Arkib Tag: Honda EV Fun Concept

Honda WN7 debut di Eropah, jarak gerak lebih 130 km

Kira-kira setahun selepas model “EV Fun Concept” diperlihatkan di EICMA 2024, Honda akhirnya secara rasmi mengumumkan model produksi sebenar WN7 untuk pasaran Eropah.

Honda WN7 merupakan sebuah motosikal berkuasa elektrik yang dibangun berdasarkan pengalaman dan kepakaran Honda dalam arena motosikal selama 75 tahun.

Jentera naked berkuasa elektrik ini dinamakan bersempena dengan tema konsep “Be the Wind”, N untuk “Naked” dan 7 yang menandakan kelas output.

Tanpa mendedahkan spesifikasi rasmi, Honda mendakwa WN7 mampu menghamburkan prestasi kuasa kuda yang menyamai model bersesaran 600 cc, serta daya kilas menyamai model bersesaran 1,000 cc.

Dengan bateri lithium-ion, WN7 mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh lebih 130 km untuk sekali cas penuh.

Selain itu, WN7 turut hadir dengan port CCS2 yang membolehkan pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 30 minit.

Sayang sekali, unit bateri yang dibekalkan ini adalah jenis kekal, dan tidak boleh digantikan seperti pek bateri mudah alih Honda Mobile Power Pack e: yang digunakan pada beberapa model skuter elektrik.

Dari segi penampilan, WN7 banyak mengekalkan elemen rekaan yang wujud pada model EV Fun Concept.

Namun, terdapat beberapa perubahan seperti kehadiran pelana yang tampak lebih selesa, padanan lampu isyarat membelok dan tempat meletak nombor pendaftaran di belakang.

Dengan adanya skrin TFT lima inci, pemilik boleh menghubungkan jentera ini dengan peranti pintar menerusi aplikasi Honda RodSync.

 

Honda EV Fun Concept

Boon Siew Honda pamer dua konsep motosikal elektrik di Malaysia Autoshow 2025

Selain daripada mempamerkan barisan model terkini, Boon Siew Honda turut mempertontonkan dua buah motosikal konsep di Malaysia Autoshow 2025.

Model yang dimaksudkan itu ialah Honda EV Fun Concept, sebuah jentera naked berkuasa elektrik dan skuter maxi elektrik Honda EV Urban Concept.

Kedua-dua model ini telah pun dipamerkan di acara pameran motosikal antarabangsa EICMA bertempat di Milan, Itali pada bulan November tahun lepas.

 

Honda EV Fun Concept

Ia disifatkan sebagai motosikal sports, menawarkan pengalaman tunggangan yang beremosi dan dalam masa yang sama, senyap!

Jentera naked ini membawakan binaan kerangka badan yang ramping untuk tunggangan yang lebih lincah. Kehadiran sirip pada bahagian kiri dan kanan juga dilihat menyumbang kepada aspek pengendalian yang lebih baik.

Penggunaan trenkuasa elektrik pula melenyapkan unsur gegaran dan haba yang kerap menghantui penunggang motosikal.

Sistem bateri kekal dan pengecasan serasi CCS2 pula menawarkan pengalaman penggunaan yang tidak asing untuk pemilik EV sedia ada.

Menurut Honda, EV Fun Concept ini menawarkan jarak tunggangan melebihi 100 km, selain menyokong pengecasan pantas 30 minit untuk bateri mencapai 80 peratus SoC.

Honda EV Fun Concept ini dijadualkan penjualannya pada tahun 2025.

 

Honda EV Urban Concept

Ini pula sebuah skuter maxi berkuasa elektrik yang menggambarkan visi Honda terhadap mobiliti elektrik urban yang sebenar.

Sama seperti Fun Concept, EV Urban Concept ini memiliki binaan badan yang ramping, namun dengan perkadaran yang lebih muskular terima kasih kepada penggunaan rim 15 inci depan dan 16 inci di belakang, serta tayar yang lebar.

Ia juga turut mempunyai struktur penghadang angin, cermin sisi pada penghujung bar hendal, kemasan warna tembaga, dan sistem pacuan akhir menggunakan tali sawat.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian spesifikasi mahupun tarikh pelancaran diumumkan oleh pihak Honda.