Arkib Tag: Hilux

Toyota Hilux Revo GR Sport dengan penampilan lebih garang dan sporti, untuk Thailand sahaja

TOYOTA dilihat semakin aktif memperkembangkan barisan model GR Sport mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di Malaysia, syarikat itu membuka langkah dengan melancarkan Vios GR Sport pada Disember 2020.

Dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia, sedan kompak itu tampil dengan beberapa penambahbaikan seperti kit badan sporty dan sistem suspensi yang ditala semula.

Sementara itu, Thailand pula mendapat model GR Sport pertama mereka iaitu Corolla Altis GR Sport setahun lebih awal. Kini, tiba giliran Hilux Revo GR Sport pula menerjah pasaran trak pikap negara itu.

Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 4WD Hi-Floor yang berasaskan Hilux Revo Rocco (dikenali sebagai Rogue di Malaysia) dan 2WD Lo-Floor yang berasaskan Hilux Revo Z-Edition. Masing-masing mempunyai penampilan dan karakter yang tersendiri.

Untuk bahagian luaran, varian Hi-Floor mendapat satu elemen visual yang ‘dipinjam’ daripada Land Cruiser iaitu tulisan ‘TOYOTA’ di tengah-tengah gril. Kemasan hitam di sekeliling gril dan badan kini didatangkan dalam warna yang sama dengan warna badan, manakala bahagian sisi dan tailgate dihiasi dengan grafik GR Sport.

Di belakang pula, terdapat sport bar berwarna hitam metalik yang didatangkan lengkap dengan lampu LED. Imej agresif trak ini dilengkapkan lagi menerusi kehadiran logo-logo GR pada gril, dapra hadapan dan tailgate, serta rim aloi GR Sport berukuran 18 inci.

Sementara itu, penampilan varian Lo-Floor pula diinspirasikan oleh kereta lumba Super GT. Ini boleh dilihat dengan jelas menerusi penggunaan kit badan yang lebih sporty dengan penambahan lip dan lubang ambilan udara pada bampar hadapan, serta diffuser pada bampar belakang.

Seperti varian Hi-Floor, ia juga mempunyai grafik GR Sport pada bahagian bawah pintu (walaupun dalam rekaan berlainan), antena sirip jerung, cermin sisi berwarna hitam dan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR. Bagaimanapun, ukuran rimnya lebih kecil iaitu 17 inci.

Suasana ruang dalaman bagi kedua-dua varian juga telah diberi nafas baharu menerusi upholsteri kulit/suede yang dihiasi dengan jahitan kontras berwarna merah, trim perak dan hitam metalik pada konsol tengah serta logo GR pada perehat kepala dan stereng. Turut disertakan adalah set pedal sport, paddle shifter, serta butang penghidup enjin GR pada varian Hi-Floor.

Tanpa mengira varian, Hilux Revo GR Sport dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.8-liter empat silinder dengan kuasa berjumlah 204 PS dan 500 Nm. Tiada versi manual untuk trak sporty ini – satu-satunya pilihan kotak gear yang ditawarkan adalah automatik enam kelajuan.

Walaupun enjin tidak disentuh, casis Hilux Revo GR Sport telah dinaik taraf untuk mendapatkan prestasi pengendalian yang optimum. Bagi varian Hi-Floor, sistem suspensi SuperFlex-nya kini dipadankan dengan penyerap hentak monotube, manakala varian Lo-Floor pula dilengkapi dengan sistem suspensi yang 23 mm lebih rendah.

Menurut Toyota, ia bukan sahaja berkesan dalam mengurangkan olengan badan dan meningkatan kestabilannya di selekoh, malah memberikan trak itu imej low rider yang sangat popular di Thailand.

Harga Hilux Revo GR Sport bermula dari 1,299,000 baht (RM167,875) bagi varian Hi-Floor dan 889,000 baht (RM116,181) bagi varian Lo-Floor.

Toyota Hilux G vs Mitsubishi Triton VGT, mana lebih jimat?

“HAILAK” (Hilux) sebuah nama yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengunaan nama ini menghasilkan satu fenomena yang memberi persepsi semua trak pikap dipanggil “hailak”.

Walaupun terdapat pelbagai model dan jenama lain di pasaran, kebanyakan individu masih tetap menyebut nama “Hailak” setiap kali melihat trak pikap.

