Arkib Tag: honda nsx

Miliki NSX? Honda Heritage Works tawar alat ganti dan baik pulih!

Honda mengumumkan pelancaran perkhidmatan warisan terbaharu, Honda Heritage Works, yang akan bermula pada 1 April 2026.

Program ini bertujuan untuk membekalkan semula alat ganti yang dihentikan pengeluarannya untuk model kereta sport lama di peringkat global dan pada masa yang sama menawarkan perkhidmatan baik pulih (restorasi) yang komprehensif di Jepun.

Perkhidmatan ini direka untuk pelanggan yang berhasrat untuk terus memandu dan mengekalkan kenderaan kesayangan mereka dalam jangka masa panjang.

Model sasaran awal adalah NSX generasi pertama, dengan rancangan untuk memperluas liputan kepada model kereta sport lama yang lain pada masa hadapan.

Program Honda Heritage Works

Honda Heritage Works adalah program umum untuk pembekalan alat ganti tulen yang dikeluarkan semula dan perkhidmatan pemulihan.

Program ini terdiri daripada dua skop utama:

  • Honda Heritage Parts: Pembekalan alat ganti tulen yang dikeluarkan semula.
  • Honda Restoration Service : Perkhidmatan pemulihan baharu yang menggunakan alat ganti yang dikeluarkan semula.

Honda menyediakan laman web rasmi Honda Heritage Works sebagai rujukan dan maklumat terperinci seperti harga dan perkhidmatan akan didedahkan secara berperingkat.

Honda Heritage Parts: Pengeluaran Semula Alat Ganti

Sebelum ini, Honda membekalkan alat ganti tulen untuk pembaikan bagi kenderaan yang telah tamat pengeluaran untuk tempoh masa tertentu. Namun, bagi kenderaan berusia, ketersediaan alat ganti menjadi semakin sukar.

Untuk mengatasi masalah ini, Honda menjalin kerjasama baharu dengan rakan niaga dan memanfaatkan kemajuan teknologi, termasuk penggunaan bahan serta kaedah pengeluaran baharu.

Alat ganti yang sebelum ini dihentikan penjualannya kini dibangunkan dan dikeluarkan semula.

Kategori Alat Ganti dan Kaedah Pengeluaran Semula

Honda Heritage Parts terbahagi kepada dua kategori:

  • Alat Ganti Setara Tulen: Pengeluaran Semula menggunakan bahan dan kaedah baharu.
  • Alat Ganti Pengeluaran Semula Tulen: Pengeluaran semula menggunakan bahan dan kaedah yang sama seperti pada waktu pengeluaran asal.

Tidak terhad kepada Jepun, kedua-dua kategori alat ganti ini akan dibekalkan secara global.

Senarai alat ganti akan dipaparkan dan dikemas kini secara berperingkat di laman web rasmi Honda Heritage Works.

Buat pengguna di Jepun, alat ganti boleh ditempah melalui pengedar Honda Cars dengan penerimaan tempahan dijadual bermula April 2026 serentak dengan pelancaran perkhidmatan.

Honda Restoration Service: Baik Pulih Menyeluruh

Honda Restoration Service adalah pembaharuan kepada perkhidmatan NSX Refresh Plan sejak tahun 1993 sebelum penerimaan permohonan tamat pada akhir Ogos 2025.

Perkhidmatan baharu ini akan menggunakan Honda Heritage Parts untuk memulihkan semula prestasi, tekstur dan ciri asal kenderaan.

Sejajar dengan pembaharuan ini, fasiliti kerja-kerja baik pulih di Takanezawa, Tochigi (tempat pengeluaran NSX generasi pertama) akan dinamakan semula daripada Refresh Center kepada Honda Heritage Works Takanezawa.

Ini bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan baik pulih yang tulen dan hanya boleh dilaksanakan oleh Honda.

