Arkib Tag: Hilux Champ

Toyota Hilux Champ Super SWB pikap paling ketot dalam barisan, tapi harga paling mahal

Toyota Hilux Champ sememangnya sudah kecil untuk sebuah trak pikap, namun varian Super Short Wheelbase (Super SWB) baharu menjadikannya lebih kompak.

Ditawarkan di pasaran Thailand, ahli terbaharu dalam keluarga trak ringkas Toyota ini direka khusus untuk pemandu yang mahukan kecekapan maksimum di jalan sempit tanpa mengorbankan praktikaliti.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Hilux Champ menonjol dengan reka bentuk modular, harga berpatutan dan sifatnya yang lasak.

Varian Super SWB ini mengekalkan ‘resepi’ tersebut dalam pakej lebih kompak, dengan ukuran panjang 4,520 mm dan jarak roda 2,580 mm, iaitu 450 mm lebih pendek berbanding varian SWB dan 780 mm lebih pendek daripada LWB.

Hasilnya ialah pengendalian yang lebih lincah dengan radius pusingan hanya 4.7 meter, lebih kecil berbanding 4.9 m dan 5.4 m pada model-model lebih panjang.

Walaupun bersaiz kompak, trak kabin tunggal ini masih menawarkan ruang kargo berukuran 1,867 mm, lebih panjang daripada kebanyakan trak pikap dwi-kabin bersaiz sederhana. Namun ia masih tidak dapat menandingi ruang sepanjang 2,647 mm pada varian LWB.

Super SWB ditawarkan hanya dalam satu spesifikasi, dikenali sebagai Attractive Package. Antara kelengkapan yang disertakan termasuk lampu utama LED, kemasan hitam pada bahagian sisi, bampar hitam, serta rim keluli 14 inci.

Bahagian dalaman pula menampilkan upholsteri fabrik hitam dihiasi jalur oren, pelarasan kerusi manual, pendingin hawa, port USB-C, dua pembesar suara, serta pelindung matahari tunggal.

Sistem keselamatan pula tidak kurang hebatnya, terdiri daripada ABS, EBD, dua beg udara dan Forward Collision Warning.

Kuasa masih datang daripada enjin 2.4 liter turbodiesel, menghasilkan 148 hp dan 343 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang memacu roda belakang.

Di Thailand, harga permulaan Hilux Champ Super SWB ialah 615,000 baht (sekitar RM80,000), menjadikannya varian paling mahal walaupun bersaiz paling kecil.

Sebagai perbandingan, harganya lebih tinggi daripada SWB biasa (602,000 baht/RM78,000), LWB asas (519,000 baht/RM67,000), malah trak ketot ini lebih mahal daripada Hilux Revo kabin tunggal biasa yang bermula pada 584,000 baht (RM76,000).

Toyota Hilux Champ dilancarkan di Thailand, trak pikap basic berharga dari RM61k

TRAK pikap Toyota IMV 0 yang dipertontonkan dalam bentuk konsep di Thailand pada Disember tahun lalu, kini telah secara rasminya dilancarkan di pasaran Thailand sebagai Hilux Champ.

Toyota Motor Thailand menawarkan lapan gred Hilux Champ untuk memenuhi pelbagai jenis gaya penggunaan dan keperluan perniagaan.

Kesemua lapan gred didatangkan dalam bentuk single cab dengan dua pintu dan dua tempat duduk. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan jarak roda pendek atau panjang, dengan ukuran panjang dari 4,970 mm hingga 5,300 mm.

Apa yang menarik, dek Hilux Champ mempunyai lubang bolt bagi membolehkan pemilik memasang aksesori kustom dengan mudah.

Toyota Motor Thailand berkata terdapat lebih 100 pengeluar aksesori yang boleh memenuhi keperluan pelanggan yang ingin mengubahsuai trak mereka.

Dari segi reka bentuk, Hilux Champ mengekalkan reka bentuk trak pikap bajet IMV 0 dengan bahagian hadapan ala Land Cruiser, rim kompang berwarna hitam dan lampu halogen (lampu LED ditawarkan sebagai opsyen).

Ruang dalamannya pula ringkas, dengan sistem pendingin hawa, dua pemegang cawan, outlet kuasa dan beberapa ruang storan. Paparan infohibur dan sistem multimedia tidak disediakan.

Untuk pasaran negara itu, Hilux Champ boleh didapati dengan tiga pilihan enjin iaitu petrol 1TR-FE 2.0-liter dengan 137 hp/183 Nm, petrol 2TR-FE 2.7-liter dengan 164 hp/245 Nm dan turbodiesel 2GD-FTV 2.4-liter dengan 148 hp/343 Nm.

Enjin 1TR-FE hanya ditawarkan dengan transmisi manual lima kelajuan, manakala dua enjin lagi boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan. Ketiga-tiga enjin adalah pacuan roda belakang, tiada varian 4WD ditawarkan buat masa ini.

Harga jualan Hilux Champ bermula dari 459,000 baht (RM61,285) hingga 577,000 baht (RM77,040). Model ini dipasang di kilang pengeluaran Toyota di Rayong.