Arkib Tag: Honda Thanks Day

Honda RS-X Winner Tricolor Edition 2025 – 800 unit, hadir dengan aksesori RCB, harga RM10,298

Boon Siew Honda melancarkan model kapcai RS-X Winner dengan liveri ikonik Honda Tricolor untuk pasaran tempatan bersempena acara Honda Thanks Day baru-baru ini.

Terhad kepada 800 unit sahaja, RS-X Winner Tricolor Edition hadir dengan aksesori RCB seperti berikut:

  • RCB Brake Caliper S-26 Series (30th Anniversary Edition)
  • RCB Handle Grip Nagamaki
  • RCB Lever Guard

 

Setiap pembelian model edisi terhad ini didatangkan dengan jaminan pengeluar dua-tahun atau had perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), serta jaminan tambahan satu tahun tanpa had perbatuan di bawah kempen Honda X-tend.

Spesifikasi asas masih lagi sama, di mana ia kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.2 cc menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.6 Nm @ 7,000 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac Assist & Slipper.

RS-X Winner menggunakan tetapan fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan sistem cakera hidraulik yang dibantu dengan ABS saluran tunggal.

Tangki bahan api adalah sebesar 4.5 liter sementara tinggi pelana pula 795 mm.

Harga jualan bermula dari RM10,298 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

BSH turut menawarkan warna-warna standard seperti Green, Matte Gray dan Blue dengan harga jualan bermula dari RM9,998, atau warna istimewa Yellow dengan harga jualan RM10,298.