Arkib Tag: goodwood festival of speed

Hyundai Ioniq 6 N – sedan pantas berkuasa 641 hp, 0-100 km/j 3.2 saat!

Bersempena dengan acara Goodwood Festival of Speed, Hyundai mengambil kesempatan melancarkan sedan elektrik pantas Ioniq 6 N.

Hyundai Ioniq 6 N merupakan model EV berprestasi tinggi yang kedua dihasilkan oleh pengeluar Korea Selatan itu selepas Ioniq 5 N muncul tahun 2023.

Perinciannya seperti berikut:

 

Kuasa

Ioniq 6 N dipacu dengan dua motor elektrik, dengan kuasa keseluruhan 601 hp dan 740 Nm.

Dengan fungsi N Grin Boost, kuasa itu boleh melonjak kepada 641 hp dan 770 Nm, namun dalam tempoh masa 10 saat sahaja.

Pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum menghampiri 260 km/j.

 

Casis

Menurut Hyundai, casis Ioniq 6 N ini telah diberikan tumpuan termasuklah geometri suspensi dengan satu tujuan – pengendalian yang lebih baik.

Ia juga turut mendapat unit peredam kawalan elektronik, lengkap dengan penderia yang mampu membenarkan kenderaan membuat larasan redaman berdasarkan keadaan pemanduan semasa.

Pemandu juga boleh memanfaatkan fungsi N Drift Optimizer dan N Torque Distribution untuk kawalan kuasa yang lebih mengujakan.

 

Sistem brek dan roda

Untuk memberhentikan jentera elektrik N ini, Hyundai telah memadankan angkup empat omboh dan rotor 15.7 inci di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 14.1 inci di belakang.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim bersaiz 20 inci.

Hyundai Ioniq 6 N menggunakan tayar Pirelli P-Zero 5 bersaiz 275/35R20 yang dibangunkan khas untuk model ini.

 

Aerodinamik

Berbanding model Ioniq 6 standard, Ioniq 6 N diberikan kit badan yang lebih sporti, lengkap dengan bampar yang lebih agresif dan splitter di hadapan.

Untuk aspek aerodinamik yang lebih baik, Ioniq 6 N dipadankan dengan sayap belakang leher angsa, serta fender yang lebih lebar.

 

Untuk pemandu

Tidak cukup dengan fungsi yang disebutkan tadi, Ioniq 6 N turut menampilkan sistem N e-shift yang dinaiktaraf untuk mengurangkan kesan kehilangan prestasi, serta kualiti bunyi yang lebih baik.

Terdapat juga sistem lampu N Ambient Shift Light yang akan disegerakkan dengan sistem pencahayaan ambien apabila ‘penukaran gear’ dibuat.

Akhir sekali, fungsi N Active Sound+ yang menawarkan tiga pilihan unik, iaitu “Ignition” yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, bunyi EV nostalgia “Evolution” dan tema futuristik “Lightspeed”.

 

Berapa jauh boleh pandu?

Hyundai Ioniq 6 N dipadankan dengan pek bateri 84 kWh, menawarkan jarak gerak sehingga 468 km untuk sekali cas penuh berdasarkan data WLTP.

Sebagai perbandingan, Ioniq 5 N boleh bergerak sejauh 356 km menggunakan tetapan bateri yang serupa.

 

Pilihan warna

EV berkuasa tinggi ini boleh dilayangkan dengan pilihan warna Performance Blue Pearl, Abyss Black Pearl, Serenity White Pearl, Nocturne Gray Metallic, Nocturne Gray Matte dan Gravity Gold Matte.

 

Honda Super EV Concept muncul di Goodwood Festival of Speed Julai ini

Inilah dia Honda Super EV Concept. Berdasarkan rupa paras yang hampir serupa, adakah ini model pengganti sebenar kepada hatchback elektrik Honda e?

Honda Super EV Concept bakal didedahkan secara rasmi oleh Honda di acara Goodwood Festival of Speed Julai nanti, dengan membawakan ukuran dimensi yang serba kompak.

Seperti biasa, untuk sebuah model konsep ia masih sarat dengan pelekat samaran.

Namun, kita dapat melihat beberapa perincian seperti unit lampu berbentuk bulat, slot pengecasan pada jeriji hadapan, fender depan belakang yang lebar, serta garis bumbung yang rata.

Menurut Honda, konsep ini direka untuk memperlihatkan bagaimana model di dalam segmen A masih lagi mampu menawarkan prestasi elektrik yang seronok untuk dipandu, dan dalam masa yang sama mengekalkan kebolehgunaan lambang sesebuah Honda.

Mereka menambah, model kecil yang sporti ini sudah pun menjalani ujian kebolehlaksanaan di UK sebagai sebahagian daripada program prototaip global yang lebih meluas.

Jadi, adakah ia bermakna Honda sedia untuk melancarkan model ini untuk pasaran Asia Tenggara, terutama Malaysia?

 

Polestar Concept BST beri bayangan roadster berprestasi tinggi

POLESTAR merupakan antara banyak jenama yang memeriahkan Goodwood Festival of Speed dengan barisan kenderaan terkininya.

Di samping model-model produksi seperti Polestar 2, 3 dan 4, jenama itu turut memperlihatkan sejauh mana ia boleh pergi dalam aspek prestasi menerusi BST Concept.

Roadster konsep bernadikan elektrik itu dibangunkan menggunakan Polestar 6 sebagai asas, namun seperti yang boleh dilihat, ia kelihatan lebih ‘jahat’ dengan kit badan yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.

