Arkib Tag: Ford Ranger WildTrak

Ford Ranger WildTrak 2025 kini dengan enjin diesel turbo V6 3.0L – harga dari RM192,888

Ford Malaysia menerusi pengedarnya Sime Darby Auto ConneXion hari ini secara rasmi melancarkan trak pikap Ranger WildTrak baharu yang didatangkan dengan enjin bentangan V6 3.0L Turbo Diesel.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa setinggi 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis automatik 10 nisbah kelajuan dan turut dilengkapi dengan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand.

Antara kelengkapan yang wujud pada varian baharu ini termasuklah unit lampu LED Matriks, lampu nyalaan siang, roda aloi 20 inci, tayar bersaiz 255/55 R20, logo V6 unik, lampu lumpur, serta tayar ganti saiz penuh.

Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat kluster digital 8 inci, skrin tengah 12 inci SYNC 4A yang lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto, slot USB khas untuk pemasangan kamera perakam pemanduan, serta pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Ciri keselamatan pula termasuklah Sistem Pengesanan Titik Buta (BLIS), Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Berhenti & Bergerak, Panduan Tengah Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Brek Pasca-Pelanggaran.

Terdapat empat warna menarik iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow, dan Meteor Grey.

Harga jualan pula bermula dari RM192,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Untuk tempoh terhad, pelanggan awal akan dapat menikmati Pakej Servis Lanjutan 2-tahun dan beg pendingin edisi terhad.

Pelanggan yang membuat tempahan dalam talian akan menerima kerusi perkhemahan eksklusif Ford.