Perkhidmatan Baik Pulih

Perkhidmatan ini terbahagi kepada dua jenis:

  • Asas: Merangkumi perkakasan berkaitan prestasi pemanduan yang popular, seperti enjin dan suspensi.
  • Menyeluruh: Merangkumi semua kerja baik pulih Asas, ditambah dengan baik pulih luaran dan dalaman yang lebih terperinci dan menyeluruh berdasarkan keadaan kenderaan.

Skop Kerja Baik Pulih

Penggantian Alat Ganti, Pembersihan, dan Pemeriksaan Dalaman: Setiap bahagian selepas mengeluarkan enjin dari casis.

  • Baik Pulih Asas: Ya
  • Baik Pulih Menyeluruh: Ya

Penggantian Alat Ganti Berkaitan Suspensi.

  • Baik Pulih Asas: Ya
  • Baik Pulih Menyeluruh: Ya

Penggantian dan Pelarasan Alat Ganti yang Merosot Akibat Penuaan: Contohnya di bukaan pintu.

  • Baik Pulih Asas: Ya
  • Baik Pulih Menyeluruh: Ya

Baik Pulih Luaran: Pengecatan semula sepenuhnya selepas ditanggalkan hingga casis putih (white body).

  • Baik Pulih Asas: Pilihan
  • Baik Pulih Menyeluruh: Ya

Baik Pulih Dalaman: Penggantian pelapis kerusi, panel instrumen, door lining, dan sistem operasi.

  • Baik Pulih Asas: Pilihan
  • Baik Pulih Menyeluruh: Ya

Permohonan untuk model NSX generasi pertama (model NA1-100) akan mula diterima melalui Honda Cars di seluruh negara pada awal Januari 2026, dengan kerja-kerja baik pulih dijadualkan bermula pada bulan April.

Butiran terperinci mengenai kaedah permohonan dan harga akan diumumkan di laman web rasmi Honda Heritage Works pada awal Januari.

Honda hidupkan kembali NSX generasi pertama?

Ini merupakan satu berita baik buat para peminat supercar klasik buatan Jepun.

Pininfarina (yang sebelum ini menghasilkan model konsep NSX HP-X) mengumumkan kerjasama dengan JAS Motorsport untuk menghidupkan semula NSX era 1990-an yang asal.

Projek restomod ini akan menggunakan casis original, namun pihak Pininfarina akan menghasilkan panel badan gentian karbon yang direka khas.

Yang pasti, ia akan mengikut kembali rekaan asal NSX yang sangat digemari ramai itu.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, NSX restomod itu masih lagi mengekalkan binaan lampu pop-up yang ikonik, namun diserikan dengan unit pencahayaan LED yang lebih moden.

NSX ini boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) atau kiri (LHD).

Enjin bentangan V6 3.0 liter aspirasi semula jadi (NA) akan dikekalkan, namun dengan talaan yang lebih berkuasa dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Menurut JAS, projek NSX restomod ini akan ditawarkan dalam unit yang cukup terhad – bermakna harga jualan yang jauh lebih mahal berbanding model NSX terpakai.

Biarpun telah lama ditamatkan produksi, generasi pertama Honda NSX masih lagi mempunyai bilangan pengikut yang cukup besar di seluruh dunia (dan harga yang masih lagi liat untuk turun).

 

EV Honda bakal tampilkan bunyi enjin kereta ikonik S2000, NSX, serta HondaJet!

Pemanduan sesebuah kenderaan elektrik (EV) yang terlalu senyap dan lancar tanpa sebarang gegaran mekanikal itu mungkin tidak sesuai untuk semua orang, lebih-lebih lagi mereka yang berjiwa olskool.

Jadi, Honda mahu memastikan model EV mereka akan datang mempunyai ciri dan pengalaman pemanduan yang unik.

Bertempat di 0 Tech Meeting 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Honda memperlihatkan konsep pemanduan bersimulasi yang mampu meniru karakteristik model-model ikonik berprestasi tinggi jenama itu.

