Arkib Tag: Honda N-VAN e:

Kei car elektrik Honda N-One e: debut, boleh gerak sejauh 270 km

Memperkenalkan, kereta elektrik Honda yang paling kecil pernah dihasilkan, iaitu Honda N-One e:.

Dengan dimensinya yang berada di dalam kelas kei car, ia sekaligus menggantikan Honda e yang telah ditamatkan produksi pada Januari tahun lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu:

 

1. Kei car elektrik kedua Honda

Ia bukanlah kereta elektrik saiz ultra kompak yang pertama, memandangkan Honda sebelum ini telah melancarkan EV komersial N-Van e: pada tahun lepas.

Spesifikasi N-One e: dijangka mengikut apa yang ditawarkan pada N-Van e:, seperti motor elektrik tunggal memacu roda hadapan (64 hp).

 

2. Jarak gerak

Dengan pek bateri 29.6 kWh, N-Van e: boleh bergerak sejauh 245 km, namun bila dipadankan pada N-One e: ia mampu bergerak sejauh lebih 270 km berdasarkan data WLTC.

N-Van e: juga turut menyokong pengecasan pantas DC 50 kW, di mana bateri boleh dicas dalam tempoh 30 minit, atau 4.5 jam menggunakan pengecasan AC 6.0 kW.

 

3. Imbau kembali kereta era 60-an Honda

Honda menggunakan pendekatan e:Daily Partner pada N-One e: yang menawarkan rekaan luar yang menarik, serta ruang kabin yang luas.

N-One e: juga menawarkan manfaat pemanduan yang mudah untuk dikendalikan – mengimbau kembali ciri yang wujud pada kereta kei klasik Honda N360 era 60-an dan 70-an.

 

4. Ruang kabin

Ruang kabin N-One e: menggunakan pendekatan Man Maximum Machine Minimum yang nampak minimalis.

Ia hadir dengan skrin kluster LCD, skrin tengah sembilan inci, slot pengecasan USB, butang pemilihan PRND dan kawalan iklim di tengah, serta roda stereng dua jejari yang sama seperti model N-Van e:.

Aspek praktikaliti disumbangkan oleh kehadiran dulang kecil pada papan pemuka, ruang meletak cawan pada bahagian pemandu dan konsol tengah, serta tempat duduk baris belakang yang boleh dilipat mengikut keperluan.

 

5. Varian

Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk pasaran Jepun, iaitu e: L yang lebih lengkap dengan varian asas e: G.

Secara standard, kedua-dua varian hadir dengan lampu LED depan dan belakang, serta sistem ADAS (lengkap dengan kamera),

Varian asas e: G pula didatangkan dengan rim keluli 14 inci yang lengkap dengan penutup hab.

Untuk ruang kabin pula, nampak lebih minimalis kerana ia hanya didatangkan dengan sistem audio yang ringkas lengkap dengan sokongan Bluetooth.

Varian e: L pula dilengkapi dengan rim aluminium enam jejari saiz 14 inci yang lebih sporti, serta ruang kabin yang lengkap dengan skrin infohibur yang disebutkan pada poin nombor 4.

 

6. Aksesori Honda Access

Seperti biasa, tidak lengkap penawaran sesebuah kereta Honda tanpa barisan aksesori yang meluas.

Honda Access menawarkan kit penyesuai V2L yang menawarkan kuasa sehingga 1,500W untuk kegunaan kecemasan.

Terdapat juga modul lampu indikasi pengecasan disediakan supaya pemilik dapat melihat tahap pengecasan bateri dari luar walaupun kereta sudah dikunci.

Pakej Premium Style pula menambah hiasan jalur perlumbaan pada bonet, pintu belakang, bahagian sisi kereta serta jeriji hadapan.

 

7. Jualan

Honda Jepun akan memulakan penjualan N-One e: bermula September ini.

Menariknya, kei car ini juga akan debut secara rasmi di pasaran Eropah pada acara IAA di Munich pada bulan yang sama.

