Arkib Tag: Honda Stepwgn

DAMD Resonator suntik elemen van Amerika pada Honda Stepwgn

Ada beberapa projek kit badan baharu yang akan dipamerkan oleh pengeluar kit badan terkemuka DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 pada bulan ini.

Salah satu yang mencuri tumpuan kami ialah kit badan Renonator yang mampu mengubah minivan Honda Stepwgn menjadi sebuah van gaya Amerika.

Imej asli Stepwgn yang minimalis itu telah digantikan dengan muka depan yang lebih bergaya, dimulakan dengan menggantikan lampu utama kepada lampu halogen empat segi bertindih, serta lampu membelok yang diasingkan.

Struktur jeriji juga lebih besar, diikuti dengan penutup hud yang lebih rata dan struktur tambahan bampar depan yang sengaja tidak dicat.

Unsur retro pada Renonator ini dikuatkan lagi dengan kehadiran decal kayu pada bahagian sisi, rim cakera krom Dean Cross Country serta lampu posisi amber pada bahagian bumbung.

Keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan tayar Toyo Tires Open Country A/T.

Menariknya, DAMD mendakwa kit ini boleh dipasang tanpa pengubahsuaian yang besar, dan masih mengekalkan emblem asal Honda yang lengkap dengan penderia ADAS.

Anda juga boleh melihat minivan gaya Amerika ini dengan lebih dekat di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 yang bakal berlangsung pada bulan ini.

Honda Stepwgn sambut ulang tahun yang ke-30 di Jepun dengan edisi istimewa

Tahukah anda, generasi pertama minivan Honda Stepwgn diperkenalkan secara rasmi pada Mei 1996 dengan reka bentuk yang ringkas bertujuan untuk memaksimumkan praktikaliti.

Setelah lima generasi, generasi keenam Stepwgn akhirnya kembali mengguna pakai konfigurasi rekaan dua-kotak dengan rekaan yang lebih minimalis dan ruang kabin paling luas.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun Stepwgn yang ke-30 pada tahun depan, Honda Jepun mengumumkan model Stepwgn edisi istimewa yang boleh didapati dalam dua varian, iaitu AIR EX dan SPADA.

Kedua-dua varian AIR EX dan SPADA mendapat ciri seperti:

  • sistem kamera pelbagai pandangan
  • sistem sokongan keluar
  • lampu kabin LED
  • ciri pemanas tempat duduk baris kedua
  • bantuan suluhan adaptif
  • tag ulang tahun ke-30 Stepwgn
  • emblem ulang tahun ke-30

Perbezaan antara kedua-dua varian adalah seperti berikut:

 

AIR EX

  • upholsteri fabrik dengan warna lebih cerah
  • pilihan warna Fjord Mist Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Seabed Blue Pearl
  • harga dari 4,098,600 yen (RM106,678)

 

SPADA

  • upholsteri kulit
  • pilihan warna Twilight Mist Black Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Premium Crystal Garnet Metallic
  • harga dari 4,159,100 yen (RM108,253)

Dari segi kuasa, Honda Stepwgn 2026 ini dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang terdiri daripada enjin 2.0L i-VTEC (143 hp/175 Nm) dipadankan dengan dua motor elektrik (181 hp/315 Nm).

Kuasa keseluruhan mencecah 212 hp dan 315 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT dan sistem pacuan roda depan.

Untuk info, Honda Stepwgn e:HEV sudah pun memasuki pasaran negara jiran Thailand dengan harga anggaran bermula dari 1.7 juta Baht (RM222 ribu).