Bagaimanapun, artikel ini bukan untuk membahaskan soal nama atau penggunaan bahasa.

Di sini kami ingin melihat perbandingan dua model trak pikap yang boleh tahan terkenal di negara ini iaitu Toyota Hilux G (2.4L Automatik) dan Mitsubishi Triton VGT.

Yang mana satu lebih menjimatkan poket anda? Teruskan membaca!

Servis 1,000 kilometer pertama

Servis 1,000 kilometer pertama bagi Toyota Hilux G (2.4L Automatik) memerlukan penukaran:

  • Motor oil (Semi Syn Diesel 5L)
  • Motor oil (Semi Syn Diesel 1L)
  • Windshield Washer Fluid
  • Disinfection (Noviruclean 3471)
  • oil filter
  • Drain Plug Gasket

Kesemua 6 perkara ini memakan belanja RM306.11 sahaja.

Namun, Toyota menawarkan pakej istimewa untuk servis pertama dengan mengenakan bayaran RM296.00.

Bagaimana pula dengan Mitsubishi Triton VGT?

Servis 1,000 kilometer pertama model ini tidak memerlukan sebarang penukaran komponen.

Ia cukup sekadar pemeriksaan mekanik dengan kos RM51.94!

Servis 5,000 kilometer

Servis kedua untuk Toyota Hilux G (2.4L Automatik) lebih kurang sama dengan kali pertama.

Tetapi, hanya dua liter Motor oil (Semi Syn Diesel 1L) diperlukan sahaja. Kos yang perlu pemilik Hilux bayar adalah RM226.00 (harga dalam pakej).

Bagi Triton, tiada keperluan melakukan servis untuk 5,000 kilometer.

Servis 10,000 kilometer

Kos servis 10,000 kilometer Toyota Hilux G (2.4L Automatik) adalah RM456.00 sementara Mitsubishi Triton VGT hanya RM325.56.

Terdapat perbezaan kos sebanyak RM130.44.

Mengapa ini berlaku? Hal ini kerana Toyota Hilux G (2.4L Automatik) lebih banykan menggunakan minyak enjin.

Servis 20,000 kilometer

Toyota Hilux G (2.4L Automatik) masih mengekalkan kos servis sama.

Mitsubishi Triton VGT pula terdapat penambahan kos.

Ini kerana disebabkan oleh penukaran air cleaner, air filter, fuel filter serta Coolant SLLC Premium yang menelan kos RM648.56.

Servis 30,000 kilometer

Kedua-dua kenderaan ini kekal dengan kos dan pertukaran kompenan yang sama seperti servis 10,000 kilometer.

Servis 40,000 kilometer

Kali ini Toyota Hilux G (2.4L Automatik) dan Mitsubishi Triton VGT menerima lonjakan kos agak tinggi.

Kos servis Toyota Hilux G (2.4L Automatik) adalah RM1,096.00 manakala Mitsubishi Triton VGT RM1,067.62.

Servis 50,000 kilometer

Selepas lebih 10 kompenan ditukar dan diselenggara semasa servis 40,000 kilometer, kos bagi Toyota Hilux G (2.4L Automatik) adalah RM456.00.

Sementara kos servis Mitsubishi Triton VGT pula hanya RM325.56 sahaja.

Makanya, trak pikap mana yang lebih menjimatkan poket anda?

Tepuk dada tanya selera kerana kedua-dua model ini mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Ingin tahu lebih lanjut saksikan video Tips Kira-kira bersama Cikgu Mas’od!

Hilux rempuh Myvi, seorang wanita meninggal dunia

TINDAKAN sebuah kenderaan yang didakwa tidak mematuhi lampu isyarat mengundang padah apabila ia terlibat dalam satu kemalangan.

Walaupun berlaku pada 24 April lalu, video kemalangan itu bagaimanapun tular di media sosial hari ini.

Insiden dikatakan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Temenggong Ahmad dekat Muar, Johor.

Kemalangan meragut nyawa seorang wanita berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, anak kepada wanita terbabit dilaporkan cedera parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda (4×4) Toyota Hilux dipandu laju sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Myvi.

Pada masa sama, insiden turut melibatkan beberapa kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.