Arkib Tag: Full Throttle

Ducati Scrambler Icon Dark, Full Throttle dikemas kini untuk 2025

Ducati World Premiere 2025 menyaksikan kemunculan dua jentera Scrambler yang diberikan kemas kini iaitu Scrambler Icon Dark dan Scrambler Full Throttle.

Scrambler Icon Dark mempunyai penampilan serba gelap yang agresif menerusi tangki berwarna hitam matte dan logo Scrambler moden. Panel sisi dan fairing pada bahagian ekor membuatkan jentera ini kelihatan lebih ringan.

Sementara itu, Scrambler Full Throttle diinspirasikan daripada motosikal flat tracker era 70an. Ini boleh dilihat menerusi livery hitam dan gangsa, serta panel sisi dengan nombor 62 yang merujuk kepada tahun Scrambler diperkenalkan buat pertama kali iaitu 1962.

Selain itu, rupanya diserlahkan lagi dengan bar hendal yang lebih rendah, mudguard depan yang lebih pendek, ekzos Termignoni dan lampu isyarat LED Ducati Performance. Turut disertakan adalah ciri Quickshifter.

Seperti sebelum ini, Scrambler dikuasakan oleh enjin sejukan udara 803 cc, silinder berkembar yang mampu menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada pada 7,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik KYB di depan dan penyerap hentak monoshock dengan pelarasan pra-muatan di belakang. Rim yang digunakan adalah bersaiz 18 inci di depan dan 17 inci di belakang.

Ciri-ciri lain yang turut dikekalkan termasuk skrin TFT 4.3 inci, pendikit Ride-by-Wire, Riding Modes, dan Cornering ABS.

Menurut Ducati, Scrambler Icon Dark akan memasuki pasaran bermula bulan ini, diikuti dengan Full Throttle pada Disember.

Ducati Scrambler generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 versi, harga dari RM64k

DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.

Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.

Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.

Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.

Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.