Arkib Tag: Ford Ranger

Ford Ranger PHEV 2025 debut, kuasa 275 hp, 690 Nm, jarak gerak EV 45 km

Kira-kira setahun selepas pengumuman dibuat, Ford akhirnya secara rasmi melancarkan trak pikap saiz pertengahan Ford Ranger versi plug-in hybrid (PHEV) di IAA Transportaion 2024, Hannover.

Ford Ranger PHEV 2025 dikuasakan oleh enjin EcoBoost 2.3 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal 101 hp yang diletakkan dalam perumah transmisi.

Secara keseluruhan, nadi PHEV ini mampu menjana kuasa setinggi 275 hp dan 690 Nm yang jauh lebih bertenaga berbanding Ranger berenjin petrol dan diesel sedia ada (kecuali Raptor).

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan dan sistem e-4WD yang menampilkan kekunci pembeza belakang dan kotak pemindahan dwi-julat.

Pek bateri berkapasiti 11.8 kWh itu membolehkan trak pikap ini bergerak dalam keadaan sifar emisi sejauh 45 km, dan boleh dicas penuh dalam masa kurang empat jam.

Selain fungsi brek regeneratif, Ford Ranger PHEV turut dilengkapi dengan sistem Pro Power Onboard, membolehkan para pemilik menggunakan perkakasan kuasa, mengecas peranti elektronik atau sebagai genset untuk kegunaan aktiviti luar grid.

Secara standard, sistem Pro Power Onboard ini membekalkan kuasa 2.3 kW, atau opsyen 6.9 kW.

Disebabkan penambahan sistem PHEV, para jurutera Ford telah menala kembali sistem gantungan trak pikap ini, namun masih lagi mampu membawa muatan seberat 1 tan selain berupaya menunda muatan sehingga 3,500 kg.

Dari sudut luaran, penampilan Ford Ranger PHEV 2025 adalah sama sahaja dengan Ford Ranger standard, kecuali dengan kehadiran port pengecasan yang terletak berdekatan dengan penutup tangki bahan api pada fender belakang.

Dalam masa yang sama, Ford turut melancarkan Ranger Stormtrak edisi khas eksklusif untuk Ranger PHEV.

Antara ciri unik yang dimuatkan termasuklah set rim aloi bersaiz 18 inci, corak sarang lebah pada jeriji, decal khas, kemasan perkataan PHEV, serta warna eksklusif Chill Grey.

Selain itu, Ranger Stormtrak ini juga dilengkapi dengan unit lampu LED Matriks, Flexible Rack System pada bed belakang, diikuti dengan sistem bunyi B&O 10 pembesar suara, skrin infohibur 12 inci dan kamera keliling 360 darjah.

Ford Ranger PHEV akan dipasang di kilang Silverton, Afrika Selatan dan bakal dieksport untuk pasaran Australia, Eropah dan New Zealand menjelang musim bunga 2025.

Pakej servis percuma 2 tahun untuk Ford Ranger XL dan XLT terpilih, hingga 31 Mei

ANDA mahu cari trak pikap? Mungkin anda boleh lihat kepada Ford Ranger 2023, kerana beberapa varian terpilih kini ditaarkan dengan pakej servis percuma selama dua tahun.

Hanya varian Ranger XL Double Cab (automatik dan manual) dan XLT terlibat dengan tawaran ini, sebagai inisiatif Sime Darby Auto ConneXion sempena sambutan Hari Raya dan ulang tahunnya yang ke-15.

Kempen dan tawaran ini berlangsung sepanjang bulan ini hingga 31 Mei 2023 depan, dan hanya untuk unit terhad dan pembeli awal. Maka, siapa cepat dia dapat.

Ranger XL Double Cab (AT dan MT) serta Ranger XLT generasi baharu dikuasakan oleh enjin 2.0 -liter turbodiesel yang menghasilkan 170hp dan 405Nm.

Sebelum ini, hanya Ranger Raptor yang menawarkan pilihan mod pemanduan. Kini, kedua-dua model generasi baharu ini juga datang standard dengan empat mod pemanduan: Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.