Antaranya ialah generasi pertama Honda NSX, hot hatch Civic Type R, roadster S2000, jentera F1, Honda CRX serta tidak ketinggalan jet peribadi HondaJet!

Selain memaparkan panel meter mengikut tema jentera yang dipilih, sistem Honda e Digital UX Concept ini boleh mensimulasikan not enjin model-model yang disebutkan tadi.

Peminat deruman enjin VTEC yang nyaring pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba ciri ini apabila ia ditawarkan kelak.

Honda juga akan menggunakan sistem gegaran dalam kabin untuk menghasilkan pengalaman pemanduan seakan kereta berenjin pembakaran dalaman.

Menurut laman The Drive, selain daripada paparan tema meter panel dan runut bunyi enjin, Honda juga sedang bereksperimen untuk menawarkan pengalaman yang lebih menyeluruh, termasuklah memperkenalkan talaan yang berbeza pada roda stereng, pemetaan pedal pendikit serta ketinggian sistem suspensi.

Tidak ketinggalan, ciri penukaran gear bersimulasi menggunakan paddle shifter seperti yang telah wujud pada model Hyundai Ioniq 5 N.

Saksikan kereta kawalan radio (RC) drag race dengan Honda NSX dan F1 Red Bull, boleh menang?

DRAG race sudah menjadi kebiasaan di siaran Youtube Carwow, mereka telah menggandingkan bermacam jenis kenderaan. Antaranya trak pikap, lori, malah jentera Formula Satu. Jadi apa pula selepas ini?

Terbaharu, mereka meletakkan sebuah Honda NSX dan jentera Formula 1 di garisan permulaan. Tetapi kali ini ada pencabar ketiga, dan saiznya sangat kecil. Ya, kerana ia sebuah kereta kawalan radio (RC).

Sudah tentu bukan kereta RC sebarangan untuk berlumba dengan F1 dan supercar. Sebaliknya ianya adalah Arrma Limitless, iaitu kereta RC yang dikatakan memegang rekod kelajuan tertinggi di dunia. Dengan modifikasi tertentu, video-video di Youtube menunjukkan Limitless mampu mencapai kelajuan melebih 220km/j.

Sebelum berlumba, mari kita lihatkan sedikit spesifikasi ringkas dan angka-angka penting setiap kereta.

Untuk Honda NSX, di belakang kabinnya terdapat enjin 3.5-liter twin-turbo V6 berserta tiga motor elektrik (dua di tayar depan, dan satu membantu enjin di belakang). Ini menjadikannya sebuah supercar pacuan semua-roda (AWD).

Gabungan enjin dan motor elektrik menjana 581hp, 645Nm tork, dan pecutan dibantu oleh Launch Control.

Jentera F1 pula merupakan Red Bull Racing RB7 dari 2011. Walaupun sudah 10 tahun, F1 ini tetap berprestasi tinggi.

Enjinnya berkapasiti 2.4-liter V8 yang mampu menghasilkan 750hp, lebih berkuasa dari NSX tadi. Malah, F1 ini juga jauh lebih ringan, dengan berat hanya sekitar 750kg. Ia juga dipandu oleh seorang lagenda iaitu David Coulthard.

Berkenaan pencabar unik kali ini, Arrma Limitless bukan sahaja sangat ringan, ia juga mempunyai motor yang sangat berkuasa, pacuan semua-roda dan stereng aktif yang akan membantu ‘pemandunya’ memastikan kereta sentiasa bergerak lurus di kelajuan tinggi.

Dari segi harga, kereta RC Arrma Limitless paling murah antara dua lagi kereta (sudah tentu), tetapi jika Limitless menang drag race ini, kira membazir lah beli supercar atau F1 mahal-mahal kan?

Oh kami tidak mahu ‘spoil’ keputusan perlumbaan ini, maka anda harus tonton sendiri untuk ketahui keputusannya.