Genesis memperkenalkan X Skorpio Concept iaitu sebuah kenderaan konsep off-road ekstrem yang direka khusus untuk menakluk rupa bumi yang paling mencabar.
Pengenalan Genesis X Skorpio Concept berlangsung di gurun Rub al Khali yang juga dikenali sebagai Empty Quarter di Emiriah Arab Bersatu.
Model ini merupakan kenderaan off-road pertama daripada Genesis yang menggabungkan prestasi teknikal tinggi dengan reka bentuk mewah bagi memenuhi gaya hidup pengembaraan lasak.
Selain X Skorpio beberapa model konsep lain yang dioptimumkan untuk kegunaan lasak turut dipamerkan termasuk GV60 Outdoors Concept, GV70 Outdoors Concept dan GV80 Desert Edition.
Reka Bentuk Luaran Inspirasi Kala Jengking Hitam
Nama Skorpio diinspirasi daripada kala jengking hitam yang terkenal dengan daya tahan tinggi dalam persekitaran yang ekstrem.
Reka bentuk luaran menampilkan garisan badan yang sasa dengan panel badan bersegmen seakan perisai exoskeleton (rangka luar) yang bukan sahaja berfungsi sebagai estetika malah memudahkan kerja pembaikan pantas semasa pemanduan off-road.
Bahagian bumbung dilengkapi rongga kemasukan udara yang berfungsi sepenuhnya sementara identiti reka bentuk Two Line Genesis disepadukan pada lampu hadapan dan belakang.
Struktur X Skorpio dibina menggunakan gabungan bahan gentian kaca, gentian karbon dan Kevlar bagi memastikan badan kekal ringan namun sangat tahan lasak.
Rangkaian Kuasa
X Skorpio Concept menggunakan unit enjin yang sangat berkuasa bagi memastikan prestasi luar biasa di kawasan berbukit dan padang pasir.
Enjin V8 berprestasi tinggi menghasilkan kuasa 1,115 hp dan tork maksimum 1,152 Nm.
Keupayaan ini membolehkan X Skorpio menangani rupa bumi yang mencabar dengan mudah, terutamanya di kawasan padang pasir yang memerlukan hantaran kuasa yang konsisten dan kuat.
Kabin Mewah Fokus Kepada Prestasi
Berbeza dengan trak utiliti tradisional yang ringkas, bahagian dalaman X Skorpio Concept menawarkan kemewahan tahap tinggi yang difokuskan kepada keselesaan pemandu dan penumpang semasa menghadapi cabaran fizikal pemanduan off-road.
Di antara ciri utama ialah kluster instrumen yang dipasang terus pada stereng bagi membolehkan pemandu melihat maklumat penting tanpa mengalihkan pandangan dari laluan hadapan.
Kabin ini juga dilengkapi paparan gelongsor yang boleh diubah kedudukannya sama ada di tengah untuk pemandu solo atau digeser ke arah penumpang untuk tujuan navigasi oleh pembantu pemandu.
Selain itu, penggunaan bahan suede mewah dengan corak potongan laser dan kemasan kulit dengan jahitan berinspirasikan kaki kala jengking memberikan suasana eksklusif.
Pemegang keselamatan disediakan di tempat yang mudah dicapai bagi memastikan kestabilan semasa pergerakan kasar.
Selain itu, sistem kawalan iklim dan komunikasi canggih memastikan koordinasi lancar walaupun di lokasi paling terpencil.
Keupayaan Dinamik Off-Road
Genesis X Skorpio disasarkan kepada budaya automotif di Timur Tengah yang gemar memandu laju merentasi padang pasir dan melakukan lompatan udara.
Bagi menyokong aktiviti tersebut, X Skorpio Concept dilengkapi sistem suspensi khusus dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi.
Selain itu, ia mempunyai sudut tuju (approach) dan sudut pelepasan (departure) yang besar untuk memudahkan pergerakan di rupa bumi ekstrem.
Sistem keselamatan turut menjadi keutamaan melalui pemasangan rangka keselamatan bersepadu, sistem tali pinggang keledar empat sudut dan komponen struktur yang diperkukuh.
Penggunaan roda jenis beadlock bersaiz 18 inci dan tayar off-road buatan khas bersaiz 40 inci memastikan cengkaman maksimum di atas permukaan pasir yang lembut.
