Arkib Tag: gt

Bentley Continental GT Speed rasmi di Malaysia, harga dari RM3.12 juta

Bentley Kuala Lumpur baru-baru ini meraikan ketibaan model grand tourer (GT) yang paling berkuasa pernah dihasilkan, iaitu Bentley Continental GT Speed.

Generasi keempat Continental GT Speed ini dikuasakan oleh nadi V8 plug-in hybrid (PHEV) ‘Ultra Performance Hybrid’ yang mampu menjana kuasa keseluruhan 782 PS dan daya kilas 1,000 Nm.

Enjin V8 turbo berkembar itu sendiri berupaya menghasilkan 600 PS dan 800 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 190 PS/450 Nm yang dipasang dalam perumah transmisi untuk mengurangkan kesan turbo lag.

Secara keseluruhan, tetapan PHEV ini menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 19 peratus serta daya kilas 11 peratus lebih tinggi berbanding Continental GT Speed yang dilengkapi enjin W12.

Tiada lagi fungsi penyahaktifan silinder diperlukan, kerana sistem hibrid pada Continental GT Speed ini boleh menghentikan terus fungsi enjin ketika motor elektrik sedang beroperasi.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan, dibantu dengan pembeza gelincir terhad elektronik (eLSD).


Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 335 km/j.

Pek bateri 25.9 kWh pula membenarkan GT ini dipandu dalam mod sifar emisi sejauh 80 km pada kelajuan sehingga 140 km/j.

Continental GT Speed ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda aktif, sistem stereng semua roda, torque vectoring, Bentley Dynamic Ride dan perisian kawalan ESC generasi baharu.

Untuk memastikan jentera GT ini berhenti dengan cemerlang, Bentley memadankan sistem brek terdiri daripada angkup 10 omboh dan rotor bersaiz 420 mm di depan, diikuti angkup empat omboh dan rotor 380 mm di belakang.

Terdapat juga opsyen untuk memadankan sistem brek carbon-silicon-carbide dengan rotor bersaiz 440 mm depan dan 410 mm di belakang.

Bentley Continental GT generasi keempat ini merupakan model Bentley pertama yang menampilkan tetapan lampu utama tunggal bagi menggantikan tetapan lampu bulat berkembar.

Unit lampu matriks LED itu menampilkan 120 unit LED berasingan yang boleh dikawal secara digital untuk memaksimumkan pencahayaan.

Sementara unit lampu belakang pula mempunyai corak berlian tiga dimensi yang membawakan efek seakan lava cair apabila bernyala.

Keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim rekaan baharu saiz 22 inci yang diinspirasikan daripada harimau.

Ruang kokpit Bentley Continental GT Speed ini menyediakan tempat duduk boleh laras sehingga 20 tahap yang cukup selesa untuk perjalanan jauh, gugusan butang fungsi untuk HVAC pada konsol tengah, serta kehadiran jam analog di tengah-tengah corong pendingin hawa.

Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital, manakala di bahagian tengah pula terdapat Bentley Rotating Display yang menyediakan tiga sisi berbeza: skrin infohibur 12.3 inci, tiga dial analog atau panel kosong sekiranya anda tidak mahu pemanduan terganggu sepanjang perjalanan.

Terdapat tiga pilihan sistem audio ditawarkan untuk Continental GT:
– Standard 650W dengan 10 pembesar suara
– Bang & Olufsen 1,500W dengan 16 pembesar suara dan jeriji bercahaya
– Naim 2,200W, 18 pembesar suara, Active Bass Transducers dan sehingga lapan mod disediakan untuk golongan audiophile

Aspek keselesaan dalam kabin dipertingkatkan dengan penggunaan kaca akustik berlamina yang menawarkan sehingga 9 dB lebih senyap berbanding kaca bukan akustik.

GT Bentley ini juga turut dilengkapi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kemas kini over-the-air (OTA), sistem pencahayaan ambien, serta ciri Intelligent Park Assist.

Untuk pasaran Malaysia, Bentley Continental GT Speed dijual pada harga bermula dari RM3,120,000 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran, serta opsyen penyesuaian bersifat peribadi.

Mercedes-AMG GT 2024 kini dengan konfigurasi 2+2 dan AWD – Masih V8, 577hp

MERCEDES-AMG sebelum ini dikhabarkan sedang membangunkan SL dan GT Coupe bersama, dan ramai peminat tegar mengkritik jenama itu, katanya GT akan menjadi lebih ‘lembut’ dan tidak begitu sporti.

Tetapi mari kita lihatkan bersama. Adakah Mercedes-AMG GT masih sporti dan dinamik, atau telah menjadi semakin lembut dan selesa.

Perkenalkan Mercedes-AMG GT 2024, jentera prestasi tinggi ini telah menjadi lebih praktikal dengan tempat duduk 2+2 dan mendapat pacuan semua roda 4Matic+.

Buat masa ini, ia ditawarkan dengan varian 63 dan 55 yang dipacu enjin V8. Versi tertinggi AMG GT 63 Coupe hadir dengan 577hp dan 800Nm tork dari enjin 4.0 V8 twin-turbo, sama dengan SL63. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam 3.1 saat.

AMG GT 55 Coupe pula dipacu enjin sama, tetapi dengan output 469hp dan 700Nm, juga sama dengan SL55. Pecutan 0-100 ialah 0.7 saat lebih ‘perlahan’, iaitu 3.8 saat.

Kelajuan maksima pula adalah 315km/j untuk GT 63 dan 295km/j untuk GT 55. Kotak gear ialah automatik 9-kelajuan dengan klac jenis basah untuk mula bergerak.

