Arkib Tag: Honda CB1000F

Honda CB1000F 2026 didedahkan secara rasmi di Eropah

Honda meneruskan kesinambungan keluarga ‘CB’ dengan melancarkan model baharu CB1000F untuk tahun 2026.

Menggunakan platform CB1000 Hornet sebagai asas, CB1000F turut dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1,000 cc yang telah ditala semula untuk tunggangan yang lebih bertenaga pada julat rendah dan pertengahan.

Ia kini mampu menjana kuasa setinggi 122 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 103 Nm @ 8,000 rpm.

Nisbah kotak gear juga telah disemak semula, diikuti dengan penggunaan klac assist/slipper untuk tunggangan yang lebih santai.

Suspensi CB1000F terdiri daripada fork Showa SFF-BP jenis terbalik (USD) 41 mm di depan, dibantu dengan suspensi Pro-Link di bahagian belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan roda 130 mm dan 140 mm.

Roadster retro ini juga turut dilengkapi sistem brek Nissin terdiri daripada angkup brek empat omboh berserta rotor berkembar 310 mm di depan, diikuti dengan angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Melengkapi gaya retro moden jentera ini ialah padanan tabung ekzos gaya klasik, rim aluminium bersaiz 17 inci, serta sistem lampu LED depan dan belakang.

Secara standard, CB1000F hadir dengan sistem ABS dua saluran, dibantu dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, sistem throttle-by-wire (TBW), mod tunggangan (Standard, Rain & Sport), kawalan Wheelie, serta HSTC.

Penunggang boleh membaca informasi penting menerusi skrin paparan TFT bersaiz lima inci yang boleh disambungkan kepada aplikasi RoadSync.

Kapasiti tangki bahan api sebesar 16 liter, sementara pelana pula adalah setinggi 795 mm.

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Honda CB1000F, iaitu Wolf Silver Metallic dengan jalur biru, Wolf Silver Metallic dengan jalur kelabu dan warna Graphite Black.

Pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai jenis aksesori termasuklah tempat duduk yang lebih selesa, pelindung enjin, perumah lampu, sistem penukaran gear pantas, jeriji radiator, beg tangki 3 liter serta beg lembut kiri dan kanan masing-masing berkapasiti 10 liter.

 

Honda CB1000F Concept muncul di Osaka Motorcycle Show 2025

Bertempat di acara pameran Osaka Motorcycle Show 2025 yang ke-41 di INTEX Osaka, Honda memperlihatkan model CB1000F Concept buat kali pertama.

Biarpun masih lagi menggunakan nama konsep, reka bentuk Honda CB1000F ini menampakkan ia sudah sedia untuk diproduksikan secara besar-besaran.

Malah, ia juga turut mengingatkan kita kepada rekaan model CB-F Concept yang diperlihatkan lima tahun lalu.

Namun tidak seperti CB-F yang dibina berdasarkan platform CB1000R, CB1000F ini berkongsi pelantar yang sama digunakan oleh CB1000 Hornet.

Bezanya? CB1000F menggunakan kerangka jenis keluli serta lengan ayun berkembar berbanding CB-F yang menggunakan kerangka aluminium dan lengan ayun tunggal.

Selain itu, CB1000F dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris berkuasa 150 hp berdasarkan jentera Fireblade, diikuti dengan fork hadapan Showa SFF-BP dan brek Nissin yang sama digunakan oleh model Hornet.

Honda CB1000F juga mendapat subrangka baharu untuk disesuaikan dengan perkadaran retro, diikuti dengan set peredam ekzos besar berwarna krom.

Biarpun berpegang dengan konsep retro, Honda CB1000F turut mendapat ciri moden seperti penyerap hentak tunggal di belakang, fork jenis terbalik, brek radial, lampu LED serta skrin paparan TFT.

Honda CB1000F apabila diproduksikan kelak mampu memberikan saingan hebat kepada barisan jentera neo-retro yang wujud di pasaran, seperti Kawasaki Z900RS dan Yamaha XSR900.