Menampilkan rekaan gril baharu dan lampu utama bentuk-C di depan, kedua-dua model ini turut menerima pertambahan 50 mm jarak antara roda dan jejaknya.

Kedua-dua varian juga dilengkapi panel instrumen figital lapan-inci dan skrin infotainmen Ford SYNC 4A bersaiz 10.1-inci di tengah.

Ford Ranger XLT dijual pada harga RM129,888, manakala Ranger XL Double Cab manual dan automatik masing-masing berharga RM108,888 dan RM113,888.

Untuk maklumat lanjut tentang tawaran servis percuma selama dua tahun bagi Ranger XL Double Cab dan Ranger XLT, atau untuk mengetahui lebih lanjut tentang mana-mana model Ford Ranger, anda boleh menggunakan WhatsApp Chat untuk berhubung terus dengan wakil jualan Ford.

Ford Ranger Raptor 2022 dilancar – 3.0 V6 twin-turbo dengan 397hp, 583Nm!

SETELAH pengenalan Ford Ranger generasi baharu beberapa bulan lepas, hari ini Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) melancarkan pula Ranger Raptor. Trak pikap berprestasi tinggi ini juga dipamerkan semasa pelancaran Ranger tempoh hari.

Sebelum ini kita berteka-teki sama ada Ranger Raptor pasaran Malaysia akan mendapat enjin 2.0-liter 4-silinder bi-turbo atau 3.0-liter V6 twin-turbo, dan bersyukurlah, kita mendapat enjin V6!

Enjin ini menjana 397hp pada 5,650rpm dan 583Nm tork pada 3,500rpm, menyalurkan kuasanya ke semua roda melalui kotak gear automatik 10-kelajuan dengan Electronic Shift-On-The-Fly (ESOF).

Sistem pacuan semua-roda padanya dilengkapi dengan transfer case kawalan elektronik dan kedua-dua gandar depan serta belakang juga mendapat pengunci differential.

Terdapat tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Slippery, Rock Crawl, Sand, Mud/Ruts dan juga Baja. Penggunaan injap aktif pada sistem ekzos pula membolehkan pemandu memilih daripada empat profil bunyi iaitu Quite, Normal, Sport dan Baja.

Sistem suspensi Ranger Raptor juga telah dipertingkatkan dengan peredam adaptif FOX Live Valve 2.5 inci yang menggunakan minyak Teflon bagi mengurangkan geseran sebanyak 50 peratus berbanding sebelum ini.

Dari segi rupa, Ranger Raptor mendapat beberapa ciri yang menjadikannya lebih menyerlah berbanding versi biasa. Antaranya adalah imej lampu depan LED lebar, tulisan “FORD” pada gril, rim aloi 17-inci dibaluti tayar BFGoodrich All Terrain KO2, rongga-rongga udara, scuff plate, dan pemijak sisi aluminium.

Ciri utama di bahagian dalam termasuklah warna Ebony dengan Code Orange, tempat duduk kulit rekaan jet pejuang, paparan instrumen 12.4-inci, dan sistem infotainmen Ford SYNC 4A dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto.

Ford Ranger Raptor baharu boleh menjadi milik anda dengan harga RM259,888. Pilihan warna adalah seperti berikut: Code Orange, Absolute Black, Arctic White, Conquer Grey, dan Lightning Blue.

Ranger Raptor generasi baharu ini datang dengan jaminan pengeluar lima-tahun, atau 160,000 km, yang mana dulu.

Pelanggan juga boleh memilih untuk melanjutkan tempoh jaminan dengan penawaran perlindungan melalui PremiumCare.

Kenderaan Ford bawah RM30,000! Berbaloi atau tidak?

JENAMA Ford bukan suatu yang asing dalam dunia automotif.

Diasaskan oleh Henry Ford dan diperbadankan pada 1903, syarikat ini telah menghasilkan berjuta kenderaan pelbagai model seluruh dunia.

Menjelang tahun 1914, Ford telah memainkan peranan sangat penting dalam memulakan pengeluaran kenderaan secara besar-besaran.