Seperti disebut tadi, AMG GT kini mendapat sistem pacuan semua-roda 4Matic+ yang boleh mengagihkan kuasa antara tayar depan dengan belakang, sama ada 50:50 atau sepenuhnya ke belakang.

Ciri lain termasuklah cakera brek komposit, LSD, sistem stereng roda belakang, dan suspensi sports dengan penstabil olengan hidraulik semi-aktif bersama penyerap hentak adaptif. Suspensi ini juga menampilkan sistem lif depan yang boleh dinaikkan sehingga 30mm.

Mercedes-AMG GT akan mula dipasarkan pada suku pertama 2024 dan kami jangka ia dilancarkan di Malaysia pada suku kedua.

Mercedes-AMG SL43 dipertonton di Malaysia, kembali dengan bumbung lipat fabrik

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) membuat kejutan di acara pelancaran barisan baharu A-Class, dengan turut mempertontonkan SL generasi ketujuh baharu.

 

Hadir dalam varian Mercedes-AMG SL43, ia menggantikan SL roadster sebelum ini dengan membawakan semula bumbung lipat jenis fabrik. Kali terakhir SL mendapat bumbung fabrik adalah pada tahun 90an.

Generasi baharu SL secara global mempunyai varian SL43, SL55, dan SL63. Varian lebih tinggi (SL55 dan SL63) dikuasakan enjin 4.0-liter turbo V8 tetapi unit SL43 yang anda lihat ini menggunakan enjin M139 2.0-liter 4-silinder dengan pacuan roda-belakang.

Walaupun hanya separuh bilangan silinder berbanding V8, enjin pada SL43 tetap menghasilkan 375hp dan 480Nm tork. Output ini adalah hasil dari enjin yang dibantu oleh sistem mild hybrid 48volt yang mampu membekalkan 13hp atau 10kW dalam situasi yang memerlukan.

Dengan kotak gear AMG Speedshift MCT 9G 9-kelajuan, SL43 mampu memecut ke 100km/j dalam masa 4.9 saat, manakala kelajuan maksima ialah 275km/j. Berkenaan bumbung fabrik, ianya boleh dibuka/ditutup dalam masa 15 saat, pada kelajuan sehingga 60km/j.

Dari segi kelengkapan lain, SL43 dilengkapi ciri-ciri berikut:

  • Sistem brek AMG
  • AMG Real Performance Sound
  • AMG Exterior Chrome Package
  • Rim aloi 21-inci AMG 10-bilah
  • Lampu Digital Light dengan Adaptive High-beam Assist Plus
  • Balutan kulit Nappa
  • Lampu ambien
  • Airscarf
  • Mercedes-Benz User Experience (MBUX) generasi baharu
  • Sistem audio Burmester
  • Driving Assistance Package, Active Parking Assist, Parking Package

Mercedes-AMG SL43 bakal dijual dengan harga anggaran RM1,000,000.

Maserati Grecale GT pesaing Porsche Macan kini dengan sistem hibrid, dari RM598k

MASERATI Grecale GT Hybrid hari ini tiba secara rasmi di Malaysia, dibawa masuk oleh Naza Italia. Ianya merupakan varian hibrid untuk SUV premium kompak itu yang mula dilancarkan di peringkat global tahun lepas.

Untuk pengetahuan, nama Grecale mengambil inspirasi dari nama angin kuat Timur Laut di Mediterranean, dan model ini berada di bawah Levante. Grecale juga disasarkan kepada SUV premium seperti Porsche Macan.

Satu aspek utama sebuah Maserati ialah enjinnya, Grecale mempunyai tiga pilihan enjin seluruh dunia. Untuk pasaran Malaysia, Grecale GT dikuasakan oleh unit 2.0-liter 4-silinder turbo petrol yang mampu menghasilkan 296hp dan 450Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan sistem hibrid 48volt dengan Belt Starter Generator (BSG), eBooster dan juga pengubah DC/DC. BSG berfungsi sebagai alternator bagi mengecaj bateri yang akan membekalkan kuasa kepada eBooster, membantu enjin sebelum turbo spool.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan, membolehkan Grecale GT Hybrid memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 5.6 saat, serta mencapai kelajuan maksima 240km/j.

SUV ini dibekalkan dengan empat mod pemanduan – Comfort, GT, Sport dan Off-Road. Terdapat juga Vehicle Dynamic Control Mode (VDCM) yang merupakan evolusi dari Chassis Domain Control Module (CDCM) dari supercar MC20.

Dari segi rupa, Grecale GT Hybrid mendapat penggayaan dari MC20 dengan hidung dan gril agresif, dengan kemasan krom untuk GT, manakala kemasa hitam utnuk Modena dan Trofeo. Ciri utama lain adalah bumbung yang menurun perlahan, pembuka pintu tersorok, dan tiga corong di fender serta logo Trident di tiang-C.

Di dalam pula, Maserati Grecale GT dilengkapi jam digital dengan fungsi Kompas, meter G-force, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, dan satu lagi skrin di bawah bersaiz 8.8-inci.

Kelengkapan lain adalah sambungan Android Auto dan Apple Carplay, sistem telematik Maserati Connect, dan pilihan sistem audio dengan 14 atau 21 pembesar suara.

Maserati Grecale GT Hybrid berharga dari RM598,000 termasuk duti dan cukai, dengan jaminan tiga -tahun tanpa had perbatuan. Ia boleh didapati dalam warna Bronzo Opaco, Blu Intenso, Bianco Astro, dan Bianco.