Arkib Tag: Fuji Speedway

Jam tangan G-Shock edisi Morizo mula dijual – dari RM654 di Jepun

Toyota Gazoo Racing kini menawarkan jam tangan G-Shock edisi terhad bersempena dengan perlumbaan Fuji Super TEC 24 Jam di Fuji Speedway (31 Mei-1 Jun).

Morizo x G-Shock DW-5600 itu akan dijual dalam kuantiti terhad, selain boleh didapati di kedai dalam talian rasmi Toyota Gazoo Racing di Rakuten JP.

Menggunakan model G-Shock DW-5600 sebagai asas, jam tangan edisi istimewa ini direka sendiri oleh Morizo, nama samaran bagi orang besar Toyota, iaitu Akio Toyoda.

Ia menampilkan perincian seperti skema warna kuning, logo G-Shock berwarna kuning, tanda tangan MORIZO yang akan muncul apabila lampu dinyalakan, serta ilustrasi karikatur muka Morizo pada penutup belakang.

Selain itu, ia juga turut mempunyai logo Morizo pada muka jam, serta logo Morizo RR pada tali jam.

Jam tangan Morizo x G-Shock DW-5600 ini dijual dengan harga bermula dari JPY 22,000 (RM654) di laman web Rakuten.

 

Hotel Fuji Speedway tawar peluang pandu uji Toyota Supra kepada pelanggan

KEBIASAANNYA apabila menginap di hotel, pihak hotel akan mengalukan pelanggan mereka untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti gim, spa dan kolam renang.

Bagaimanapun, sebuah hotel di Jepun kini menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan mereka iaitu peluang untuk memandu pelbagai jenis model Toyota Supra.

Bermula 15 Januari hingga 30 Jun tahun depan, mereka yang menempah suite atau villa di Fuji Speedway Hotel boleh memilih untuk memandu sama ada GR Supra automatik tahun 2020 yang ditala oleh TOM’s atau GR Supra keluaran 2022 dengan transmisi manual.

Namun begitu, GR Supra manual tersebut hanya boleh dipandu oleh mereka yang mempunyai lesen memandu kereta manual. Peserta juga tidak dibenarkan untuk memandu di litar Fuji Speedway walaupun ia terletak bersebelahan dengan hotel.

Sesi pandu uji ini ditawarkan berdasarkan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’. Setiap sesi akan diadakan selama sejam, dengan lima sesi dijalankan setiap hari.

Lebih menarik lagi, pihak Fuji Speedway Hotel dan Toyota juga akan menganjurkan “Supra Winter Festival” pada 21 dan 22 Januari. Acara ini akan menampilkan dua buah model generasi A90, serta beberapa model terdahulu termasuk Celica XX 2000GT tahun 1985, Supra 2.5GT Twin Turbo Aerotop 1992 dan Supra generasi A80.

Peserta program pandu uji ini boleh memandu kereta-kereta tersebut selama setengah jam di jalan raya di sekitar hotel tersebut.