Arkib Tag: G16E-GTS

Toyota sumbat enjin baharu G20E dalam GR Yaris M Concept

Sebagai sebuah pengeluar automotif terbesar, Toyota jarang sekali mengecewakan para peminatnya setiap kali acara pameran Tokyo Auto Salon berlangsung.

Untuk Tokyo Auto Salon 2025, Toyota mendedahkan sebuah prototaip hot hatch yang digelar sebagai GR Yaris M Concept.

Tidak seperti GR Yaris standard, GR Yaris M Concept ini dipadankan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter (kod nama G20E) bagi menggantikan enjin tiga silinder G16E-GTS sedia ada.

Lebih mengejutkan apabila enjin baharu itu tidak diposisikan di hadapan, sebaliknya diletakkan di bahagian tengah (mid-ship).

Menurut Toyota, perubahan yang dibuat pada ini adalah untuk meneroka potensi yang wujud pada hot hatch GR Yaris, malah mereka juga merancang untuk berlumba di dalam Super Taikyu menggunakan jentera ini.

Unit prototaip ini akan diuji sepenuhnya di dalam medan perlumbaan selain mendapat input yang bermanfaat daripada para pelumba professional termasuklah Morizo (Akio Toyoda).

Kewujudan GR Yaris M Concept ini menerbitkan satu persoalan – adakah ia satu petunjuk besar tentang kehadiran model baharu MR2 akan datang?

GR86 generasi baharu dijangka ganti enjin boxer Subaru dengan nadi GR Yaris – laporan

Perubahan peraturan emisi semasa yang semakin ketat menyebabkan Toyota terpaksa memendekkan jangka hayat model pacuan roda belakang GR86 sedia ada untuk memberi laluan kepada model pengganti.

Menurut laporan dari media Jepun Best Car Web, Toyota GR86 generasi baharu akan mengenepikan enjin bentangan mendatar 2.4 liter NA Subaru dengan enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS yang wujud pada GR Yaris dan GR Corolla.

Perubahan ‘jantung’ ini dilihat mampu menjadi pengubah permainan untuk GR86, memandangkan kereta sports Toyota yang paling tulen itu mempunyai angka kuasa kuda yang agak rendah (228 hp) jika dibandingkan dengan model pesaing.

Sebagai perbandingan, GR Yaris dan GR Corolla masing-masing mampu menghasilkan kuasa 300 hp.

Selain penukaran enjin, Toyota juga akan menambah sistem hibrid pada GR86 baharu dengan tetapan yang hampir sama dijumpai dalam model SUV off-road Land Cruiser Prado (250 Series).

Secara keseluruhan, GR86 baharu ini boleh menghamburkan kuasa melebihi 300 hp yang memacu roda belakang menerusi pilihan kotak gear manual atau automatik.

Ini bukanlah kali pertama berita tentang perubahan nadi kuasa GR86 pernah dilaporkan.

Menurut sumber yang sama tahun lalu, Toyota dikatakan akan mengenepikan platform Subaru bagi memberikan laluan kepada casis Lexus IS yang lebih pendek.

Apa yang pasti, Toyota GR86 generasi baharu dengan enjin dan tetapan hibrid itu dilihat mampu untuk merapatkan lagi jurang kuasa yang wujud dalam segmen kereta sports kompak dan dalam masa yang sama mampu menggembirakan para peminatnya di seluruh dunia.