Badannya nampak lebih menyerlah dengan warna perak klasik, dapra yang membonjol, ukuran trek yang lebih lebar, serta rim tempaan aloi berukuran 22 inci.

Aspek aerodinamik turut diberikan penekanan menerusi lubang aliran udara pada bonet, splitter depan yang agresif dan spoiler gergasi pada bahagian belakang.

Tiada perincian mengenai trenkuasa namun seperti Polestar 6, ia dijangka menampilkan konfigurasi motor elektrik berkembar dengan 884 hp dan 900 Nm.

Versi produksi, jika Polestar merancang untuk menjualnya, mungkin mempunyai kuasa yang lebih tinggi, seperti yang dilihat pada Polestar 2 BST Edition 230 dan 270.

Sementara itu, Polestar 6 juga akan membuat kemunculan sulungnya di Goodwood Festival of Speed. Ia dibina di atas platform aluminium Polestar Performance Architecture (PPA) yang turut digunakan oleh Polestar 5, sedan elektrik empat pintu yang akan bersaing dengan Tesla, Mercedes-Benz dan BMW.

Rowan Atkinson pandu Toyota GR Yaris berkuasa hidrogen di Goodwood

PELAKON British, Rowan Atkinson baru-baru ini telah membuat kemunculan mengejut di acara Goodwood Festival of Speed dengan memandu Toyota GR Yaris. Tetapi beliau memandu GR Yaris berkuasa hidrogen, sebagai salah satu inisiatifnya dalam menyokong emisi sifar.

Toyota sebelum ini memperlihatkan GR Yaris ini dalam pemanduan demonstrasi semasa acara World Rally Championship untuk mengenengahkan enjin turbo 1.6-liter 3-silinder yang telah ditukar kepada hidrogen melalui sistem suntikan khas.

Dalam satu video yang dimuatnaik ke Instagram, Rowan Atkinson mengulas akan keyakinannya terhadap kenderaan hidrogen.

Menurut pelakon dengan kelulusan ijazah kejuruteraan itu, kedua-dua kenderaan (enjin pembakaran dalaman dan hidrogen) boleh menjadi alternatif terhadap kenderaan elektrik (EV).

“Kerana itulah saya berada di sini hari ini, untuk menyokong matlamat membuka mind akita tentang bagaimana kita memacu kenderaan di masa depan,” katanya dalam acara yang disiarkan secara langsung itu.

“Saya rasa khasnya untuk sukan permotoran, kereta lumba elektrik adalah sedikit susah memandangkan ia berbunyi seperti mesin basuh dalam mod ‘spin’.

“Ianya sukar tetapi ramai yang sedang cuba mengekalkan emosi (bunyi enjin) yang mana hanya kereta enjin pembakaran dalaman boleh berikan.

Tambahnya, “Mungkin kita akan membiasakan diri dengan kereta lumba elektrik dan menyukainya, tetapi buat masa ini, ada sekumpulan pembeli yang tidak begitu mahukannya.”

Atkinson – bintang dalam Mr Bean dan Johnny English – dikenali sebagai seorang peminat kereta. Beliau sebelum ini pernah memiliki McLaren F1, Lancia Delta Integrale HF, dan Honda NSX. Antara koleksinya pada masa ini termasuklah Toyota GR Yaris standard berkuasa petrol.

McMurtry Speirling kereta comel paling laju di Goodwood, cuma 39.08 saat!

NAMPAKNYA kereta paling comel di Goodwood Festival of Speed baru-baru ini juga menjadi kereta terpantas yang melalui course itu.

McMurtry Speirling yang bersaiz kerdil itu telah mencatatkan rekod masa hanya 39.08 saat untuk menyempurnakan laluan Goodwood, dipandu oleh bekas pelumba Formula Satu, Max Chilton. Rekod itu dibuat pada Ahad lepas, memecahkan rekod masa sebelum ini iaitu 40.056 saat.

Kenderaan elektrik (EV) satu tempat duduk dengan pintu gullwing itu juga kira-kira 0.8 saat lebih pantas dari rekod oleh Romain Dumas yang memandu Volkswagen ID. R pada 2019.

Dengan pecutan 0 ke 100km/j dalam masa kurang satu setengah saat (1.5 saat), tidak hairanlah McMurtry Speirling mampu menjadi jentera terpantas di Goodwood. Kelajuan maksimanya dihadkan pada 150 batu sejam (241km/j).

Pengarah urusan McMurtry berkata kepada Autocar bahawa kereta ini sedang dalam proses menjadikannya street-legal (boleh dipandu di jalan awam). Thomas Yates menjanjikan untuk memberikan pecutan pantas yang sama tetapi ia tidak akan menjadi “kereta paling selesa untuk bonggol jalanan”.

Pengeluaran dikatakan akan dihadkan kepada beberapa unit sahaja dengan harga sekurang-kurangnya 1 juta pound (RM5.39 juta).

Yates juga berkata kereta produksi akan mengekalkan prestasi kuasa-kepada-berat sebanyak 1,000hp per tan, serta dua unit motor elektrik di belakang dengan pek bateri 60kWh. Ini cukup untuk memberikan jentera ini jarak pemanduan sehingga 300 batu (483km).

Dengan menambah komponen-komponen wajib seperti pengelap cermin, lampu depan dan beberapa barangan lain, Speirling versi produksi tidak akan se-aerodinamik seperti unit di Goodwood ini. Tetapi jentera versi litar ini mampu menghasilkan downforce lebih tinggi dari F1 pada kelajuan 240km/j.