Ini kerana Ford adalah satu-satunya syarikat yang mengeluarkan kenderaan secara sistematik selain menguruskan kejuruteraan automotif secara cekap.

Sehingga kini, pelbagai model kenderaan dihasilkan Ford bermula daripada jenis sedan sehingga jentera pacuan empat roda.

Justeru, artikel kali ini kita ingin membicarakan mengenai kenderaan buatan Ford yang boleh didapati pada harga kurang RM30,000.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Focus

Berdasarkan ‘risikan’ Engear, anda boleh memiliki sebuah kereta Ford second hand serendah RM30,000.

Ford Focus tahun 2012 misalnya boleh didapati pada harga serendah RM29,999.

Kenderaan ini bukan sahaja memiliki reka bentuk menawan malah, kompak untuk kegunaan di dalam bandar.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Escort

Ford Escort amat sinonim dengan individu ‘gila’ kereta kerana ia sering digunakan dalam perlumbaan rally.

Jangan terkejut kereta ini masih mendapat permintaan tinggi walau agak ‘senior’ berbanding model Ford lain.

Setakat ini, Engear pernah menemui sebuah Ford Escort tahun 1975 yang ingin dijual pada harga RM25,000!

Jadi, jangan pandang sebelah mata ya jika terlihat kereta ini di atas jalan raya.

Foto ihsan Mudah.my

Ford Econovan 1.8 (Manual)

Jika anda tercari-cari kenderaan jenis van untuk tujuan membawa pekerja atau barangan niaga, Ford Econovan second hand amat sesuai sekali.

Selain ditawarkan harga yang rendah, model ini amat terkenal dengan ketahanan enjin dan mampu membawa muatan yang agak berat.

Sebuah Ford Econovan 1.8 manual second hand boleh diperoleh sekitar harga Rm12,500 sahaja.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Fiesta

Sebuah lagi kenderaan Ford yang sangat popular di negara ini adalah model Fiesta.

Reka bentuk menawan selain kelihatan sporty menyebabkan ramai juga tertarik untuk memiliki model ini.

Sebuah model Fiesta 2012 yang Engear berjaya temui di internet ingin dijual pada harga RM23,000.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Everest

Namanya sama seperti gunung tertinggi di dunia membuktikan model ini antara kenderaan tahan lasak pernah dihasilkan Ford.

Model ini didatangkan dengan enjin diesel 2.5 turbo.

Memiliki platform chasis kenderaan pick up, ia amat sesuai untuk digunakan bagi aktiviti lasak.

Ford Everest tahun 2005 boleh didapati pada harga RM22,500.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Ranger Courier

Anda yang selalu ke Thailand pasti sering melihat model ini meluncur di jalan raya negara itu.

Ia juga sering digunakan oleh pihak polis negara itu untuk menjalankan aktiviti rondaan memandangkan fungsinya yang tahan lasak.

Di Malaysia, sebuah Ford Ranger Courier tahun 1997 boleh didapati pada harga serendah RM16,800 sahaja.

Foto ihsan Wikipedia

Ford Cortina MK4 2.0 GHIA

Ford Cortina mengalami beberapa transformasi mengikut peredaran masa sejak dari tahun 1962.

Untuk pengetahuan anda, perkataan “GHIA” menunjukkan bahawa ia merupakan sebuah kenderaan yang mempunyai spesifikasi tinggi.

GHIA merupakan design house dari Itali yang telah dibeli oleh Ford dalam usaha mereka menghasilkan kenderaan dengan rekaan lebih menarik dan berkualiti.

Hasil carian kami di internet mendapati sebuah Ford Cortina MK4 2.0 GHIA tahun 1995 boleh didapati pada harga RM11,000.

Demikian tujuh kenderaan Ford berharga kurang RM30,000 yang boleh didapati di negara ini.

Engear tidak nafikan mungkin ada beberapa model yang boleh didapati dengan harga lebih rendah seperti dinyatakan di atas.

Maka, jika ada sebarang maklumat atau informasi ingin dikongsikan sila komen di platform yang disediakan.

Jangan lupa tonton video “Pandu Kereta Ford Bawah RM30K” di semua platform media sosial Engear.

Chiow!