 

Honda N-One e: G (sumber CarWatch JP)

 

Aksesori Honda Access

 

Honda N-VAN e: mula dijual di Jepun Oktober ini, jarak 245 km, dari RM73 ribu

Di Jepun, Honda N-VAN merupakan antara kenderaan komersial ringan yang sangat popular, disebabkan pakej praktikaliti dan verstatiliti yang ditawarkan secara standard.

Selain daripada versi petrol, pembeli di sana juga kini boleh mendapatkan varian berkuasa elektrik yang digelar sebagai N-VAN e:, di mana model ini akan dijual bermula 10 Oktober nanti.

Berikut merupakan perincian ringkas spesifikasi N-VAN e: untuk pasaran Jepun:

 

1. Empat varian

 

N-VAN e: boleh didapati dalam empat varian utama, iaitu e: L4, e: FUN, e: G dan e: L2 yang mampu memenuhi pelbagai keperluan daripada sektor komersial hinggalah kepada kegunaan peribadi.

 

 

e: L4 merupakan varian aras mula dengan tetapan empat tempat duduk, dan kapasiti ruang kargo yang menyamai apa yang ditawarkan pada N-VAN versi petrol, serta dilengkapi dengan skrin LCD sebesar tujuh inci.

e: FUN pula secara asasnya merupakan versi L4 dengan penawaran warna luaran dan dalaman yang lebih ceria. Selain daripada lampu LED, e:FUN turut didatangkan dengan keupayaan pengecasan pantas.

 

 

e: G direka untuk keperluan komersial, di mana hanya ada satu tempat duduk sahaja ditawarkan. Ia menawarkan ruang kargo yang jauh lebih besar dengan lantai direndahkan sebanyak 120 mm dan panjang bertambah sebanyak 95 mm.

e: L2 membawakan konfigurasi tempat duduk tandem, di mana hanya ada satu penumpang yang boleh duduk di belakang pemandu. Ia juga masih lagi mampu menawarkan ruang kargo yang cukup besar, dibantu dengan bukaan pintu gelangsar yang besar tanpa kehadiran tiang B.

 

2. Motor elektrik tunggal

 

Kesemua varian N-VAN e: dibekalkan dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan.

Sayang sekali, angka kuasa kuda dan daya kilas tidak didedahkan secara rasmi.

3. Jarak gerak 245 km

Secara standard, N-VAN e: mempunyai pek bateri yang diletakkan di bawah lantai, dengan kapasiti 29.6 kWh.

Ia menawarkan jarak gerak sejauh 245 km untuk sekali cas penuh (data WLTC), memadai untuk kegunaan penghantaran barang di dalam kawasan bandar.

 

4. Pengecasan pantas

Menariknya, N-VAN e: turut menyokong fungsi pengecasan pantas sehingga 50 kW, di mana bateri boleh dicas penuh dalam tempoh 30 minit sahaja.

Pengecasan AC 6.0 kW pula membolehkan bateri dicas penuh dalam tempoh 4.5 jam sahaja.

N-VAN e: turut mempunyai sistem pemanasan dan penyejukan bateri yang tersendiri bagi mengelakkan prestasi bateri merudum disebabkan perubahan suhu yang mendadak.

 

5. Sistem keselamatan

 

Untuk varian e: G dan e: L2, Honda melengkapkannya dengan ciri keselamatan seperti Sistem Brek Pengelakan Pelanggaran (CMBS), Sistem Stereng Pengelakan Pelanggaran Pejalan Kaki, Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDM), lampu suluhan tinggi automatik dan penderia parkir belakang.

Varian e: L4 dan e: FUN pula mendapat tambahan ciri seperti Kawalan Pendikit Mitigasi Pelanggaran depan dan belakang, Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan, Pengesanan Papan Tanda Trafik, serta penderia parkir hadapan.

 

6. Harga dari RM73 ribu

 

N-VAN e: akan dijual di pasaran Jepun bermula Oktober nanti, dengan harga jualan bermula dari JPY 2,439,800 (RM73,122) hingga JPY 2,919,400 (RM87,496) untuk varian e: FUN.