Arkib Tag: GAC M8 PHEV

GAC M8 PHEV 2025 rasmi – dua varian, harga dari RM328,800

WTC Automotif (M) Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan jenama GAC di Malaysia mengumumkan harga jualan bagi model MPV plug-in hybrid, iaitu GAC M8 PHEV 2025.

GAC M8 PHEV boleh didapati dalam dua varian, iaitu:

  • Premium – RM328,800
  • Luxury – RM388,800

Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025 akan menerima kabel pengecasan mudah alih serta pakej penyelenggaraan berkala percuma dua-tahun, dengan nilai keseluruhan RM3,800.

M8 PHEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan transmmisi hibrid DHT dua-kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 372 PS dan daya kilas 630 Nm.

Dengan pek bateri 25.57 kWh dan kapasiti tangki bahan api 56 liter, M8 PHEV mampu bergerak sehingga 1,038 km.

Terdapat tiga mod pemanduan pintar, iaitu Intelligent Hybrid, All-Electricity First dan Power Reservation, dibantu dengan ciri Adaptive Vehicle Dynamic Control System dan Electromagnetic Damping Suspension.

Selain daripada itu, GAC M8 PHEV menawarkan ciri seperti:

  • unit lampu LED
  • rim aloi 18 inci dengan penutup imbang kendiri
  • tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh laras kedudukan sehingga 480 mm
  • sistem pendingin hawa dengan teknologi Cool-Sense
  • sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2
  • fungsi Full Automatic Parking Assist (FAPA)
  • beg udara cermin belakang sebagai sebahagian daripada sistem beg udara 360 darjah

 

GAC M8 PHEV didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima-tahun atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan bateri selama lapan-tahun atau had perbatuan 150,000 km (yang mana tiba dahulu).

Datuk Remy Ishak dilantik Duta Jenama GAC Malaysia

GAC Malaysia mengalu-alukan pelakon dan personaliti terkenal Datuk Remy Ishak sebagai duta jenama terbaharunya.

Datuk Remy Ishak akan menyertai duta sedia ada Jack Lim untuk terus mewakili jenama GAC sebagai sebahagian daripada persiapan untuk menyambut kehadiran dua model baharu, iaitu GAC Emkoo dan GAC M8 PHEV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng berkata, “sepanjang perjalanan permulaan GAC Malaysia, Jack Lim telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan jenama ini kepada khalayak baharu.

“Bermula dari mempromosi, menjual dan berkongsi pengalaman dengan GAC GS3 Emzoom, Jack telah menjadi lebih dari sekadar seorang duta, beliau telah menjadi seorang penyokong sejati.

“Kami kini teruja untuk mengalu-alukan Datuk Remy Ishak ke dalam keluarga GAC. Remy membawakan gabungan unik karisma, profesionalisme dan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

GAC Malaysia turut mengumumkan kempen pra-jualan yang berlangsung untuk dua model baharunya.

GAC Emkoo merupakan sebuah SUV segmen C, dan model kedua yang dipasang secara CKD oleh GAC selepas model GS3 Emzoom.

Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Terdapat dua varian yang bakal ditawarkan, iaitu Premium dengan harga anggaran dari RM120,000, serta Premium Pro bermula dari RM130,000.

Kumpulan pertama pemilik GAC Emkoo akan menerima unit masing-masing menjelang akhir September 2025, atau mungkin lebih awal.

Model kedua yang bakal dilancarkan oleh GAC Malaysia ialah MPV mewah GAC M8 PHEV.

Diimport sepenuhnya dari China, M8 PHEV dikuasakan oleh nadi 2.0 liter turbo (190 PS/300 Nm) yang dipadankan dengan transmisi hibrid dua-kelajuan, motor elektrik 182 PS/300 Nm dan pek bateri 25.57 kWh.
Secara keseluruhan, MPV ini mampu menjana kuasa setinggi 373 PS dan 630 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

Untuk setangki penuh minyak, GAC M8 PHEV mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,038 km.

Terdapat dua varian, iaitu M8 Premium dengan harga anggaran RM333,000, dan varian M8 Luxury berharga RM380,000.