Arkib Tag: Geely Auto

HORSE Powertrain (usahasama Geely – Renault) & SRB bangunkan enjin untuk pikap lumba

Nama HORSE Powertrain mungkin asing kepada khalayak ramai namun di belakangnya berdiri struktur global yang besar.

Perniagaan HORSE Powertrain tertumpu di dalam pembangunan rangkaian kuasa hibrid dan enjin pembakaran dalaman yang beroperasi melalui dua divisyen utama, Aurobay Technologies dan Horse Technologies.

Syarikat menjadi pembekal kepada beberapa OEM utama dunia termasuk Renault Group, Geely Auto, Volvo Cars, Proton, Nissan dan Mitsubishi Motors Corporation.

HORSE Powertrain dimiliki bersama oleh Renault Group (45 peratus), Geely (45 peratus) dan Aramco (10 peratus).

Ibu pejabat HORSE Powertrain terletak di London, UK, dan syarikat mengendalikan 17 kilang dan lima pusat R&D di seluruh dunia dengan kira-kira 19,000 kakitangan.

Pikap Lumba

Kini, HORSE Powertrain melangkah ke dunia sukan permotoran Brazil menerusi kerjasama dengan Sports & Racing Brazil (SRB), bagi membangunkan enjin untuk perlumbaan pikap.

Kategori baharu ini dijadual bermula pada musim 2027, dengan perlumbaan berlangsung di litar asfalt dan permukaan tanah.

Semua jentera akan menggunakan casis standard, manakala enjin dibekalkan oleh HORSE Powertrain.

Kenderaan pertama dirancang untuk diperkenalkan pada 2026, selepas proses ujian pembangunan termasuk perlumbaan pameran yang melibatkan pengeluar, pasukan dan peminat.

Enjin HORSE H13 Jadi Teras

Barisan awal jentera akan dikuasakan oleh varian enjin HORSE H13, 1.3 liter turbo empat silinder yang direka untuk beroperasi dengan teknologi flex-fuel, selari dengan keperluan pasaran Brazil.

Kategori ini menggunakan bahan api berasaskan etanol, yang menawarkan kitaran karbon rendah well-to-wheel dengan pengurangan pelepasan CO₂ sehingga 70 peratus berbanding bahan api fosil.

Dari segi rekaan, H13 menampilkan kepala silinder berbentuk Delta yang inovatif serta manifold ekzos bersepadu, menjadikannya kompak, ringan dan mempunyai pusat graviti rendah.

Ia turut dilengkapi sistem elektronik canggih untuk kawalan injap wastegate turbo dan injap ekzos, selain sistem suntikan terus untuk penghantaran kuasa dan tork tinggi dengan kecekapan bahan api yang baik dalam perlumbaan.

Dibina di Brazil, DNA Prestasi

Enjin HORSE H13 untuk kategori ini akan dihasilkan di kilang HORSE Powertrain di Curitiba, Brazil, di bawah divisyen Horse Technologies dan dibangunkan dengan DNA prestasi.

SRB mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam pembangunan teknikal dan pembuatan kenderaan perlumbaan, serta memainkan peranan penting dalam inovasi, keselamatan dan kecekapan sukan permotoran Brazil.

Geely hebat, 210 ribu Geely EX5 terjual, hanya 15 bulan selepas pelancaran

Geely Auto baru-baru ini mengumumkan SUV elektrik Geely EX5, telah mencapai kejayaan penting dengan jumlah jualan global sebanyak 210,000 unit sehingga Oktober 2025.

Pencapaian luar biasa ini direkodkan hanya dalam tempoh 15 bulan selepas pelancaran pada Ogos 2024.

Bukan sahaja EX5, kembar di pasaran tempatan iaitu Proton e.MAS 7 juga mencatatkan perkembangan memberangangkan dengan jualan sebanyak 7,413 unit sejak dilancarkan pada Disember 2024.

Direka Untuk Keluarga Muda Global

Geely EX5 direka khusus sebagai SUV elektrik yang menyasarkan keluarga muda di seluruh dunia.

Ia dibangunkan untuk mengatasi isu biasa EV kompak, seperti reka bentuk, ruang dalaman, fungsi pintar, prestasi dan kecekapan tenaga.

EX5 dilengkapi sistem pacuan elektrik pintar 11-dalam-1 dan teknologi pengurusan haba canggih.

 

Ciri-ciri tersebut membolehkan EX5 mencapai penggunaan tenaga yang terkemuka dalam kelasnya, iaitu serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.

Ini bermakna pemanduan EX5 bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menjimatkan.

Selain itu, kemas kini Perisian Atas Talian (OTA) yang berterusan memastikan tahap personalisasi dan kemudahan yang dipertingkatkan, membolehkan EX5 sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan pemilik.

Merantau ke 33 Negara 

Geely EX5 dibangunkan melalui jaringan R&D global Geely dan sistem teknologi canggih.

Selepas diperkenalkan di Pameran Kenderaan Elektrik EVA Frankfurt, model ini pantas mendapat perhatian dan momentum global.

Penampilan sulung EX5 di UK pada Oktober 2025 merupakan langkah terbaharu yang memperkukuh momentum globalnya.

Sehingga kini, EX5 sudah berada di 33 negara merangkumi rantau Eropah, Asia, Oceania, Timur Tengah dan Amerika.

Dominasi Pasaran Utama

  • Di Greece, EX5 mencatatkan prestasi jualan yang kukuh pada September 2025, mendahului jualan dalam segmennya.
  • Pasaran Australia pula menunjukkan penerimaan yang sangat memberangsangkan dengan pertumbuhan pesat sejak pelancarannya pada Mac 2025.
  • Sementara itu, di Brazil, Geely EX5 mendominasi segmennya, merekodkan kedudukan jualan nombor satu selama dua bulan berturut-turut sejurus selepas pelancaran rasmi.

Barisan NEV Geely Melebihi Sasaran Jualan Sejuta Unit

Didorong oleh prestasi kukuh Geely EX5 dan model popular lain, barisan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) jenama Geely telah melepasi sasaran jualan tahunan lebih awal iaitu satu juta unit pada Oktober 2025. Angka tepat ialah 1,002,461 unit.

Perancangan Masa Depan dan Strategi Global

Geely Auto merancang untuk terus menembusi pasaran utama Eropah, termasuk Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol.

Pada masa yang sama, syarikat akan memperkukuh kehadiran di pasaran baru muncul seperti Uzbekistan, Afrika Selatan dan Colombia.

Melalui inovasi dan strategi global bernilai tinggi, Geely Auto menyasarkan untuk menawarkan mobiliti yang lebih pintar, hijau,dan menyeronokkan kepada pemandu di seluruh dunia.