Kia secara rasmi mendedahkan generasi kedua SUV segmen B Kia Seltos 2026 untuk pasaran global.
Berbeza dengan Seltos yang terdahulu, Seltos baharu dibina berdasarkan platform K3 yang menyumbang kepada dimensi yang lebih besar serta imej agresif yang selari dengan bahasa rekaan terkini Kia.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Kia Seltos 2026 berukuran sepanjang 4,430 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,600 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,690 mm.
Dimensi yang besar itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas, serta ruang kargo kini sebesar 536 liter.
Bergantung kepada varian, Kia Seltos boleh dipadankan dengan pilihan rim saiz 16 inci sehingga 19 inci.
2. Enjin, transmisi, pacuan & suspensi
Untuk permulaan, Kia Seltos 2026 bakal ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu nadi 1.6 liter T-GDI menghasilkan kuasa 180 PS/265 Nm atau 193 PS/265 Nm, serta enjin 2.0 liter NA menghasilkan 149 PS dan 179 Nm.
Kia turut menyenaraikan pilihan transmisi manual enam-kelajuan, transmisi DCT enam atau tujuh kelajuan, transmisi automatik lapan-kelajuan serta CVT.
Kia Seltos boleh didapati dalam versi pacuan roda depan dengan tetapan suspensi topang MacPherson/torsion beam, sementara versi AWD pula hadir dengan tetapan multi-link di belakang.
Varian hibrid bakal menyusul pada tahun hadapan dengan membawakan fungsi vehicle-to-load (V2L) serta sistem brek regeneratif pintar 3.0 Kia.
Terdapat pilihan mod pemanduan Eco, Normal dan Sport, serta Terrain Mode (Snow, Mud & Sand) yang khusus untuk varian AWD.
3. Rekaan agresif
Kia Seltos menggunakan pendekatan falsafah rekaan Opposites United dengan imej yang selari dengan model-model kenderaan moden Kia.
Antara ciri unik yang wujud termasuklah:
- lampu nyalaan siang DRL LED menegak
- lampu utama yang tersembunyi dalam struktur jeriji lebar
- rekaan bumbung terapung
- pemegang pintu tertanam dalam badan
- lampu belakang menegak yang bersambung dengan bar LED melintang
Terdapat varian X-Line yang mengetengahkan kemasan dark gun metal untuk penampilan yang lebih lasak, manakala varian GT-Line pula tampil lebih sporti dengan aksen warna badan.
Tiga warna baharu diperlihatkan iaitu Iceberg Green, Gravity Gray dan Magma Red.
4. Kabin
Susun atur ruang kabin Kia Seltos 2026 kini lebih mirip kepada penawaran pada kereta elektrik Kia, dengan skrin berkembar 12.3 inci, serta panel khusus untuk kawalan iklim.
Kia Seltos juga turut menggunakan teknologi Shift-by-Wire (SBW) di mana tuil penukaran gear kini diposisikan pada kolum stereng sekaligus menjadikan ruang konsol tengah lebih praktikal.
Ciri lain yang dimuatkan pada kabin Seltos termasuklah:
- bumbung kaca panorama
- sistem pencahayaan ambien 64-warna
- tempat duduk baris kedua boleh laras 24 darjah
- sistem audio Harman Kardon/Bose
5. Keselamatan
Akhir sekali, Kia Seltos 2026 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan termaju (ADAS) merangkumi fungsi seperti:
- Bantuan Pemanduan Lebuhraya (HDA2)
- Bantuan Mengikut Lorong (LFA 2)
- Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan 2 (FCA2)
- Amaran Keluar Selamat (SEW)
- Sistem Pemantauan Keliling (SVM)
- Amaran Jarak Parkir (PDW)
- Pengelakan Pelanggaran Parkir Mengundur (PCA-R)
