Arkib Tag: glow in the dark

RM749 setiap meter persegi kos pasang garisan jalan ‘glow in the dark’

MEMANG ada keperluan untuk memasang garisan jalan glow in the dark di Lebuh Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik) namun kosnya hampir 20 kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah konvensional.

Perkara itu diakui sendiri oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Beliau turut menambah bahawa pihaknya memang sudah melakukan kajian berhubung perkara itu.

“Saya sendiri sudah melakukan lawatan ke Hulu Langat, November lalu, dan ia (garisan jalan bercahaya dalam gelap) nampak bagus, selain maklum balas daripada pengguna juga positif.

“Namun, kosnya sangat mahal berbanding kaedah yang kita gunakan sekarang. Kos pemasangan garisan jalan bercahaya dalam gelap adalah RM749 bagi setiap meter persegi berbanding kaedah konvensional menggunakan cat yang hanya RM40 bagi setiap meter persegi,” katanya.

Alexander menjelaskan, pihaknya perlu melakukan kajian lanjut secara menyeluruh terlebih dahulu, selain meneliti dari aspek kewangan.

“Memang ada keperluan di lebuh raya berkenaan, namun perlu melihat dari segi kewangan juga. Jika menggunakan kaedah yang memerlukan kos tinggi, mungkin hanya boleh membabitkan jarak yang dekat dan ia masih mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” jelasnya.

JKR guna cat jalan ‘glow in the dark’ di Hulu Langat

JALAN Sungai Lalang (B19) di Hulu Langat menjadi projek jalan pertama di negara ini yang dicat menggunakan teknologi ‘glow in the dark’.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, projek perintis dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat itu membolehkan pemanduan menjadi lebih selamat dengan bantuan pantulan cahaya pada pembahagi jalan.

Tambah Mohd Sany lagi, teknologi menghasilkan pantulan cahaya daripada lampu kenderaan itu merupakan inovasi dalam kejuruteraan jalan.

“Dengan mengekalkan ciri pemantulan cahaya kuning dengan penggunaan High Intensity Prismatic Sheet, kaedah pencahayaan ditambah baik dengan ciri phosphorescence mengandungi elemen pigmen phosphors bagi mengeluarkan cahaya yang boleh dilihat selepas diberi tenaga.

Gambar: Facebook Sany Hamzan

“Sumber tenaga adalah sama ada dari cahaya matahari atau lampu kenderaan yang diserap, sebelum ianya bercahaya semula dan dapat dilihat pada waktu malam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Pada Rabu malam, beliau mengiringi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat lokasi berkenaan.

Mohd Sany turut merakamkan ucapan terima kasih kerana memilih Hulu Langat sebagai lokasi perintis projek berkenaan.

Dalam pada itu, RTM melaporkan, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengkaji dan menilai lanjut projek itu untuk dilaksanakan dengan lebih menyeluruh kerana ia melibatkan kos yang tinggi.