sekali, fungsi N Active Sound+ yang menawarkan tiga pilihan unik, iaitu “Ignition” yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, bunyi EV nostalgia “Evolution” dan tema futuristik “Lightspeed”.

 

Berapa jauh boleh pandu?

Hyundai Ioniq 6 N dipadankan dengan pek bateri 84 kWh, menawarkan jarak gerak sehingga 468 km untuk sekali cas penuh berdasarkan data WLTP.

Sebagai perbandingan, Ioniq 5 N boleh bergerak sejauh 356 km menggunakan tetapan bateri yang serupa.

 

Pilihan warna

EV berkuasa tinggi ini boleh dilayangkan dengan pilihan warna Performance Blue Pearl, Abyss Black Pearl, Serenity White Pearl, Nocturne Gray Metallic, Nocturne Gray Matte dan Gravity Gold Matte.